Biasanya kalau teragak makan nasi briyani kita akan cari di kedai mamak. Betul tak? Nasi briyani ni sememangnya jadi menu wajib di sana. Tapi pernah tak anda cuba sendiri resepi nasi briyani kari kambing adabi yang berbeza rasanya berbanding kari mamak? Sekali cuba, memang tak akan menyesal.
Kalau sebut je adabi, ianya lebih kurang macam kari melayu. Ada sesetengah tu memang sejak azali setia dengan kari melayu walaupun kari briyani ni sinonim dengan resepi mamak. Bagi yang gemarkan nasi briyani, boleh sesekali tukar selera dari briyani mamak ke nasi briyani kari adabi pula.
Resepi nasi briyani kari kambing Adabi yang dikongsikan oleh Arya E-ra ni pernah viral tahun lalu sebab rasanya yang padu. Tak jauh beza sangat dengan resepi yang sedia ada cuma dimasukkan lamb curry adabi.
Bila masukkan kari kambing adabi ni terus aroma dan rasanya sedap lain macam. Boleh buat sendiri di rumah sebagai hidangan istimewa hujung minggu. Puas dapat makannya sekeluarga.
Resepi yang dikongsikan ni sesuai untuk hidangan 3-4 orang makan dengan masak 3 setengah pot beras dan juga 2 tin kari kambing adabi. Kalau nak buat banyak, boleh gandakannya.
RESEPI NASI BRIYANI KARI KAMBING ADABI
Kalau buat nasi briyani ni biasanya dengan beras basmathi. Nasi yang terhidang akan cantik dan kembang.
Bahan-bahan yang diperlukan:
- Beras basmathi 3 setengah pot
- Susu cair 1/3 tin
- Air setengah dari sukatan biasa
- Bawang kecil 4 biji (dihiris)
- Minyak sapi ghee 4 sudu
- Bay leaves 3 keping
- Daun ketumbar sedikit (dicincang)
- Garam sedikit
- Tomato sebiji (dipotong)
- Kismis 1 paket kecil
- Gajus sedikit
- 4 sekawan
- Kari kambing adabi 2 tin
- Sedikit garam
Cara masak nasi briyani kari kambing:
▶️ Mula-mula panaskan periuk dan tumis minyak sapi.
▶️ Kemudian masukkan bawang kecil dan tumis sampai sedikit garing dan naik bau.
▶️ Masukkan 4 sekawan.
▶️ Dan masukkan juga kari kambing adabi. Ambil isi dan kuahnya yang penting. Boleh buang minyak yang bertakung dalam tin.
▶️ Masukkan garam, bay leaves dan tumis sekata.
▶️ Bila tumisan dah masak cantik, masukkan beras, susu cair, air dan daun ketumbar. Kacau beras dan bahan-bahan ni sebati.
▶️ Kemudian baru masukkan dalam periuk nasi dan tenggekkannya sehingga masak.
▶️ Lepas nasi tu masak je dan hampir kering, terus buka tudung periuk dan taburkan gajus dan kismis.
▶️ Biarkan beberapa minit lagi sehingga nasi kering dan masak sepenuhnya.
▶️ Sedia untuk dihidangkan!
BACA JUGA: Resepi Nasi Minyak Terengganu Gulai Daging Sedap. Hidangan Yang Cukup Istimewa.
Naik aroma nasi briyani kari kambing yang sedap ni bila buka je tudung periuk. Hasil masak pun cantik kejadiannya dengan nasi yang lembut, wangi dan menyelerakan.
Aroma kari kambing adabi tu yang buatkan sedap. Kalau anda belum pernah cuba mana-mana resepi nasi briyani, bolehlah cuba resepi briyani ni sebab mudah dan sedap. Jangan lupa mencubanya!