Kalau makanan yang biasa dimakan di restoran ni, bila buat sendiri rasa berbaloi kalau menjadi. Percubaan berani bila buat masakan Chinese. Hidangan mee wantan kicap dan sup wantan yang dikongsikan oleh Fatihah Hamid ni memang sedap dan memuaskan hati. Tak rugi kalau cuba!
Ada sesetengah orang suka makan mee dan sup wantan tapi tak tahu macam mana nak buat. Sebenarnya tak susah sangat pun. Sekarang ni kulit wantan pun ada dijual ready made di pasaraya. Mee wantan pun merata-rata ada di pasaraya atau kedai runcit.
Selebihnya hanya perlukan bahan-bahan untuk inti wantan dan juga untuk memasak mee dan sup. Dan semua bahan ni yang biasa kita guna di dapur je. Sebab tu berbaloi buat sendiri. Tambah lagi boleh letak inti wantan lebih sikit berbanding kedai yang kadang-kadang letak ciput je.
Lepas tu kalau nak lagi sedap, buat ayam bakar untuk dijamah sekali dengan mee. Kalau dah start buat sendiri hidangan macam ni kat rumah, lepas ni memang tak makan di kedai lagi.
Masakan Chinese ni bahan-bahannya simple je. Nak buat supnya pun tak ada sebarang rempah. Simbolik makanan cina ni biasanya mesti ada minyak bawang putih.
RESEPI MEE WANTAN KICAP DAN SUP WANTAN
Dalam ketiga-tiga hidangan ni mungkin yang perlukan masa lebih sikit ialah untuk membuat wantan. Nak sediakan bahannya mudah je, tapi masa nak membalut kulit wantan dan nak bentukkannya tu mungkin agak kekok pada yang belum biasa.
Bahan-bahan wantan:
- Kulit wantan (boleh beli di pasaraya seperti Aeon dan Giant)
Bahan inti wantan:
- Isi ayam 2 ketul
- Udang 2 ekor saiz sederhana
- Lobak merah separuh dipotong dadu
- Daun bawang sebatang
- Daun sup sikit
- Tepung jagung sikit
- Garam sikit
Cara buat wantan:
▶️ Satukan kesemua bahan inti dan gaul sebati.
▶️ Tak perlu masak pun. Hanya gaulkan je.
▶️ Ambil kulit wantan dan letakkan inti di tengah.
▶️ Sapukan air dikeliling kulit wantan dan tangkupkan.
▶️ Sebenarnya ada bermacam bentuk. Terpulang pada anda nak buat bentuk apa. Janji balutan tak terbuka. Kebiasaannya orang lipat seakan sup bunjut.
▶️ Dah siap, letak tepi. Boleh direbus atau goreng.
Bahan-bahan sup wantan:
- Ayam separuh
- 1 ke 2 inci halia
- Batang daun bawang
- Fishball
- Minyak bawang putih
- Daun bawang dan daun sup
- Garam
Cara masak sup wantan:
▶️ Masukkan air dalam periuk bersama halia.
▶️Masukkan ayam dan rebus sampai masak. Kemudian angkat ayam dan ketepikan.
▶️ Masukkan fishball dan batang daun bawang yang dipotong kecil.
▶️ Biarkan mendidih.
▶️ Kemudian masukkan wantan yang dibuat tadi dan minyak bawang putih.
▶️ Tutup api dan taburkan daun bawang dan daun sup.
▶️ Dah siap.
Bahan-bahan ayam bakar:
- Ayam yang direbus tadi
- Kicap manis
- Kicap masin
- Sos tiram
- Halia yang dicincang
- Minyak bawang putih
Cara masak ayam bakar:
▶️ Satukan kesemua bahan-bahan di atas dan gaulkan ayam dengannya.
▶️ Boleh agak-agak berapa banyak kuantiti bahan yang ingin diletakkan.
▶️ Kemudian bakar atau goreng dengan sikit minyak atas pan. Tak perlu masak lama-lama sebab ayam dah masak tadi.
Bahan-bahan mee kicap:
- Mee wantan (tak kira apa-apa jenama pun)
- Kicap manis
- Kicap masin
- Sos tiram
- Minyak bawang putih
Cara masak mee kicap:
▶️ Basuh bersih mee wantan dan rebuskannya sehingga masak.
▶️ Tapis sampai semua air disejat dan gaul sebati dengan bahan-bahan kicap tadi.
▶️ Dah siap. Sedia dihidangkan.
BACA JUGA: Patutlah Viral. Memang Sedap Chun Kien Makanan Chinese Hakka Ni. Pertama Kali Buat Dah Menjadi.
Nak buatnya mungkin nampak susah sikit sebab banyak benda nak disediakan. Tapi sama juga macam kita buat mee sup yang perlu celur bahan-bahan, masak sup, sediakan sambal kicap dan sebagainya.
Tapi berbaloi sebab dapat hidangan lengkap sup wantan, mee kicap dan ayam bakar. Kalau buat makan petang, boleh kenyanglah bawa sampai ke malam.
Sekali sekala kalau nak tukar menu melayu ke menu Chinese food, bolehlah buat hidangan mee wantan kicap dan sup wantan untuk dinikmati bersama keluarga. Jangan lupa mencubanya.