Orang Johor panggil pecal ni jengganan! Pernah tak anda makan pecal jawa yang penuh dengan sayuran yang digabungkan macam rojak, lepas tu gaul dengan kuah atau sambal pecal? Fuhh, kalau tengok memang kecur air liur dibuatnya! Jom saya kongsikan cara buat sambal pecal yang mengancam ni!
Memang kalau makan pecal ni yang buatkan berselera tu ialah sambalnya. Resepi sambal pecal kali ni ialah dari Sherara Shasham yang mana simple dan ringkas je bahan-bahannya. Bahan asas utama untuk kuah atau sambal pecal ni ialah kacang tanah.
Kalau sekali pandang sambal pecal ni lebih kurang rupa kuah kacang. Memang sama. Versi dimakan dengan pecal jawa ni dipanggil sambal pecal. Kalau biasanya makan dengan sate, nasi impit atau rojak itu dikenali sebagai kuah kacang. Cara buatnya memang ada sedikit perbezaan tapi rasa lebih kurang sama je.
Kalau nak buat pekat, cair, lebih berair atau kering sedikit. Itu semua tepulang pada selera masing-masing. Lain orang lain citarasa. Kalau digaulkan atau cicah dengan sayuran atau ulam yang pelbagai memang sedap. Pecal ni bukan sekadar ulaman je, ada juga tauhu, tempe dan sebagainya.
Walau apa pun sayuran atau bahan pecal yang disediakan, kalau nak makan sedap, sambal pecalnya kenalah sedap dan padu. Jom lihat cara buat sambal pecal resepi turun temurun ni.
RESEPI SAMBAL PECAL
Bezanya sambal pecal dan kuah kacang ialah bahan-bahannya kebanyakannya digoreng dulu sebelum dikisar. Bila bahan dah digoreng, ianya dikira masak, maka lepas dikisar nanti hanya dimasakkan sekejap je. Kalau kuah kacang pula, bahannya dikisar, kemudian baru ditumis dan dimasak biasa di atas kuali.
Bahan-bahan yang diperlukan:
- Kacang tanah 1 mangkuk
- Cili kering 10 batang (ikut tahap kepedasan anda nak)
- Belacan hujung sudu
- Air masak 1-2 cawan
- Pes asam jawa 1-2 sudu kecil
- Garam dan gula secukup rasa
Cara buat sambal pecal:
▶️ Mula-mula gorengkan kacang tanah sampai warna keperangan. Ketepikan.
▶️ Kemudian goreng cili kering sehingga layu. Ketepikan juga.
▶️ Gorengkan juga belacan.
▶️ Kemudian kisar kesemua bahan-bahan ni.
▶️ Dan campurkan bahan yang dikisar ni dengan air, garam, gula secukup rasa dan pes asam jawa.
▶️ Panaskan sekejap atas kuali supaya sambal ni nanti lagi tahan lama.
▶️ Dah siap. Sedia untuk dihidangkan dengan sayuran pecal.
BACA JUGA: Cara Buat Sambal Ketuk Ikan Bilis Padu, Sedap Dan Pedas Sampai Menitis Air Mata!
Sebelum buat sambal pecal, lengkapkanlah dulu bahan dan sayurannya. Celurkan sayuran/ulaman, dan kalau anda tempe dan tauhu, gorengkan siap-siap. Nanti terus hidangkan dengan sambal pecal. Nyummy, memang menyelerakan.
Kalau cukup rasa pedas dan manis memang puas makan. Kacang tanah tu pula akan bagi rasa crunchy. Lagi sedap menikmatinya. Selamat mencuba!