Segalanya Tentang Makan..

Siapa Suka Makan Colek Buah Thai, Jom Buat Resepi Ni. Serius Padu!

0 10,678

Pergi Kelantan tak sah kalau tak cari colek buah kan. Kali ni jom cuba colek buah Thai yang selalu jumpa di Kelantan ni. Makan dengan buah apa pun sedap, bukan macam colek buah biasa. Cukup rasa pedas, masin, manis dan berasa.

Kalau kat tempat lain, biasa je resepinya yang dipanggil kuah rojak buah. Tapi yang versi Thai ni ada masukkan sos ikan Thai sekali. Terus naik rasa kuahnya. Bab kuah untuk cicah dengan buahan ni memang kena lengkap rasa baru puas hati makan.

Biasanya makan dengan buah mangga/pauh muda, buah setar, jambu, belimbing dan sebagainya. Masam-masam buah tu sedap dicicahkan dengan colek buah. Resepi ni dikongsikan oleh Fia Sofea.

Menurut beliau, biasanya kalau nak lengkapkan lagi hidangan, selain kuah colek, buat sekali serbuk colek Thai yang hanya gunakan bahan garam, gula dan cili merah je.

Bahan-bahannya tak sebanyak macam nak buat kuah rojak. Dan ianya mudah je untuk disediakan. Biasanya kuah rojak dibuat pekat tapi colek buah ni cair je.

 

RESEPI COLEK BUAH THAI

Apa yang mudah cara buat colek buah Thai ni ialah kita tak perlu nak menumbuk-numbuk bahan pun. Cukup sekadar hiris je dan masukkan terus ke dalam kuah.

Bahan-bahan yang diperlukan:
  • 1 cawan air
  • 6 ketul gula melaka
  • Sedikit belacan
  • 1 sudu garam
  • 1 sudu sos ikan
  • 4 biji bawang merah (dihiris halus)
  • Udang kering
  • Cili padi secukupnya (ikut citarasa nak pedas mana)

Cara buat colek buah:

▶️ Masukkan air dalam kuali.

▶️ Kemudian masukkan gula melaka dan biarkan sehingga mendidih.

▶️ Kacau sehingga gula melaka larut sepenuhnya.

▶️ Seterusnya masukkan belacan dan garam.

▶️ Masukkan juga sos ikan Thai. Kacaukan kuah sehingga betul-betul sebati.

▶️ Lepas tu padamkan api.

▶️ Selepas dah tutup api, masukkan udang kering.

▶️ Masukkan juga bawang merah yang telah dihiris.

▶️ Jangan lupa cili padi merah juga.

▶️ Kacau sehingga semuanya sebati.

▶️ Dah siap, boleh sejukkan sekejap dan sedia untuk dihidangkan.

Bahan-bahan untuk serbuk colek:
  • 3 biji cili api
  • 4 sudu gula
  • ½ sudu garam
Cara buat serbuk colek:

▶️ Mula-mula buang biji cili api dulu.

▶️ Kemudian tumbuk.

▶️ Masukkan gula dalam 4-5 sudu.

▶️ Lepas tu masukkan garam.

▶️ Gaulkannya sebati.

▶️ Dah siap.

▶️ Hidangkan bersama dengan kuah colek untuk dimakan dengan buah apa pun.

 

BACA JUGA: Cara Buat Hidangan Salad Buah Paling Senang, Tapi Sedap Dan Segar Berlemak.

 

Di Kelantan memang selalu dimakan dengan buah setar ni. Cukup sedap gandingannya dengan colek buah.

Bahan-bahan hiris seperti bawang, udang kering dan cili padi tu kalau anda nak kisarkannya pun boleh juga. Rasanya tak lari, cuma teksturnya je lah yang berbeza.

Bila cicah, lagi sedap kalau dapat gigit sekali bahan dalam tu. Lepas ni nak makan buah, bolehlah cuba cicah dengan colek buah Thai ni. Pasti anda menyukainya. Selamat mencuba.

Leave A Reply

Your email address will not be published.