Kalau duduk kat kawasan kampung, selalu sangat dah makan ulaman jantung pisang. Sebab mudah nak dapat. Mana-mana ada je pokok berbuah dan menghasilkan jantung pisang. Selalunya kalau dibuat ulam kita rebus je. Tapi sekarang jom cuba pula resepi kerabu jantung pisang yang nampak mewah dan sedap ni.
Mana taknya, kerabu ni ada rasa pedas, masam, wangi dan berlemak. Walaupun bahan yang digunakan ringkas je, tapi cukup berikan pelbagai rasa. Sebab tu sesuai sangat kalau dinamakan resepi ‘mewah’ seperti yang digelar oleh pemilik resepi ni iaitu Solehah Johari.
Kerabu jantung pisang ni ada aromanya sebab dicampurkan dengan pucuk putat dan serai. Ditambahkan lagi pula dengan perahan limau nipis. Kalau dah nama pun kerabu, rasa masam-masam manis dan wangi beraroma ni perlu ada. Kalau tak, boleh potong selera.
Kerabu jantung pisang ni bukan je sedap dimakan dengan nasi, malah kalau meratah begitu je pun cukup sedap. Lagi-lagi kalau adunannya baru lepas dikeluarkan dari peti sejuk dan masih segar.
Sebab tu kalau nak kekalkan rasa sedap, tak basi dan tak masam, boleh masukkan dalam peti sejuk dahulu lepas je siap dibuat. Dah lama sikit baru dijamah.
RESEPI KERABU JANTUNG PISANG SEDAP MEWAH
Apa yang membuatkan kerabu jantung pisang ni ada rasa lemak-lemak manis ialah disebabkan oleh santan pekat, kerisik dan kelapa parut yang dimasukkan ke dalam adunan.
Bahan-bahan yang diperlukan:
- Jantung pisang 2 atau 3 biji (dah siap direbus dahulu)
- Pucuk putat 1 ikat (sederhana ikat)
- Kelapa parut 1 cawan
- Cili padi 10 tangkai (ikut tahap kepedasan anda. Kalau nak lagi pedas boleh tambah)
- Bawang besar 3 biji
- Lengkuas 2 inci
- Serai 3 batang
- Cili kering 8 tangkai
- Kerisik 3 sudu
- Limau nipis 2 biji (perah dan ambil jusnya sahaja)
- Santan pekat ½ cawan
- Udang kering 1 genggam atau udang hidup (kalau udang hidup kena rebus dahulu)
- Garam dan gula secukup rasa
Cara buat kerabu jantung pisang sedap dan mewah:
▶️ Mula-mula hiriskan bahan yang perlu dihiris dulu iaitu jantung pisang, pucuk putat, bawang besar dan serai. Hiriskan bagi lagi kecil dan nipis.
▶️ Lepas tu kisar pula bahan yang perlu dikisar iaitu kelapa parut, cili padi, lengkuas dan cili kering.
▶️ Sediakan satu besen untuk satukan kesemua bahan.
▶️ Dan masukkan kesemua bahan-bahan termasuk sekali yang dikisar, yang dihiris tadi dan juga bahan lain. Gaulkan sehingga sekata.
BACA JUGA: Resepi Kerabu Maggi Thai Sedap Meleleh. Guna Mee Segera Tomyam Ori Thai. Masam, Wangi Dan Padu!
Boleh adjust rasa masam dan pedasnya seperti yang kita mahu. Mudah je sebenarnya nak buat kerabu jantung pisang ni. Sebab proses sangat ringkas dan bahan pun mudah untuk dicari.
Boleh buat hidangan sampingan bila menjamu selera makan tengah hari atau malam. Kalau sebelum ni anda suka makan ulam jantung pisang, lepas ni bolehlah cuba resepi kerabu jantung pisang pula!