Segalanya Tentang Makan..

Resepi Ayam Percik Simple Dan Sedap. Dengan Isi Ayamnya Juicy Dan Sos Leleh.

0 1,208

Kalau pergi ke pasar malam tak sah kalau tak usha ayam percik. Sama ada tertarik atau tak je. Kadang-kadang risau nak beli takut tak penuhi citarasa lagi-lagi cara bakar ayam dan juga buatan sosnya. Mujur jumpa resepi ayam percik simple dan sedap yang dikongsikan oleh Hana A Razak ni.

Dapat tengok bahan-bahan perapan ayamnya. Dan paling best boleh bakar ayam ikut selera kita. Kebanyakannya ayam percik ni memang favorite kalau ayamnya tu dibakar garing dan isi pula lebih lembut dan juicy.

Cara buatnya pun nampak mudah dan simple. Untuk kuah boleh buat ikut selera dan tekak kita. Ada kalanya kuah sos yang disediakan terlebih pedas. Susah kalau nak hidangkan untuk anak-anak.

Anak-anak dah lah memang sukakan ayam. Eloklah kalau dapat belajar buat ayam percik sendiri ni. Boleh pelbagaikan menu masakan ayam untuk mereka lebih-lebih lagi buat hidangan hujung minggu.

Bila tengok bahan kuah sosnya, tak sangka ada dimasukkan santan untuk rasa kuah lebih pekat dan berlemak. Pasti sedap bila dicicah dengan ayam yang lembut juicy ni nanti.

 

RESEPI AYAM PERCIK SIMPLE DAN SEDAP

Ayam percik ni faktor utama kesedapannya ialah kuah sos dan perapan ayam. Kuah sos ni kalau kurang rencahnya, memang tak menjadi.

Ini kerana kuahnya tu bukan sahaja akan dibuat cicah, malah akan dimasukkan sikit dalam bahan perapan supaya meresap ke dalam ayam.

Bahan-bahan yang diperlukan:
Bahan yang nak diperap bersama ayam:
  • Ayam 6 ketul (atau ikut suka nak buat banyak mana)
  • Serai 1 batang
  • Bawang merah 4 biji
  • Bawang putih 3 ulas
  • Halia 1 inci
  • Garam

 

Bahan untuk kuah (dimasukkan sikit dalam perapan dan juga dijadikan sos percik):
  • Serai 1 batang
  • Cili kisar 4 sudu
  • Bawang merah 5-6 biji
  • Air asam jawa
  • Garam
  • Gula
  • Santan

Cara perap dan bakar ayam percik:

▶️ Bahan-bahan yang nak diperap untuk ayam tadi dipotong kecil-kecil dan masukkan ke dalam blender.

▶️ Dan kisarkannya sehingga halus.

▶️ Kemudian lumurkan bahan yang dikisar ni pada ayam yang dah siap dicuci bersih. Biarkan dalam 1-2 jam.

▶️ Sambil tu jom buat kuah sos perciknya pula.

▶️ Potong kecil-kecil serai dan juga bawang merah.

▶️ Dan masukkannya ke dalam blender bersama dengan cili kisar. Kalau tak ada cili kisar boleh masukkan cili kering dalam 8-10 tangkai.

▶️ Kisarkannya sehingga hancur dan sebati.

▶️ Panaskan kuali tanpa minyak.

▶️ Kemudian masukkan bahan-bahan yang dah dikisar sebati tadi.

▶️ Lepas tu masukkan santan. Masuk je santan, kena kacau kuah ni selalu sebab tak nak bagi pecah minyak.

▶️ Kemudian masukkan air asam jawa sikit. Dan gaul sebati.

▶️ Kuah yang pekat ni boleh masukkan air sikit supaya nanti boleh dibahagikan 2. Sebahagiannya untuk kuah percik, sebahagian lagi untuk perapan ayam.

▶️ Masukkan gula perang (atau gula biasa pun boleh) untuk seimbangkan rasa.

▶️ Kalau nak manis, terpulang kalau nak masukkan gula melaka.

▶️ Perasakan dengan garam.

▶️ Dah mendidih boleh padamkan api.

▶️ Ambil separuh dari kuah ni dan masukkan dalam perapan ayam tadi.

▶️ Dan sambung lagi perap sehingga total 2 jam.

▶️ Lepas perap, panaskan pan ajaib. Dan bakar ayam ni kedua-dua bahagian.

▶️ Masa nak balikkan ayam tu, tepek-tepekkan dan sapu baki bahan perapan pada ayam.

▶️ Bila dah masak, boleh angkat dan sedia untuk dihidangkan!

▶️ Tuangkan kuah percik yang dah diasingkan tadi.

 

BACA JUGA: Cara Buat Ayam Goreng Lebih Sedap Dan Wangi Dari Ayam Goreng Biasa! Mudah Je.

 

Sedapnya bila nampak kuah percik tu meleleh-leleh dengan pekat melikat dan rasa lemaknya tu. Kuah percik ni sedap kalau seimbang rasa pedas dan manisnya. Barulah kena pada tekak setiap peringkat umur.

Kalau kuah pun padu, ayam pun confirm rasa sedap dengan tekstur juicynya sebab tadi dah diperap selama 2 jam. Bolehlah lepas ni buat ayam percik sendiri je berbanding beli. Jauh lebih jimat. Nanti jangan lupa mencubanya.

Leave A Reply

Your email address will not be published.