Siapa je yang tak kenal laksa Johor ni. Mee yang dihidangkan ialah mee spaghetti dan kuahnya seakan masakan kari. Kalau orang Johor makan laksa gunakan tangan. Sekali pandang kita tahulah ini hidangan resepi laksa Johor. Bagi mereka yang hantu laksa Johor, mesti makan sampai licin kuahnya tanpa kesan.
Lagi-lagi hidangannya lengkap dengan sambal belacan dan ulam-ulaman. Laksa Johor ni antara juadah digemari rakyat Malaysia walaupun yang bukan berasal dari Johor. Kalau buat majlis rumah terbuka, selalu nampak ianya jadi salah satu hidangan istimewa.
Laksa Johor ni menggunakan isi ikan, rempah kari, santan dan kerisik sebagai bahan utamanya. Berbeza dengan resepi laksa dari negeri lain yang rata-rata hanya menggunakan isi ikan, bawang dan cili kering. Sebab tu rasanya agak jauh berbeza melainkan aroma daun kesum dan bunga kantan.
Mengikut resepi yang dikongsikan oleh Har Ryea ni, sebenarnya nak buat laksa Johor ni tidaklah sesusah mana. Bahannya mudah untuk didapati. Cuma perlu lebihkan sikit masa untuk sediakan hidangan sampingan seperti ulaman dan sambal belacan.
Kalau hanya makan santai-santai di rumah, bolehlah skip bahagian ni jika mahu. Tapi sebenarnya kalau nak rasa nikmat makan laksa Johor yang sebenar, lagi lengkap hidangan, lagilah berselera kita menjamunya.
RESEPI LAKSA JOHOR
Kebiasaannya ikan yang digunakan dalam kuah ialah ikan kembong. Atau ikan seakan-akan seperti ikan selar, selayang dan juga ikan parang.
Nak lagi sedap dan pekat rasanya, gunakan isi ikan dan tulangnya sekali. Cuma perlu kisarkan kedua-duanya secara beasingan. Dan tulang yang dikisar perlu ditapis.
Bahan-bahan kuah laksa:
- Ikan kembong 10-12 ekor sebesar tapak tangan (rebus, asingkan isi dan tulang dan kisar hancur)
- Lada kering dalam 10 tangkai (rebuskan, kemudian campurkan dengan 10 biji bawang besar dan 5 ulas bawang putih bersama lengkuas sebesar ibu jari. Dan kisarkan)
- Rempah kari ikan Baba’s 3 sudu besar
- Santan 2 kotak kecil
- Kerisik 2-3 sudu besar
- Asam keping 4-5 keping
- Daun kesum
- Bunga kantan (2 bunga yang dibelah 4 tiap satu)
- Garam dan ajinomoto
Bahan-bahan lain:
- Spaghetti 2 paket (rebus dan toskan)
- Bawang besar dihiris
- Timun dihiris
- Kacang panjang dihiris
- Taugeh
- Lobak asin (cuci sikit dengan air panas)
- Daun selasih dihiris
- Daun kesum dihiris
- Limau nipis belah 2
- Sambal belacan (cara buat sambal belacan akan ditunjukkan kemudian)
Cara masak kuah laksa johor:
▶️ Mula-mula rebuskan ikan dahulu. Kemudian asingkan isi dan tulang.
▶️ Kisarkan isi ikan bersama dengan air rebusan ikan sehingga hancur. Dan ketepikan.
▶️ Kemudian kisar pula tulang ikan. Lepas kisar, tapis sisa tulang dan ambil airnya sahaja.
▶️ Panaskan minyak dalam periuk, kemudian masukkan bahan-bahan kisar iaitu lada kering yang dah dikisar bersama bawang dan lengkuas tadi.
▶️ Masukkan juga rempah kari ikan dan kacau sekata. Tumis bahan-bahan ni sehingga pecah minyak dan garing sedikit.
▶️ Kemudian masukkan santan dan sedikit air rebusan ikan tadi. Kacau sekata.
▶️ Kemudian masukkan isi ikan dan tulang ikan yang dah dikisar. Kacau sebati.
▶️ Masukkan pula kerisik dan didihkan kuah kejap.
▶️ Kemudian masukkan garam, ajinomoto dan asam keping.
▶️ Masukkan daun kesum dan bunga kantan. Dan kacau sebati.
▶️ Masa ni boleh lihat sama ada kuahnya cukup pekat atau terlebih pekat. Kalau pekat sangat, boleh tambahkan sikit baki air rebusan ikan tadi.
▶️ Kalau kuah dah rasa okay, boleh biarkan ia sekejap lagi sehingga mendidih dengan api yang perlahan.
▶️ Bila lihat dah naik minyak atau bau wangi, tandanya dah siap.
▶️ Bolehlah hidangkan bersama ulaman dan juga sambal belacan.
Ini cara penyediaan sambal belacan pula.
Bahan-bahan untuk sambal belacan:
- Belacan sebesar ibu jari (bakar dulu atas api yang perlahan)
- Lada merah 5-6 biji
- Cili padi hijau 5 biji
- Pes asam jawa 1 sudu kecil
- Ajinomoto hujung-gujung sudu kecil
- Limau kasturi 2 biji (dibelah 2)
Cara buat sambal belacan:
▶️ Cuci bersih lada merah dan cili padi.
▶️ Kemudian masukkan lada merah dan cili padi ni ke dalam lesung batu bersama dengan belacan bakar.
▶️ Tumbuk sehingga hancur dengan berhati-hati (kalau nak kisar pun boleh. Kisar bersama air perahan limau kasturi)
▶️ Kalau tumbuk, lepas tumbuk sampai lumat, masukkan ke dalam mangkuk dan campurkan pes asam jawa dan ajinomoto. Kacau rata.
▶️ Dah siap sambal belacan. Nanti masa nak hidangkan, sediakan limau nipis siap-siap. Nak makan je perahkannya pada sambal belacan atau atas kuah.
BACA JUGA: Resepi Mee Kuah Kelantan Sedap Dan Paling Mudah. Campak-Campak Je Dah Siap. Makan Sampai Licin!
Cara nak hidangkan laksa johor ni, mula-mula letakkan mee spagethi ke dalam mangkuk, masukkan kuah, dan letakkan ulam-ulaman, sambal belacan, dan perahkan limau nipis. Lepas tu gaulkan dan makan dengan penuh berselera.
Kalau dapat makan kuahnya pekat dan cukup berasa ikannya dan aroma bahan lain, pasti makan sampai licin punya. Lepas ni bolehlah mencubanya!