Pernah tak anda dengar nasi daun limau purut? Selalu daun limau purut ni kita letakkan dalam lauk masakan. Kali ni dalam nasi. Resepi nasi limau purut ni sebenarnya sedap tau. Bila masak, boleh bau harum wangi nasi tu satu rumah.
Cara masak nasi ni lebih kurang je macam masak nasi berperisa lain. Kita tumis segala bahan awalnya-awalnya. Tumisan tu sahaja dah cukup wangi. Bila dimasukkan daun limau purut, lagi bertambah naik aromanya.
Nasi limau purut ni bertambah sedap jika dihidangkan dengan ayam masak merah atau rendang seperti nasi berperisa lain. Boleh jadi idea masakan istimewa anda pada hujung minggu atau untuk hidangan tetamu.
Nasi ini juga sesuai kalau dihidangkan sekali dengan acar nenas Thai. Acar nenas Thai ni pun bukan biasa-biasa resepinya. Ianya dalam bentuk sos atau kuah, dan bahan sampingan lain akan dimasukkan ke dalam kuah acar ni nanti. Memang terangkat rasa dia!
Perkongsian resepi ni dari Puan Jamiah Tulisman. Walaupun jarang dengar tentang resepi ni, tapi hidangannya cukup istimewa. Cara buat pun tidak lah susah mana. Tak rugi kalau anda cuba.
RESEPI NASI LIMAU PURUT
Menariknya, nasi ni akan rasa lemak wangi sebab dimasukkan santan. Untuk lebih enak, gunakan beras basmathi dan pastikan nasi dimasak lembut. Jadi, untuk sukatan airnya anda perlu pastikan betul. Barulah sedap untuk dijamah sekeluarga.
Bahan-bahan untuk nasi:
Untuk bahan-bahan ni, sukatannya mengikut berapa banyak nasi ingin dimasak. Kalau ikut resepi ni, kita guna sukatan untuk 7 cawan beras basmathi.
- Marjerin 3 sudu besar + sedikit minyak
- Halia dihiris nipis
- Bawang putih 4 ulas dihiris
- Bawang besar 2 biji dihiris
- Serai 2-3 batang dititik
- Daun limau purut 8-10 helai (kalau lagi banyak lagi sedap)
- Daun pandan 2 helai disimpulkan
- Garam secukup rasa
- Santan (pakai santan kotak)
- Air ikut sukatan beras dicampurkan dengan santan kotak (untuk resepi 7 beras basmathi, masukkan 9 ½ cawan air dan campurkan dengan ½ kotak santan Kara). *Air ikut sukatan beras anda bagi yang tak gunakan beras basmathi
- 1 kiub ayam
- 7 cawan beras basmathi (cuci bersih dan toskan airnya)
- Pewarna hijau
Cara masak nasi limau purut:
Mula-mula panaskan marjerin dan sedikit minyak dalam periuk.
Masukkan bahan-bahan yang dihiris dan tumiskan sampai naik bau wangi.
Kemudian masukkan serai, daun pandan dan daun limau purut. Kacau dan biarkan aromanya naik dan daun layu.
Apabila dah naik bau wangi, masukkan air, garam, santan, kiub ayam dan beras. Kacau sekata.
Kemudian masukkan dalam periuk nasi elektrik dan masak nasi seperti biasa.
Selepas nasi dah masak, titiskan pewarna hijau beberapa titik di permukaan nasi. Dan kacaukan sikit-sikit je gunakan garfu supaya nasi tak hancur.
Dah siap nasi limau purut. Sekarang sediakan acar nenas Thai pula.
Bahan-bahan acar nenas Thai:
- Nenas 1 biji dipotong kecil-kecil
- Serai 1 batang dihiris
- Bunga kantan 1 batang dihiris
- Bawang putih 2 ulas
- Daun limau purut 3 helai dihiris
- 1 cawan sos cili Thai jenama Life (atau setengah botol)
- Limau nipis 1 biji diperah jusnya
- Sedikit garam dan gula
Cara penyediaan acar nenas Thai:
Masukkan kesemua bahan ni ke dalam blender dan kisarkan sehingga lumat.
Tak perlu lagi dicampurkan air sebab nenas dan sos dah berair.
Kemudian tuangkan ke dalam mangkuk.
Bahan-bahan lain:
- Bawang besar 1 biji yang dipotong dadu atau hiris
- Cili merah dan cili padi dihiris (ikut banyak mana anda suka)
- Timun 1 batang yang dibuang kulit dan dipotong dadu
- Sengkuang kecil ½ biji dipotong dadu
- Buah mangga 1 biji
- Daun ketumbar
- Ikan kering digoreng rangup
Cara penyediaannya:
Campurkan kesemua bahan ni ke dalam mangkuk acar nenas tadi dan kacau sekata. Sedia untuk dihidangkan dengan nasi limau purut.
Untuk bahan-bahan lain acar nenas ni, terpulang pada anda nak potong sayuran cara macam mana. Mungkin anda lebih suka potong cara memanjang. Boleh ikut citarasa sendiri.
BACA JUGA: Resepi Nasi Arab Bukhari Ayam. Hidangan Istimewa Yang Cukup Sedap Dan Digemari Ramai!
Bagi ikan kering dan mangga pula, terpulang nak masukkan atau tidak. Tapi kalau masukkan lagi sedap dengan kepelbagaian bahan dalam kuah acar ni. Cukup rasa masam, manis, masin dan pedas untuk hidangan ni.
Nanti bolehlah cuba untuk buat hidangan istimewa keluarga. Masa hari raya nanti pun kalau nak jadikan hidangan tetamu pun boleh juga. Barulah ada kelainan sikit berbanding hidangan biasa kita selalu buat. Selamat mencuba!