Rindunya nak makan tomyam dengan telur dadar kat kedai makan Thai. Musim pkp ni nak jejak kaki keluar rumah pun susah kan. Dah alang-alang jumpa resepi tomyam campur ala kedai makan Thai ni, jomlah buat tomyam sendiri di rumah untuk hidangan makan malam nanti.
Hidangkan sekali dengan telur dadar dan kailan ikan masin, boleh feeling-feeling sedang menjamu selera di kedai makan. Nak buat tomyam campur ala Thai ni mudah je sebenarnya. Asalkan kuahnya cukup dengan rasa pedas, manis, masam, dan juga pekat. Dah kira menjadilah tu.
Makan dengan nasi panas-panas dan hidangkan kuah tomyam tahap banjir memang cukup menyelerakan. Confirm makan sampai bertambah-tambah.
Bila buat sendiri ni bolehlah buat versi tekak sendiri. Sama ada nak lebih pedas, atau pedas biasa-biasa je. Nak buat masam atau kurang masam pun boleh adjust sendiri.
Yang penting ianya sedap dan cukup aroma tomyamnya. Kalau anda nak cuba, jom ikut resepi dari perkongsian Cikgu Afy Al Habibi ni.
RESEPI TOMYAM CAMPUR ALA KEDAI MAKAN THAI
Kalau tak nak buat tomyam campur, boleh je keluarkan bahan apa yang anda tak mau. Buat versi tomyam ayam atau tomyam seafood pun boleh juga ikut resepi yang sama.
Bahan-bahan yang diperlukan:
Bahan tumis:
- Serai 2 batang yang dihiris serong (ketuk siap-siap bahagian umbi depannya)
- Cili padi 3 tangkai (ikut kepedasan)
- Tomato 1 biji (dibelah 4)
- Daun limau purut 3 helai
- Serumpun batang daun ketumbar (dalam resepi ni diletakkan daun sup sebab kehabisan daun ketumbar. Sebaiknya letakkan daun ketumbar)
- Bawang putih 3 ulas (diketuk)
- Bawang holland ½ biji (dihiris memanjang)
- Halia 1 inci (diketuk)
- Lengkuas 2 hiris
Bahan lain:
- Ayam dipotong kecil-kecil
- Sotong (dikelar)
- Udang
- Pes tomyam 2 ½ sudu besar
- Air 3 cawan (600ml)
- Sos cili Life ½ sudip
- Air perahan limau nipis sedikit
- Garam 1 sudu kecil
- Gula 1 sudu besar (terpulang nak banyak mana. Kalau tak suka manis boleh kurangkan)
- Serbuk perasa secubit
- Serbuk lada putih secubit
- Susu cair 1 sudu besar (terpulang kalau nak rasa berlemak)
Cara masak tomyam campur ala Thai:
▶️ Sediakan periuk. Dan panaskan minyak sedikit sahaja.
▶️ Masukkan bawang putih dan tumis sampai naik bau.
▶️ Setelah bawang putih dah wangi dan garing sikit, masukkan kesemua baki bahan tumis yang lain. Dan tumis sampai layu.
▶️ Setelah layu, masukkan potongan ayam dahulu. Biarkan minyak ayam keluar untuk rasa lebih sedap.
▶️ Kemudian masukkan pes tomyam. Guna jenama yang tertera di atas lebih sedap. Namun terpulang kalau anda nak gunakan jenama lain.
▶️ Gaulkan pes dan bahan-bahan lain sehingga sebati. Dan tutupkan periuk sekejap untuk biarkan pes pecah minyak.
▶️ Selepas tu masukkan air 3 cawan. Kacau rata.
▶️ Masukkan sos cili dan gaul sebati.
▶️ Masukkan air perahan limau nipis (perahkan 1 hiris limau sahaja pun boleh. Kalau suka masam boleh lebihkan).
▶️ Kemudian perasakan dengan semua bahan perasa iaitu garam, gula, serbuk perasa dan serbuk lada putih. Kuantitinya boleh rasa yang mana sesuai dengan tekak anda.
▶️ Masukkan susu cair kalau nak rasa kuah sedikit berlemak.
▶️ Biarkan mendidih dan pekat kuahnya.
▶️ Dan akhir sekali masukkan sotong yang dikelar dan juga udang.
▶️ Biarkan sekejap dalam 2 minit, dan boleh padamkan api.
BACA JUGA: Resepi Siakap Stim Ala Thai, Masam Manis Dan Sedap Macam Restoran Thai!
Sedapnya kalau dapat hirup kuah tomyam yang cukup dengan rasanya ni. Tomyam ni memang special sebab bahan-bahannya semua mewangikan kuah. Itu yang buatkan kita tak cepat muak.
Dah siap masak tomyam, bolehlah hidangkan dengan telur dadar dan sayur kailan ikan masin. Nak lagi padu, hidangkan sekali sambal belacan dan hirisan timun sebagai ulaman. Barulah feeling macam makan kedai Thai.
Semoga perkongsian resepi tomyam campur ala kedai makan Thai ni beri manfaat kepada anda musim-musim pkp ni. Tak ada lah rindu lagi nak ke kedai makan Thai selepas ni. Selamat mencuba!