Bagi penggemar masakan tempoyak, ini dia resepi ikan patin tempoyak yang boleh anda buat yang betul-betul membangkitkan selera. Musim durian sekarang ni, dapatlah buat tempoyak fresh. Masak dengan padanannya iaitu ikan patin.
Nak masak ikan patin tempoyak ni kalau nak sedap syaratnya ikan patin tu dari sungai yang segar, jadi tak ada rasa kolam yang payau. Sebab tu kalau makan ikan patin dari sungai cap temerloh memang rasanya lebih berganda sedapnya.
Tempoyak pula kalau dapat masak yang baru, lagi bertambah sedap. Pendek kata masakan ikan patin tempoyak ni memang dipengaruhi dengan rasa ikan dan tempoyak tu sendiri.
Cara masakannya sebenarnya ikut citarasa masing-masing. Malah di Temerloh sendiri pun lain orang lain cara masakannya, janji kena dengan selera dan tekak masing-masing.
Untuk resepi dari Nani Zaik ni, resepi beliau ialah dari ibunya yang merupakan anak jati Temerloh dan turun temurun dari nenek moyangnya. Dalam resepi ni menggunakan 5 bahan asas yang mudah untuk disediakan.
RESEPI IKAN PATIN TEMPOYAK
Resepi ni menggunakan 4 ekor ikan patin. Cara nak bersihkan ikan patin ni ialah cuci dengan asam keping, tepung, limau nipis atau pun lemon.
Bahan-bahan yang diperlukan:
- 10 ulas bawang merah
- 3 ulas bawang putih
- Lengkuas
- Cili padi (ikut suka pedas)
- 2 sudu besar cili boh
- 3 sudu besar tompoyak (ikut suka nak lebih atau kurang – kalau nanti rasa tak cukup boleh tambah)
- Kunyit hidup atau kunyit serbuk
- Asam keping
- 2 batang bunga kantan
- Garam bukit secukupnya
- Air bancuhan tepung jagung (untuk pekatkan kuah)
- Daun kesum
- Daun kunyit
Cara masak ikan patin tempoyak:
▶️ Mula-mula cuci bersih ikan dengan asam keping, tepung dan juga limau nipis. Tos dan ketepikan.
▶️ Kemudian tumbuk bawang merah, bawang putih, lengkuas dan cili padi. Tumbuk sehingga lumat.
▶️ Ada sesetengah resepi orang Temerloh tak masukkan bawang. Hanya tumbuk cili padi dan kunyit hidup. Ikut citarasa masing-masing.
▶️ Panaskan air dalam periuk.
▶️ Kemudian masukkan bahan yang ditumbuk tadi.
▶️ Selepas tu masukkan cili boh dan kacau sebati.
▶️ Masukkan tempoyak. Mula-mula masukkan dalam 3 sudu besar. Nanti kalau kurang boleh tambah. Kacau sehingga sebati.
▶️ Kemudian masukkan kunyit hidup atau kunyit serbuk.
▶️ Masukkan asam keping.
▶️ Masukkan bunga kantan.
▶️ Lepas tu perasakan dengan garam bukit. Mula-mula masukkan 5 sudu kecil dulu. Nanti boleh rasa-rasa.
▶️ Biarkan kuah menggelegak. Dan masukkan ikan patin.
▶️ Masukkan bancuhan air tepung jagung untuk pekatkan kuah.
▶️ Dan akhir sekali masukkan daun kesum dan daun kunyit. Biarkan mesra dalam kuah.
▶️ Sebelum padamkan api, rasa kuah dulu. Yang mana kurang seperti tempoyak atau garam, boleh adjust.
BACA JUGA: Resepi Sambal Tempoyak Jering Ikan Bilis. Selera Kampung Yang Paling Legend. Sedap Dan Mudah Je!
▶️ Lepas dah masak sepenuhnya, padamkan api dan sedia untuk dihidangkan.
Sedapnya makan dengan nasi panas-panas dengan kuah tempoyak yang banjir. Sambil menghirup kuah, sambil gigit sekali ikan patin dan daun kesum. Nikmat sangat rasanya.
Ikan patin tempoyak ni kalau simpan lagi 1-2 hari dan panaskan lagi, kuahnya akan lebih mesra dan sedap berganda.
Resepi ikan patin tempoyak dari Temerloh ni memang ada pelbagai cara dimasak ikut air tangan masing-masing. Namun resepi yang ini antara yang sedap anda boleh cuba. Selamat mencuba.