Kalau anda penggemar makanan Arab, mesti tau hidangan nasi afghan ni. Kaya dengan ramuan rempah dan bahan hiasan. Yang tak pernah makan pun boleh terliur tengok hidangan nasinya kan. Macam makan besar. Penuh dengan hiasan nasi ala-ala hidangan restoran mewah.
Nasi afghan ni memang terkenal di negara Arab. Asalnya dari negara Afghanistan. Itu yang dinamakn nasi afghan tu. Tapi dah popular kat serata Arab Saudi. Nama lainnya ialah kabuli palaw. Susah pula nak sebut kan.
Orang yang minat kabuli palaw ni panggil nasi afghan je. Terus terbayang hidangannya iaitu nasi yang dimasak dengan beras basmathi campur segala bahan rempah, dan kemudian dimasak dengan rebusan kambing.
Tapi sebab kambing ni susah nak dapat dan tak ramai pun yang makan, resepi dari Nurul Ateekah ni menggunakan daging je yang mudah nak disediakan.
Nak masak hidangan nasi afghan ni kena gigih sikit sebab memang menggunakan pelbagai bahan dan banyak stepnya. Tapi hasil masakan memang sedap tak terkata. Boleh buat sebagai hidangan istimewa.
RESEPI NASI AFGHAN
Cara penyediaan bahan ni ada beberapa bahagian. Ada bahan untuk rebusan daging, bahan untuk ramuan rempah nasi dan juga hiasan nasi. Ikut step ni satu persatu pasti menjadi.
Bahan-bahannya:
- Beras basmathi 4 cawan
- Daging kambing atau lembu 1 kilo
- Bawang besar 1 biji (dihiris)
- Bawang putih 2 ulas (dicincang)
- Serbuk kunyit ½ sudu kecil
- Serbuk ketumbar 1 sudu kecil
- Perasa daging 1 kiub
- Garam jika perlu
- Minyak sapi 1-2 sudu besar
- Tomato puree 1 sudu kecil
- Air 1 liter (untuk rebusan daging)
Bahan rempah:
- Daun salam ½ helai
- Buah pelaga 3 biji
- Bunga cengkih 2 kuntum
- Kulit kayu manis 1 sudu kecil
- Lada hitam ½ sudu kecil
- Jintan putih ½ sudu kecil
*Bahan-bahan ni semua perlu disangai tanpa minyak dahulu. Lepas tu kisar kering sampai hancur.
Bahan hiasan nasi:
- Lobak merah 1-2 batang (dimayang/hiris panjang)
- Kismis ½ cawan
- Kacang kuda 1 cawan (yang dah direbus)
- Minyak masak 3 sudu besar
*Grill kesemua bahan hiasan ni sampai lembut. Masakkan 1 per satu.
Cara penyediaan nasi afghan:
1. Cara rebusan:
▶️ Gunakan rice cooker atau periuk atas dapur. Kemudian panaskan minyak masak 2 sudu besar.
▶️ Setelah panas, masukkan bawang merah dan bawang putih. Tumis sehingga naik bau dan keperangan.
▶️ Lepas tu masukkan daging, serbuk kunyit, dan serbuk ketumbar. Dan terus tumis sehingga dagingnya bewarna pucat.
▶️ Kemudian masukkan air dalam 1 liter sehingga daging tenggelam. Masak sampai daging empuk.
▶️ Lepas tu boleh angkat dan toskan daging. Air rebusan daging simpan untuk digunakan dalam nasi nanti.
2. Cara sediakan bahan hiasan nasi:
▶️ Panaskan sikit minyak dalam kuali.
▶️ Masak lobak merah sehingga layu dalam 5-10 minit. Dah lembut, angkat dan ketepikan.
▶️ Lepas tu masukkan kismis pula dan masak dalam 3-5 minit. Angkat dan ketepikan.
▶️ Akhir sekali masakkan kacang kuda. Grill dalam 5-10 minit.
3. Cara masak nasi:
▶️ Mula-mula perlu rendam dulu beras basmathi dalam 20-30 minit. Dah rendam, toskan.
▶️ Lepas tu sediakan periuk nasi, panaskan minyak sapi.
▶️ Masukkan tomato paste.
▶️ Dan juga rempah yang dah dikisar halus tadi. Tumis hingga sebati.
▶️ Untuk sukatan air beras ni, nisbahnya ialah 1 cawan beras basmathi bersamaan 1 ½ cawan air. Jangan lupa gunakan air rebusan daging tadi.
▶️ Sebab masak 4 cawan beras, jadi keseluruhan airnya ialah 6 cawan.
▶️ Kalau tak cukup tambahkan je dengan air biasa.
▶️ Masukkan juga kiub daging. Kacau sekata.
▶️ Lepas tu masukkan daging yang dah direbus dan juga beras.
▶️ Dah masukkan air dan daging, tekan button cook dan biarkan nasi masak sempurna.
▶️ Lepas je nasi dah masak, biarkan kejap dalam 10 minit. Lepas tu gemburkan nasi secara perlahan agar nasi basmathi ni tak patah.
▶️ Dah siap penyediaan nasi afghan dengan lengkap!
BACA JUGA: Resepi Nasi Arab Bukhari Ayam. Hidangan Istimewa Yang Cukup Sedap Dan Digemari Ramai!
Nak hidangkan nasi afghan ni ada caranya macam selalu orang arab hidangkan. Nasi tu tuangkan atas dulang, lepas tu susun daging di atasnya.
Kemudian taburkan bahan hiasan nasi iaitu lobak merah, kacang kuda dan kismis yang kita dah masakkan tadi.
Nak lagi lengkap hidangan nasi afghan ni, bolehlah sediakan dalca, acar buah, sup arab dan sebagainya. Barulah nampak mewah seperti restoran Arab. Jangan lupa mencubanya!