Makanan berasas mee ni memang ramai orang suka, tak kiralah mee sup ke atau mee goreng. Tapi pernah tak anda cuba resepi mee wantan Chinese style yang merupakan salah satu makanan cina yang popular? Tapi di Malaysia ni dah diolah pelbagai versi megikut tempat yang berlainan.
Chinese food ni sebenarnya mudah dan ringkas tapi ada aroma dan rasanya yang tersendiri. Begitu juga dengan juadah mee wantan ni. Penyediaan mee ni sangat ringkas. Selalunya dibuat masak sup atau masak kering dan dihidangkan bersama dumpling.
Sesekali kalau nak tukar selera dari masakan melayu ke Chinese food apa salahnya kan. Bagi yang pertama kali nak cuba makanan Chinese, saya cadangkan anda cuba juadah mee wantan dan juga dumpling sebagai percubaan pertama.
Sebab penyediaannya senang je dan rasa pun sedap. Untuk lebih mudah anda ikuti cara penyediaan makanan ni, anda boleh cuba resepi yang dikongsikan oleh Suzana Othman ni.
Perkongsiannya terperinci, dan ditunjukkan step by step untuk sediakan mee wantan dan juga dumpling. Untuk dumpling, ditunjukkan resepi untuk kedua-dua hidangan iaitu dumpling goreng serta sup.
RESEPI MEE WANTAN DAN DUMPLING CHINESE STYLE
Untuk melengkapkan lagi rasa, biasanya hidangan makanan cina ni dilengkapi dengan sambal pedasnya yang lebih dikenali sebagai chilli oil. Ikuti perkongsian ni sehingga habis untuk lihat cara membuatnya juga.
Bahan-bahan mee wantan:
- Mee wantan 2 bungkus (1 bungkus boleh makan 4-5 orang)
- Kicap pekat 1 senduk
- Kicap cair 1 senduk
- Sos tiram 2 sudu besar
- Minyak bijan 1 sudu besar
- Sawi pakchoy 2 pokok
Cara penyediaan mee wantan:
▶️ Masukkan air dalam periuk. Kemudian panaskan sampai mendidih.
▶️ Masukkan sawi pakchoy dan sedikit garam. Celurkan sampai layu kemudian angkat sawi dan toskan.
▶️ Biarkan air mendidih tu, kemudian masukkan mee wantan yang dah dileraikan. Rebus dalam 3 minit. Lepas tu tapiskan airnya.
▶️ Lalukan mee wantan bawah air paip untuk matikan suhu. Kemudian toskan.
▶️ Mee yang dah ditapis tu masukkan ke dalam mangkuk. Dan tuangkan kicap cair, kicap pekat, sos tiram dan minyak bijan.
▶️ Kacaunya sehingga sekata dan ketepikan.
▶️ Sekarang buat dumpling pula.
Bahan-bahan untuk dumpling ayam:
- Wantan pastry 1 pek
- Isi ayam kisar 1 mangkuk
- Lobak merah ½ biji disagat
- Bawang putih 3 ulas dicincang
- Daun bawang secukupnya yang dihiris
- Tepung jagung 1 sudu besar
- Serbuk lada hitam 1 sudu kecil
- Serbuk pati ayam 1 sudu kecil
- Sos tiram 1 sudu besar
- Garam sedikit
Cara buat dumpling ayam:
▶️ Satukan kesemua bahan-bahan ni dalam mangkuk atau besen.
▶️ Kemudian gaul sehingga sebati.
▶️ Lepas tu sediakan wantan pastry, inti dumpling yang dah digaul tadi, air sejuk dan juga loyang.
▶️ Masukkan inti ke dalam pastry, kemudian sapukan bahagian tepi pastry dengan air sejuk.
▶️ Tutupkannya seperti karipap.
▶️ Dan lipat jadikan seperti bunjut.
▶️ Ni hasil lepas lipatan.
▶️ Lakukan sampai habis, dan bahagikan dumpling dah siap ni kepada 2 bahagian. Satu untuk goreng dan satu lagi untuk sup.
