Kalau anda ada tengok agar-agar yang rupanya ada bintik-bintik seakan seladak di bahagian bawahnya, itu namanya ialah agar-agar lumut. Sejenis agar-agar yang bersantan dan ada 2 bahagian. Satu lapisan kosong, dan satu lagi lapisan santan.
Tapi agar-agar ni bukanlah dimasak secara berasingan. Memang bancuhannya nanti akan jadikan lapisan santan dan telur di bawah, dan satu lagi lapisan jernih ikut perisa yang dibuat. Kalau perisa pandan, warna hijaulah agar-agar tu. Kalau gula melaka jadilah warna coklat.
Mudah je nak buat sebenarnya. Bahan sangat ringkas. Resepi agar-agar lumut perisa pandan ni ada dikongsikan oleh Mala Mansor. Kalau buat agar-agar perisa pandan ni memang selalunya kisarkan daun pandan dengan air.
Tapi selalunya susah sikit nak dapatkan warna yang pekat sebab daun pandan kisar ni jadi cair kalau bancuhkan untuk buat puding atau kuih. Kalau nak kisar daun pandan berlebihan nanti takut kuat sangat baunya.
Jadi, boleh tambahkan sikit pewarna hijau untuk naikkan lagi warnanya. Ikut citarasa anda juga. Kadang-kadang ada yang suka warnanya cair macam dalam resepi ni.
RESEPI AGAR-AGAR LUMUT PANDAN
Buat agar-agar lumut bersantan ni kalau nak gunakan santan kotak pun boleh. Gunakan 1 kotak kecil dah memadai sebab dah cukup pekat.
Bahan-bahan yang diperlukan:
- Agar-agar tali 20g
- Daun pandan 7 helai
- Air 1.5 liter
- Gula 1 gelas 250 gram
- Garam 1 sudu teh
- Santan 1 kotak kecil
- Telur 2 biji
- Pewarna hijau 1 sudu teh
Cara buat agar-agar lumut pandan:
▶️ Panaskan 1.5 liter air dalam periuk.
▶️ Kemudian masukkan agar-agar tali yang dah siap dipotong-potong kecil.
▶️ Masak hingga mendidih dan tali tu hilang.
▶️ Sementara tunggu agar-agar cair, buat bancuhan air pandan dulu.
▶️ Kisar daun pandan dengan ½ gelas air.
▶️ Kemudian tapis dalam mangkuk ambil air je.
▶️ Kisarkan sekejap 2 biji telur.
▶️ Lepas tu masukkan telur ni dalam air pandan tadi, dan masukkan juga 1 kotak santan.
▶️ Boleh tengok agar-agar tadi. Kalau dah mendidih, masukkan gula dan garam.
▶️ Selepas tu masukkan bancuhan telur, air pandan dan santan tadi.
▶️ Biarkan sampai mendidih dalam 1 minit. Lepas tu tutup api.
▶️ Masukkan dalam loyang acuan.
▶️ Tunggu sejuk dulu sebelum dipotong.
BACA JUGA: Resepi Puding Buih Berkuah Paling Mudah. Makan Sejuk-Sejuk Memang Sedap!
Dah siap agar-agar lumut yang sedap, manis dan menyegarkan. Buat seloyang masukkan dalam peti ais ni memang boleh puas makan berulang-ulang.
Musim PKP ni dah duduk rumah nak buat apa lagi. Selalu kerap ulang-alik ke dapur sambil buka peti ais cari apa boleh makan.
Ada agar-agar lumut pandan sedap macam ni mesti sekejapan je licin dalam peti ais tu. Jadikan pencuci mulut waktu makan pun sesuai juga. Jangan lupa mencubanya!