Ingat tak corndog ni? Antara makanan street food yang selalu sangat viral kalau orang cerita pasal makanan kudapan. Paling orang Malaysia suka sangat usha kalau nampak dijual kat stall tepi jalan, atau dalam mall.
Kali ni saya nak kongsikan resepi corndog paling simple dan sedap, sesuai nak buat makan santai anak-anak waktu petang. Senang je penyediannya. Bahan semua simple. Kalau anda nak letakkan cheese pun lagi best.
Perkongsian ni dari Nur Sharifah Salleh. Mak-mak yang tak tau nak masak apa untuk anak-anak tu bolehlah buat resepi ni. Yelah, duduk rumah tu memang anak-anak ni selalu sangat lapar dan minta makan kan. Buat je corndog ni sebab sekejap je dah siap.
Resepi ni sedap sebab adunan roti tu dibuat seperti donut. Gebu dan lembut. Digoreng pula garing dengan serbuk roti. Krup krap krup krap bila kita makan. Tak letakkan cheese pun dah sedap dah.
Masa hidangkan tu, picitkan sos, mayonis dan keju leleh. Confirm anak-anak suka. Satu cucuk sorang pun tak cukup. Jom kita lihat cara buatnya.
RESEPI CORNDOG PALING SIMPLE
Untuk serbuk roti yang akan digunakan di hujung-hujung nanti, anda boleh guna roti kat rumah yang tak bermakan tu dan blend jadikannya serbuk roti. Tak perlu beli serbuk roti lagi dah kat kedai. Blend kering je roti tu.
Bahan-bahan yang diperlukan:
- 6 batang sosej (apa-apa brand yang anda suka)
- Penyucuk lidi
- 1 cawan tepung
- ¾ cawan susu full cream
- 1 sudu teh serbuk yis
- Secubit garam
- 1 sudu gula
- 1 biji telur
- Serbuk roti (atau roti yang diblend)
Cara buat corndog:
▶️ Mula-mula sediakan 1 bekas yang besar. Masukkan tepung, susu full cream, telur, serbuk yis, garam dan gula.
▶️ Kemudian gaulkan sehingga sekata.
▶️ Nanti adunan tu pekat-pekat seperti cekodok. Jangan buatnya terlalu cair sebab nanti tak kembang.
▶️ Tutupkan adunan dengan plastik wrap. Dan biarkan ia selama sejam.
▶️ Dalam pada menunggu tu, cucukkan sosej dengan lidi.
▶️ Selepas sejam, buka plastik dan gaul-gaulkan sekali lagi adunan.
▶️ Tuangkannya ke dalam bekas yang tinggi sikit supaya nanti senang nak celupkan sosej ke dalamnya.
▶️ Celup sosej yang dicucuk lidi tadi sehingga terendam kesemuanya.
▶️ Salutkan lagi dengan serbuk roti sekeliling adunan sosej.
▶️ Bagi yang buat sendiri serbuk roti menggunakan roti biasa, carikkan roti kecil-kecil dan blend kering seperti di atas ni.
▶️ Blend kan ia sehingga halus seperti serbuk roti yang ada di kedai tu.
▶️ Selepas dah gaulkan dengan serbuk roti, goreng dalam minyak panas.
▶️ Dah sedia dihidangkan.
▶️ Picit sos, mayonis dan keju leleh di atas corndog untuk menaikkan lagi selera.
BACA JUGA: Resepi Daging Kerutuk Sedap, Original Dari Kelantan. Memang Padu Kuahnya!
Sedapnya corndog simple ni kalau buat makan santai kat rumah dengan anak-anak. Kalau anda suka yang ada cheese, boleh letakkan cheese mozzarella atau kepingan cheese di sekeliling sosej sebelum disalut adunan tepung.
Bila dimakan tarik-tarik macam selalu kita tengok orang jual tu memang sedap. Tapi kalau tak letak cheese pun dah sedap juga dinikmati. Ikut citarasa anda. Boleh pakat buat dua-dua, supaya tak ada lah jemu makan 1 jenis je kan.
Gorengan tepung pun memang dah sedap sebab gebu dan lembut macam roti. Digigit dengan garingan serbuk roti. Puas dah kita makan. Nanti jangan lupa mencubanya!