Bahan-bahan untuk dumpling sup:
- Isi ayam yang dipotong nipis
- Cendawan shitake kering 2 ketul (rendamkan dengan air panas)
- Daun ketumbar
- Daun bawang
- Serbuk pati ayam 1 sudu kecil
- Garam secukupnya
- Serbuk lada hitam secubit
- Serbuk lada sulah secubit
- Minyak bawang putih 1 sudu besar
- Minyak bijan 1 sudu kecil
- Dumpling
Cara buat dumpling sup:
▶️ Masukkan air dalam periuk dan panaskan sehingga mendidih.
▶️ Kemudian masukkan isi ayam, cendawan dan daun ketumbar. Biarkan kesemuanya mendidih.
▶️ Seterusnya masukkan minyak bawang putih, minyak bijan, serbuk pati ayam, garam, serbuk lada hitam dan serbuk lada sulah. Dan kacau sebati.
▶️ Dan kemudian baru masukkan dumpling. Masak sekejap je, lepas tu terus tutupkan api.
▶️ Semasa nak hidangkan, taburkan daun ketumbar.
▶️ Dah siap buat dumpling sup, buat dumpling goreng pula.
Cara buat dumpling goreng:
▶️ Panaskan minyak dalam kuali, kemudian masukkan dumpling.
▶️ Goreng dumpling dengan api yang perlahan supaya inti dumpling masak sekata.
▶️ Bila warna dumpling dah warna keperangan dan garing, boleh angkat dan toskan minyak.
▶️ Sedia untuk dihidangkan.
Bahan-bahan untuk buat chilli oil:
- Cili kering 15 tangkai (kalau nak gantikan dengan cili flakes pun boleh)
- Kayu manis 1 batang
- Bunga lawang 3 kuntum
- Buah pelaga 8 biji
- Daun bay kering 3 helai
- Bawang putih 4 ulas (diketuk dan tak perlu buangkan kulit)
- Bijan sedikit
- Garam
- Minyak masak 1 cawan
Cara penyediaan chilli oil:
▶️ Segala rempah ratus dicucikan dahulu.
▶️ Kemudian panaskan kuali tanpa minyak, dan masukkan rempah ratus ni. Sangai sekejap supaya kering. Ketepikan.
▶️ Cili kering perlu dikeringkan betul-betul. Jadi jemurkan bawah matahari. Kalau di rumah ada air fryer, gunakan air fryer je untuk mudah dan cepat (gunakan suhu 60’c selama 10 minit).
▶️ Lepas kering, kisarkan dengan blender kering. *Tapi kalau anda gunakan cili flakes, abaikan step keringkan dan kisar cili ni.
▶️ Masukkan cili ni ke dalam bekas tahan panas. Masukkan sekali bijan dan juga garam. Ketepikan.
▶️ Dalam kuali, panaskan minyak masak 1 cawan tadi, lepas tu masukkan rempah ratus dan bawang putih tadi.
▶️ Masakkan dengan api kecil je sehingga warna bawang keperangan dan naik bau.
▶️ Kemudian tapiskan minyak panas ke dalam mangkuk berisi cili tadi. Pastikan guna penapis besi, sebab proses menuang minyak ni perlu dibuat terus ketika masih panas.
▶️ Kemudian kacau sebati dan sejukkan.
▶️ Lepas minyak dah sejuk boleh masukkan dalam bekas kaca supaya minyak tahan lama macam minyak biasa. Simpan dalam suhu bilik.
Sedia untuk hidangkan mee wantan yang dah dibuat awal-awal tadi bersama dengan dumpling sup dan dumpling goreng.
BACA JUGA: Resepi Kuey Teow Th’ng Chinese Style. Kuah Sup Paling Simple Tapi Sedap!
Mee wantan ni sebenarnya nak lagi sedap, buatnya hujung-hujung lepas dah siap masak dumpling sup dan dumpling goreng. Barulah mee tu ‘fresh’ lagi dan tak kering.
Memang sedap sangat feeling-feeling makan dekat restoran Chinese bila lengkap hidangan kesemua ni termasuk dengan chilli oil tadi.
Bolehlah sesekali buat hidangan istimewa resepi mee wantan dan dumpling chinese style untuk keluarga melayan tekak selera cina pula. Jangan lupa mencubanya!