Dalam banyak-banyak nasi berperisa, nasi ayam antara yang paling orang suka. Nasi ayam yang simple-simple pun laku, apatah lagi nasi ayam yang lengkap semua bahan dengan gorengan ayamnya yang sedap. Di sini saya tunjukkan resepi nasi ayam sedap, mudah dan cepat yang anda boleh buat.
Nampak menarik hidangan nasi ayam oleh Nur Masri ni. Daripada nasi, sampai ke ayam dan kuah sup. Nampak menyelerakan. Kalau makan kat kedai pun tak semuanya ada hidangan yang menarik macam ni.
Nasi ayam ni nak lengkap kenalah ada nasinya yang ditumis wangi dulu. Lepas tu ayam goreng yang mulanya direbus dan diperap. Kemudian kuah sup rebusan ayam dan juga sos merah dan kicap.
Dah ada ni semua dah kira lengkap. Selebihnya salad, timun dan tomato sebagai penambahan. Mudah je sebenarnya sebab kesemuanya dimasak sekali.
Air rebusan ayam akan menjadi sup. Kuah perapan ayam pula akan menjadi kuah kicap nanti. Tak ada lah kena masak lain-lain atau secara berasingan. Kalau dah biasa buat, sekejap je siap.
RESEPI NASI AYAM SEDAP, MUDAH DAN CEPAT
Ayam ni selepas je perap terpulang pada anda sama ada nak bakar dalam oven atau air fryer ataupun goreng. Kalau bakar ni biasanya kurang berminyak dan garingnya tu mungkin tak sama dengan goreng.
Namun kalau nak goreng pun sedap juga janji goreng jangan terlajak lama sebab takut keras. Bila dah keras memang boleh potong selera.
Bahan rebusan ayam:
- 1 ekor ayam (dipotong kecil)
- 1 inci halia (diketuk)
- 1 kiub ayam
- 1 kuntum bunga lawang
- 1 batang kayu manis
- 2 biji buah pelaga
- Air secukupnya
Bahan perapan ayam:
- 2 sudu besar kicap pekat
- 2 sudu besar sos tiram
- 1 cm halia (tumbuk halus)
- 2 ulas bawang putih (tumbuk halus)
- 1 sudu besar kicap cair
- 2 sudu besar madu
- Sedikit gula kabung
Cara penyediaan ayam:
▶️ Cuci bersih ayam dan toskan.
▶️Kemudian rebus ayam bersama dengan kiub ayam, halia dan 3 sekawan. Rebus sehingga ayam empuk.
▶️ Dah masak ayam, boleh angkat dan perapkan dengan bahan perapan selama ½ jam sebelum goreng atau bakar.
▶️ Air rebusan ayam tadi biarkan untuk kegunaan nasi dan sup.
▶️ Goreng ayam dalam api sederhana sehingga masak.
Bahan-bahan nasi:
- 4 cawan beras (guna beras biasa. Kalau guna basmathi sukatan air berbeza dengan beras biasa)
- 5 cawan air rebusan ayam
- 2 sudu besar minyak sapi atau butter
- 2 cm halia (tumbuk halus)
- 3 ulas bawang putih (tumbuk halus)
- 2 ulas bawang merah (tumbuk halus)
- Sedikit garam
- 2 bunga lawang*
- 4 buah pelaga*
- 1 kayu manis*
- 1 batang serai (ketuk)
- 2 helai daun pandan
- Sedikit serbuk kunyit
Cara masak nasi:
▶️ Basuh bersih beras dulu kemudian toskan.
▶️ Panaskan butter dalam periuk nasi. Lepas tu masukkan rempah 3 sekawan yang bertanda *.
▶️ Masukkan juga daun pandan, serai, halia dan bawang. Tumis kesemuanya sehingga wangi.
▶️ Dah wangi, boleh masukkan beras dan gaulkan sekata. Biarkan sekejap untuk naikkan lagi aroma.
▶️ Dan akhir sekali masukkan air rebusan ayam, garam dan sedikit serbuk kunyit. Gaul sebati dan padamkan api.
▶️ Boleh masak nasi seperti biasa dalam periuk elektrik.
Bahan untuk sup:
- Air rebusan ayam tadi
- 1 biji bawang merah dan 1 ulas bawang putih (dikisar sekali)
- Rempah sup bunjut
- Garam
- Lada sulah
- Daun sup dan daun bawang (hiris)
- Bawang putih dan bawang merah (digoreng)
Cara masak sup:
▶️ Baki air rebusan ayam tadi sambung tenggek atas api.
▶️ Masukkan rempah sup bunjut, bawang besar dan garam secukup rasa.
▶️ Selepas dah menggelegak sebati, padamkan api.
▶️ Taburkan bawang goreng, hirisan daun sup dan daun bawang.
Bahan sos merah:
- 6 biji cili merah
- 3 ulas bawang putih
- 1 cm halia (optional)
- 1 sudu besar cuka
- 1 sudu teh garam
- 1 sudu teh gula
- ½ cawan air
Cara masak sos merah:
▶️ Kisarkan kesemua bahan di atas.
▶️ Lepas tu masak atas dapur sehingga naik aroma.
Bahan kuah kicap:
- Kuah kicap perapan ayam di atas
- Kicap manis
- Air rebusan ayam
Cara masak kuah kicap:
▶️ Satukan kesemua bahannya.
▶️Dan masak atas dapur. Kalau tak nak masak pun, gaulkan je sebati.
BACA JUGA: Resepi Nasi Ayam Sos Lemon. Lebih Istimewa Sebab Ayam Goreng Crispy Dan Sos Madu Lemon!
Dah siap hidangan nasi ayam lengkap yang mudah dan sedap. Simple je kan. Bila semua masak sekali memang cepat je siap.
Kalau ayam tu dimasak gunakan oven atau air fryer lagi cepatlah siap masak. Sebab sambil ayam sedang dimasak tu, boleh sediakan bahan lain seperi sos merah dan kicap.
Sambil tu boleh juga sediakan bahan lain iaitu potong-potong ulaman tambahan seperti timun dan tomato. Resepi nasi ayam sedap, mudah dan cepat ni serius anda boleh cuba! Semoga bermanfaat.