Comelnya biskut bentuk tembikai ni. Dengan warna warninya, dan cantik terbentuk seakan-akan tembikai yang dipotong. Cara buat biskut tembikai viral ni mudah je sebenarnya. Kalau ibu-ibu nak buat biskut kudapan untuk anak-anak, sesuai sangat buat biskut ni. Pasti mereka teruja!
Biskut ni wangi, dan rasa lemak manis. Bila dibakar, rangup biskutnya. Dan bila gigit je, terasa sedap bila ianya mencair di mulut. Namun nak buat biskut ni kena berhati-hati dan cermat sebab nak dapatkan hasil bentuk tembikai yang cantik.
Lebih-lebih lagi masa nak buat kepingan kulit tembikai dan buat bentuk adunan isi tembikai warna merah dan kuning tu. Kalau cara potong adunan atau dohnya tu tak betul, nanti tak terbentuk cantik atau terlerai doh kulit tembikai dan isinya.
Nak tau macam mana nak buat biskut tembikai dengan cara bentukkan tembikai dengan betul, boleh rujuk resepi yang dikongsikan oleh Puan Amy Yati (Oni Omar) ni. Biskutnya terbentuk cantik, dan warnanya pun nampak sangat menyerlah.
Bukan je boleh buat sebagai kudapan untuk anak-anak, nak buat hidangan biskut raya pun sesuai juga. Barulah nampak menarik bila dihidangkan untuk tetamu. Nak buat biskut ni gunakan bahan mudah je. Cuma kena pelbagaikan pewarna.
RESEPI BISKUT TEMBIKAI VIRAL
Biskut ni akan dimasukkan bahan cornflakes yang dikisar halus sebagai perasa biskutnya. Masukkan beberapa sudu pun dah cukup memadai. Untuk resepi ni, boleh dapat dalam 130 ke 140 biji biskut ikut saiz yang dibuat.
Bahan-bahan yang diperlukan:
- Buttercup 250 gram
- Gula halus 180 gram
- Tepung gandum 300 gram (diayak)
- Tepung jagung 150 gram (diayak)
- Cornflakes 5 sudu (dikisar halus dan diayak juga)
- Kuning telur 1 biji
- Pewarna kuning, merah dan hijau
- Bijan hitam sebagai hiasan biji tembikai
Cara-cara buat biskut tembikai viral:
▶️ Mula-mula masukkan butter dan gula ke dalam mangkuk mixer. Dan pukulnya sehingga sebati.
▶️ Masukkan pula kuning telur dan pukul lagi sehingga sebati.
▶️ Kemudian masukkan tepung gandum, tepung jagung dan cornflakes sikit demi sedikit sambil kacaukannya. Gaul sehingga sekata.
▶️ Selepas tu, bahagikannya kepada 3 bahagian. 2 bahagian untuk warna tembikai merah dan kuning, 1 lagi adunan untuk kulit tembikai bewarna hijau.
▶️ Untuk doh warna hijau tu buat sedikit adunannya berbanding warna kuning dan merah.
▶️ Buatkan bentuk bulat-bulat kecil-kecil beberapa biji ikut saiz anda suka. (buat sama banyak untuk setiap warna).
▶️ Untuk warna hijau, leper-leperkan dohnya untuk jadikan kulit tembikai.
▶️ Kemudian masukkan doh bulat merah dan kuning ke atas doh hijau yang dileperkan tadi. Dan pastikan kulit hijau tu menutupi kesemua doh bulat merah dan kuning tu.
▶️ Buat sampai semua adunan habis.
▶️ Kemudian sediakan pisau yang tajam. Dan potong doh bulat tadi kepada 4 bahagian macam anda potong buah tembikai atau belah telur rebus.
▶️ Potong perlahan-lahan sebab doh ni masih lembut. Sebab tu gunakan pisau yang tajam.
▶️ Kemudian susunkan bijan hitam sebagai biji tembikai.
BACA JUGA: Cara Buat Apam Polkadot Comel, Gebu Dan Lembut. Resepi Mudah Dan Cepat!
▶️ Masukkan bentuk adunan tembikai ke dalam papercup.
▶️ Dan bakar pada suhu 200c selama 15-20 minit atau sehingga masak.
▶️ Dah sejuk boleh masukkan dalam bekas kedap udara.
▶️ Sedia dijamah!
Kalau lihat cara buatnya tak lah susah mana sebenarnya. Tak gunakan acuan pun boleh buat kalau adunan dan cara bentukkannya tu betul dan kena gayanya. Kalau tangan tak ‘berseni’pun boleh je buat biskut tembikai ni. Janji nampak juga bentuk tembikai tu. Betul tak?
Yang penting, bukan rupa je cantik. Rasanya pun sedap dan crunchy. Tak sangka bahan yang sikit ni boleh dapat biskut yang banyak. Memang berbaloi-baloi kan. Jangan lupa mencubanya!