Kalau rindu nak makan kat restoran Thai musim-musim pandemik ni, jom buat masakan Thai sendiri di rumah. Set lengkap tomyam, ikan siakap 3 rasa, siakap stim, kerabu mangga/soo hoon pun dah kira lengkap. Tapi hari ni jom buat resepi ikan siakap 3 rasa kedai Thai dulu.
Siakap 3 rasa ni rasanya semua orang dah kenal. Ikan digoreng dulu, kemudian buat ramuan kuahnya yang berwarna merah. Cukup dengan rasa masam, masin, masin, pedas dan wangi. Kalau tak lengkap kesemua rasa ni bukan 3 rasa namanya.
Masakan Thai semua orang tahu kaya dengan bahan wangi seperti bawang putih, serai, daun ketumbar. Malah sos pun ada pelbagai sebagai bahan perasanya. Jangan pening pula bila banyak bahan diperlukan. Itulah yang buatkan sedap masakan Thai yang anda selalu order tu.
Resepi ikan siakap 3 rasa Thai yang dikongsikan ni ialah dari Mohd Rozmie. Resepinya serius menjadi seperti ikan siakap 3 rasa restoran Thai.
Dengan kuahnya yang pekat likat, warna merah berkilat, dan bahan yang lengkap. Ini antara resepi yang anda boleh cuba. Buat kuahnya banyak sikit baru puas makan.
RESEPI IKAN SIAKAP 3 RASA KEDAI THAI
Ikan siakap perlu digoreng garing dulu dengan tepung jagung, barulah lepas tu masak kuah sosnya. Dalam resepi ni beliau belah perut ikan sebelum goreng, mungkin untuk mudah masak.
Tapi kalau tak nak belah pun tak apa. Sekadar kelar badan pun dah okay, tapi pastikan goreng sehingga masak isinya.
Bahan-bahan ikan goreng:
- 1 ekor ikan siakap
- Garam sikit
- Tepung jagung sikit
Cara goreng ikan:
▶️ Cuci bersih ikan dan potong ikut suka anda.
▶️ Tak kira nak belah perut atau kelar je.
▶️ Kemudian tabur dan sapukan sikit garam pada ikan.
▶️ Taburkan tepung jagung pula dan sapu rata pada ikan.
▶️ Panaskan minyak dalam kuali, dan goreng ikan.
▶️ Tak perlu garing sangat. Cukup garing sikit je di luar dan isi dalam lembut.
▶️ Lepas tu angkat dan toskan. Ketepikan dulu.
Bahan-bahan masakan 3 rasa:
- 3 ulas bawang putih
- 1 inci halia
- ½ biji bawang holland
- 6 biji cili api
- 1 biji capsicum
- 1 batang serai
- 1 biji tomato
- Sedikit nenas dipotong kecil-kecil
- 3-4 helai daun limau purut
- 1 tangkai daun bawang
Bahan-bahan sos:
- ¼ mangkuk sos cili
- ¼ mangkuk sos tomato
- 3 sudu sos tiram
- 2 sudu sos ikan
Cara masak kuah sos 3 rasa:
▶️ Panaskan minyak lebihan ikan goreng tadi.
▶️ Kalau minyak banyak sangat, keluarkan sikit.
▶️ Masukkan bawang holland yang dipotong dadu dan tumis sampai layu.
▶️ Masukkan bawang putih yang dipotong dadu juga.
▶️ Masukkan halia yang dihiris dan tumis kesemuanya sehingga naik bau dan warna kekuningan.
▶️ Kemudian masukkan cili api dihiris. Kalau suka pedas boleh lebihkan cili lagi.
▶️ Masukkan pula serai yang dihiris juga dan kacau sebati. Biarkan sampai naik bau wangi serai.
▶️ Lepas tu masukkan capsicum. Kacau sekejap supaya layu sikit. Jangan lama sangat.
▶️ Kemudian masukkan campuran sos cili dan sos tomato.
▶️ Masukkan juga campuran sos tiram dan sos ikan.
▶️ Kacau sebati dan masukkan sikit air untuk seimbangkan kepekatan kuah.
▶️ Masukkan buah tomato yang telah dipotong, dan kacau sehingga sebati.
▶️ Jangan lupa buah nenas yang dipotong kecil-kecil dan taburan daun limau purut.
▶️ Kacau sebati dan biarkan kuah mereneh untuk lebih berasa.
▶️ Masa ni boleh rasa cukup tak masam, masin dan manisnya. Kalau ikutkan bahan sos semua dah cukup berasa. Tak perlu campur apa-apa lagi. Tapi ikut selera anda kalau nak tambah.
BACA JUGA: Resepi Siakap Stim Ala Thai, Masam Manis Dan Sedap Macam Restoran Thai!
▶️ Dah siap, boleh padamkan api.
▶️ Sedia untuk dihidangkan.
Letakkan ikan dalam piring panjang, lepas tu curahkan kuah sos 3 rasa tadi atasnya. Taburkan hirisan daun bawang dan daun ketumbar kalau ada. Serius padu rasanya.
Kalau dapat makan ikan 3 rasa ni dengan nasi putih panas-panas, mau anda makan sampai bertambah. Kuah sos yang lengkap dengan semua rasa buatkan sedap digaulkan dengan nasi.
Penuh bahan-bahan dalam kuah tu buatkan tambah berasa. Setiap gigitan akan terasa bawang, nenas, capsicum, tomato dan sebagainya. Serius anda wajib cuba ikan siakap 3 rasa kedai Thai ni, pasti lepas tu repeat lagi. Selamat mencuba!