Memandangkan ayam ni memang tak pernah kita miss memasaknya tiap minggu, jom kita cuba lagi jenis masakan ayam yang boleh dihidangkan untuk keluarga. Yelah, kalau buat menu yang sama je muak juga kan. Ayam bakar kicap juicy yang sedap ni antara yang boleh dimasak pada hujung minggu nanti.
Resepi ni sebenarnya simple je dan bahan pun yang memang dah biasa kita gunakan di dapur. Tapi rasa dia sedap sampai ke isi dan tulang. Padahal tak perlu diperap. Isi ayam yang lebih juicy ni sebenarnya lebih sedap dan berperisa.
Ayam bakar kicap ni anda boleh buat versi biasa atau versi pedas. Jadi, tak peninglah kalau nak buat untuk anak-anak. Dan tahap kepedasannya pun boleh adjust sendiri ikut selera masing-masing.
Kalau nak meratah atau makan dengan nasi, lagi bertambah sedap kalau dicicahkan dengan sambal tomato atau apa sahaja sos kegemaran untuk menaikkan lagi selera.
Serius ayam bakar kicap yang cukup berperisa ni kalau dibakar memang sedap, wangi dan semerbak. Ikut resepi yang dikongsikan oleh Khadijah Jaafar ni, pasti anda terus jatuh cinta.
RESEPI AYAM BAKAR KICAP JUICY
Kalau buat ayam bakar ni, lagi sedap kalau ayam anda dipotong 4. Hidangan akan lebih cantik dan nak makan pun puas.
Bahan-bahan yang diperlukan:
- Ayam 1 ekor
- Kicap manis 4 sudu besar
- Cili kisar 2 sudu besar
- Daun salam/bay 3 helai
- 400ml air
- Gula perang
- Sedikit air asam jawa
- Garam secukupnya
Bahan kisar:
- Bawang putih 4 ulas
- Cili merah 2 biji
- Cili api 2 biji
- Ketumbar ½ sudu besar
- Lengkuas 3 cm
- Kunyit 3 cm
- Halia 3 cm
Cara masak ayam bakar juicy:
▶️ Kisar semua bahan yang perlu dikisar.
▶️ Panaskan minyak dengan sedikit mentega dalam kuali, kemudian masukkan bahan kisar ni.
▶️ Masukkan sekali cili kisar dan daun bay dan tumis sehingga terbit minyak.
▶️ Lepas tu masukkan air asam jawa dan kacau sebati.
▶️ Masukkan juga kicap manis dan kacau lagi.
▶️ Perasakan dengan garam dan gula perang secukup rasa.
▶️ Kuantiti gula ni ikut selera masing-masing. Kalau anda suka manis boleh masukkan lebih.
▶️ Kemudian masukkan ayam dan gaulkan sehingga ramuannya menyaluti ayam.
▶️ Masukkan air dan biarkan sampai kuahnya kering lebih kurang dalam 15 ke 25 minit ikut saiz ayam anda.
▶️ Kalau kecil ayamnya, masak 15 minit je dah okay. Kalau besar dimasak lama sikit.
▶️ Lepas tu angkat. Dan bakarkan ayam dalam oven selama 20 minit pada suhu 170’c. Pastikan sebelum tu oven dipanaskan siap-siap dalam 15 minit.
▶️ Kedudukan ayam tu letakkan di rak paras 2 dan gunakan api atas bawah.
▶️ Lagi sedap kalau ayam dibakar atas jaring sebab kalau dimasak atas dulang ianya akan berair.
▶️Tapi sepanjang bakar boleh letakkan tray yang dialas aluminium foil di rak paling bawah sekali untuk alas air yang menitik.
▶️Selepas 10 minit bakar, sapukan ayam dengan kuahnya tadi agar dapat hasil yang cantik dan berkilat.
▶️ Lepas tu sambung bakar lagi baki 10 minit.
BACA JUGA: Cara Perap Ayam Untuk Ayam Bakar Madu. Rasa Dan Aromanya Semerbak Lepas Dibakar!
▶️ Dah siap, boleh hidangkan dengan sambal cicahnya.
Nyummy, sepanjang bakar ayam tu memang tergoda melihatnya. Kalau masa tu tak lalu makan pun boleh terus ambil nasi atau terus makan macam tu je bila dah siap dibakar.
Kadang-kadang bila boring-boring kat rumah tu nak makan ala-ala Kenny Rogers, boleh je buat resepi sendiri dan nikmatinya sekeluarga.
Lepas ni kalau nak cuba resepi ayam bakar yang baru dan enak rasanya, bolehlah cuba resepi ayam bakar kicap juicy ni. Pasti anda makan sampai licin. Selamat mencuba.