Kalau pergi ke gerai kuih, jumpa kuih popia sira sambal ni mesti terliur kan. Sambalnya tu buat kita tertarik. Lagi selupat dan cantik berkilat, lagilah berselera. Pernah tak anda terfikir nak buat sendiri? Kalau nak cuba, jom ikut resepi popia sira sambal sedap dan rangup ni.
Sekali cuba, mesti ralit makan kuih ni sampai berbiji-biji. Rasanya yang pedas, manis dan rangup tu buatkan kuih ni digemari. Kalau dapat buat sendiri lagi puas hati sebab dapat isi penuh intinya ikut citarasa anda.
Kalau buat hidangan minum petang, sedap betul nikmati kuih yang pedas rangup ni sambil minum dengan nescafe o panas. Resepi popia sira sambal ni ada dikongsikan oleh Raja Amanina.
Sekali pandang kuihnya memang jatuh hati! Dalam resepi ni juga ada disediakan tips untuk hasilkan kuih popia yang rangup dan sedap.
Popia ni kita tahu intinya lebih kepada sayuran yang lebih crunchy dan sedap digigit bersama kulit popia tu sendiri. Bila digigit dengan sambal manis, alangkah nikmatnya rasa. Jom lihat resepinya.
RESEPI POPIA SIRA SAMBAL
Untuk inti, selain sayuran masukkan sekali isi dada ayam yang dicincang halus. Kalau anda suka daging atau selain dari tu, boleh masukkan ikut selera masing-masing.
Bahan-bahan yang diperlukan:
Bahan inti:
- Dada ayam 2 keping yang dicincang halus
- Bawang putih 2 ulas dipotong dadu
- Taugeh
- Lobak merah
- Kobis
- Daun bawang
Cara penyediaan inti:
▶️ Mula-mula panaskan minyak dalam kuali dan tumis bawang putih sehingga naik bau. Kemudian masukkan isi ayam.
▶️ Selepas tu masukkan sayuran dan perasakan dengan garam dan gula.
▶️ Letakkan inti atas kulit popia, kemudian gulung kemas-kemas.
▶️ Kemudian boleh terus gorengkan sehingga garing.
▶️ Angkat dan toskan.
Bahan-bahan untuk sambal:
- Cili kisar atau cili giling 1 cawan
- Gula 1 cawan
- Sedikit minyak
- Secubit garam
- Asam keping 1 keping
Cara masak sambal:
▶️ Panaskan minyak dalam kuali, kemudian tumis cili kisar hingga garing.
▶️ Kemudian masukkan gula dan asam keping dan masak sehingga sambal mendidih dan berbuih.
▶️ Dah masak, boleh padamkan api dan tunggu sehingga sambalnya suam.
▶️ Kemudian masukkan popia yang dah siap digoreng tadi dan gaul sekata.
▶️ Dah siap, sedia untuk dihidangkan.
BACA JUGA: Cara Buat Roti Sisir Atau Roti Balok Sedap Berlemak! Boleh Buat Hidangan Minum Petang!
Untuk kulit popia, tips untuk kulit yang garing, gulungannya tu perlu ketat dan kemas baru cantik dan garing bila digoreng.
Manakala tips untuk sambal bagi kekalkan popia sira ni rangup ialah sambalnya perlu dimasak hingga berbuih. Selain tu, sambal tu perlu tunggu sedikit suam dulu baru digaulkan dengan popia goreng.
Rasanya memang sedap sebab penuh dengan inti ayam dan sayuran. Bila popia digigit rangup dengan sambal pedas manisnya tu, lagilah menambat selera.
Lepas ni kalau teragak kuih popia sira sambal ni, bolehlah buatnya sendiri. Mudah je caranya. Lagipun lebih puas hati dapat buat sendiri. Boleh selalu buat untuk hidangan minum petang dengan keluarga. Selamat mencuba!