Buat anda yang dah lama rindu nak makan dodol macam kat kampung yang selalu buat dengan tok dan nenek dulu. Ini dia cara buat dodol tradisional yang boleh anda cuba buat sendiri di rumah. Sedap berlemak yang buatkan anda tak boleh lupa rasanya.
Dodol ni memang dekat dengan hati semua orang. Tak kira orang kampung atau bandar. Mana boleh lupa makanan tradisi turun temurun ni. Rasanya yang sedap, manis dan tekstur yang lembut-lembut kenyal buatkan dodol ni cukup istimewa.
Rupanya nak buat dodol ni tak ada lah perlukan bahan yang banyak. Campuran bahannya mudah je. Cuma yang buatkan kena bersabar sikit tu ialah tempoh masa nak memasaknya.
Kalau buat seorang diri memang boleh sakit-sakit badanlah jadinya. Eloklah kalau ajak anak dan suami sekali membantu sebab dodol ni perlu dikacau sampai berjam-jam lamanya untuk hasil yang pekat dan likat.
Kalau orang muda-muda zaman sekarang mungkin tak berapa tahu cara buat dodol ni. Jom cuba buat sendiri ikut resepi yang dikongsikan di laman Harmony Official ni.
RESEPI DODOL TRADISIONAL
Tempoh berapa lama nak kacau dodol ni sebenarnya perlu tengok juga tahap kepekatan bancuhan anda. Kalau bancuhan bahannya cair, jadi lamalah masa untuk adunan pecah minyak, dan bertambah lambat adunan menjadi pekat.
Bahan-bahan (untuk 2 kilo dodol):
- Beras pulut 500 gram
- Beras jawi/tepung beras ½ cawan
- Gula pasir ½ cawan
- Gula merah 1 kilo
- Santan pekat 1 kilo
- Air 3 cawan
Cara buat dodol tradisional:
▶️ Rendam beras pulut bersama beras jawi atau tepung beras semalaman (12 jam).
▶️ Masakkan gula merah dalam periuk bersama 3 cawan air sampai gula hancur. Kemudian tapiskan.
▶️ Cuci beras yang diremdam lama tadi, kemudian kisar dalam blender dengan sedikit air. Kisarkan sampai hancur.
▶️ Masukkan beras yang dah dikisar ni ke dalam kuali bersama dengan bahan lain iaitu air gula merah, gula pasir dan santan.
▶️ Nyalakan api, dan masak adunan ni. Perlu sentiasa kacau dengan api yang sederhana supaya tak berkerak atau hangit.
▶️ Kacaukan sehingga dodol pecah minyak lebih kurang dalam 2-3 jam.
▶️ Namun bergantung juga pada kepekatan bancuhan bahan tadi. Dinasihatkan jangan masukkan terlalu banyak air masa nak kisar beras tadi supaya adunan tak berapa cair.
▶️ Kacaulah sehingga dapat kepekatan dodol yang anda idamkan.
▶️ Dah siap!
BACA JUGA: Dah Lama Teringin Nak Makan Wajik, Jom Buat Wajik Kampung Yang Sedap Dan Lemak Manis Ni!
Lepas dah masak, boleh simpan dalam bekas Tupperware atau plastik. Sedapnya kalau sekali dah makan. Boleh ralit sampai tak sedar habis dah sebekas.
Memang nak buat dodol ni agak penat. Mungkin sebab tulah orang jualnya mahal. Tapi bila dah siap, memang berbaloi dengan sedap, manis dan berlemaknya.
Lepas ni kalau rindu dodol kat kampung, boleh buat sendiri ikut cara buat dodol tradisional yang dikongsikan ni. Selamat berusaha mengacau dodol.