Kalau kita jenis suka masak, memang segala jenis masakan kita nak cuba kan. Apa kata kalau ada baki ayam dalam peti ais tu cuba resepi ayam bakar madu western yang super lazat dan padu rasanya ni. Dia punya rasa garing di luar dan lembut juicy di dalam buatkan kita tergoda.
Memang puas kalau hidangkan untuk anak-anak. Ayam madu ni bukan je rasa manis-manis madu semata, tapi ada aroma campuran herba yang menaikkan lagi rasa. Selalu anak-anak ni paling tidak pun ayam goreng yang diminatinya.
Sesekali bagi mereka santapan ayam madu western ni pun enak juga. Memang tak perlu cicah dengan apa-apa sos lagi dah. Sebab ayam ni dimasak dengan cukup berasa. Ada rasa bahang-bahang wangi dan manis madu.
Cara penyediaan ayam bakar madu western ni mudah je. Hanya perlu gaulkan bahan sehingga sebati dan terus bakar. Tak perlu perapkan ayam pun.
Resepi mudah dan ringkas ni dikongsikan oleh Ben Safwan. Bahannya kebanyakan adalah campuran rempah dan senang je untuk disediakan. Jom lihat cara penyediaannya.
RESEPI AYAM BAKAR MADU WESTERN
Resepi yang dikongsikan ni ialah sukatan untuk 2 ketul peha ayam yang besar (bahagian atas dan bawah). Kalau anda nak buat lebih, boleh gandakan bahannya supaya bersesuaian dengan berapa banyak ketul ayam dan saiznya. Barulah bahan dan ayam masak sekata.
Bahan-bahan yang diperlukan:
- Minyak masak 1 sudu makan (untuk pastikan ayam tak kering)
- Madu/maltose 1 sudu makan (untuk ayam berkilat dan rasa manis)
- Serbuk cili Babas 1 sudu makan (untuk ayam cantik merah dan ada rasa pedas)
- Garam bukit 1 sudu teh
- ½ sudu makan untuk setiap jenis herba ini: Parsley, Thyme dan Basil
Cara buat ayam bakar madu western:
▶️ Mula-mula cuci bersih ayam, kemudian kelar atau cucuk sikit isinya supaya nanti bahan-bahan mudah meresap sampai ke dalam isi.
▶️ Kemudian satukan kesemua bahan dalam satu mangkuk dan lumurkan sebati pada ayam. Tak perlu diperap.
▶️ Kemudian bakar dalam air fryer pada suhu 170’c untuk 20 minit pertama.
BACA JUGA: Resepi Ayam Percik Simple Dan Sedap. Dengan Isi Ayamnya Juicy Dan Sos Leleh.
▶️ Selepas 20 minit, terbalikkan ayam dan bakar lagi selama 10 minit untuk suhu yang sama.
▶️ Selepas 10 minit tu, turunkan suhu pada 140’c untuk pastikan ayam betul-betul masak keseluruhannya sampai ke tulang. Masa ni tak perlu terbalikkan ayam lagi dah.
▶️ Dah siap. Sedia untuk dihidangkan.
Memang sedap dan menggoda lepas je ayam baru dibakar. Boleh bau haruman herba dan wangi madu. Nak makan dengan nasi boleh. Atau ratah macam tu je pun lagi menyelerakan.
Yang buat sedap tu bila ayam dibakar rangup di luar. Dan isinya bila digigit terasa juicy. Tambahan lagi cukup berasa bila bahan meresap sepenuhnya ke dalam isi. Memang berbaloi anda buat untuk hidangan sekeluarga. Jangan lupa mencubanya!