Pernah tak anda makan ayam bakar dengan perapan bawang putih? Kalau tak pernah, resepi ni antara yang wajib anda cuba. ‘Garlic roasted chicken’ ni antara resepi ayam panggang atau bakar yang mudah untuk dibuat, tapi rasanya sangat sedap dan padu.
Resepi ni telah dicuba oleh Fazreen Saini dimana beliau mendapat ilham dari resepi ‘Yogurt Garlic Roasted Chicken’. Tanpa menggunakan yogurt pun dapat hasilkan ayam bakar sedap, lembut dan juicy setanding rasanya dengan ayam bakar yogurt tu.
Kalau anda idamkan resepi ayam bakar sedap dan wangi berperisa, boleh buat resepi ni terutama kalau nak dihidangkan untuk anak-anak. Ada kelainannya berbanding kebanyakan resepi ayam bakar sebelum ni.
Kalau lihat senarai bahan-bahan perapannya, memang boleh agak yang ianya akan berikan hasil tekstur ayam yang lembut, moist dan beraroma. Lagi lama diperap, lagi sedap rasanya.
Bukan tu je, rasanya juga berlemak dan ada rasa bahang-bahang hangat dek campuran lada hitam atau cili flakes. Sekali gigit, memang tak boleh lupa. Rugi kalau anda tak cuba resepi ni.
RESEPI AYAM BAKAR PERAPAN BAWANG PUTIH
Untuk bahagian ayam, boleh masak mana-mana bahagian yang anda suka. Biasanya ayam bakar ni kebanyakan orang gemari bahagian peha. Namun ikut selera anda.
Bahan-bahan yang diperlukan:
- 1 tin susu sejat (atau susu cair)
- 5 biji limau kasturi atau lemon atau pun limau nipis (susu sejat dan limau kasturi inilah rahsia bahan ganti yogurt tu)
- 3 sudu makan butter atau mentega atau minyak
- 5 biji bawang merah
- 4 ulas bawang putih
- 2 inci halia
- Lada hitam / cili flakes
- Garam secukup rasa
- Daun rosemary atau daun sup (optional kalau nak bangkitkan lagi aroma wangi)
Cara penyediaan ayam bakar perapan bawang putih:
▶️ Mula-mula cuci bersih ayam dan kelarkan sikit. Ketepikan.
▶️ Tumbuk atau cincang halus bawang merah, bawang putih, halia dan lada hitam.
▶️ Dalam 1 besen atau mangkuk besar, masukkan ayam dan tuangkan susu sejat.
▶️ Masukkan bahan yang dah ditumbuk atau cincang tadi beserta dengan butter atau mentega.
▶️ Lumur dan gaulkan kesemua bahan ni sekata.
▶️ Kemudian perapkan. Kalau lagi lama perap lagi sedap sebab bahan-bahan ni akan lebih meresap ke dalam isi ayam.
▶️ Sambil tu panaskan oven siap-siap.
▶️ Selepas dah perap sehingga mesra, bakarkan ayam ni pada suhu 220’c selama 20 minit.
▶️ Lepas 20 minit, balikkan ayam tu dan setkan lagi masa selama 20 minit.
▶️ Kalau tak ada oven, boleh juga gunakan frying pan. Cuma perlu lebihkan butter atau mentega ataupun minyak supaya nanti tak mudah melekat atau hangus.
▶️ Bila dah cukup timingnya, check dulu sama ada isi ayam masak. Boleh cucuk dengan garfu. Kalau tak ada darah, maksudnya ayam dah masak.
▶️ Boleh angkat dan hidangkan.
BACA JUGA: Cara Buat Ayam Bakar Ala Kenny Rogers Garing Di Luar Dan Lembut Juicy Di Dalam!
Sekali gigit ayam ni, memang anda tak akan berhenti puji. Rasa lemak dan juicy isi ayam tu yang buatkan teruja dengan rasanya. Kalau makan dengan nasi dah cukup sedap, apatah lagi kalau meratah. Memang cepat je licin.
Lagi puas hati kalau bahagian luar ayam tu ada rasa garing-garing sikit. Kalau nak rasa sendiri nikmatnya macam mana, anda cubalah sendiri. Lagipun resepi ni mudah dan cepat untuk disediakan. Memang berbaloi untuk dicuba!