Siapa kat sini suka makan keropok lekor? Pernah tak terfikir nak buat keropok lekor sendiri? Cara buat keropok lekor sedap ni sebenarnya tak susah pun tau. Pertama kali buat pun boleh menjadi. Bukan sekadar jadi dan sedap je, lembut pula tu.
Contohnya keropok lekor yang dibuat oleh Ayu Hidayu ni. Walaupun baru pertama kali buat, keropok lekornya terhasil cantik, rangup di luar dan lembut di dalam. Yang penting sedap dan cukup berasa.
Kalau biasanya orang kata nak buat keropok lekor asli ni kena ada bahan asas yang betul contohnya gunakan tepung sagu. Tapi nak ikutkan tak semua tempat mudah nak dapatkan tepung sagu ni.
Tak perlu risau, ada juga tepung lain yang boleh menggantikannya. Hasil keropok lekor masih sedap dan menjadi juga. Asalkan ada bahan yang sesuai dan mudah kita nak cari, boleh buat je terus.
Selain tu, dalam resepi ni pun ada cara buat sos pencicahnya sekali. Semuanya memang homemade lah. Lepas ni, kalau teragak, memang buat keropok lekor sendiri je lah di rumah.
RESEPI KEROPOK LEKOR
Untuk resepi ni, bahan ikannya kita gunakan ikan termenung lemak yang memang selalu ada kat mana-mana. Kalau nama lain dia ialah ikan kembung.
Bahan-bahan perlu ada:
- 20-25 ekor ikan termenung lemak (diambil isi sahaja)
- Tepung ubi 2 cawan
- Tepung gandum 1 cawan
- Garam dan ajinomoto
- Baking powder 1 sudu
Cara buat keropok lekor:
▶️ Mula-mula kisar isi ikan termenung dengan sedikit air (letak air agak-agak boleh kisar).
▶️ Kemudian masukkan ikan dalam mangkuk.
▶️ Masukkan tepung ubi, tepung gandum, garam, ajinomoto dan baking powder ke dalamnya. Gaul dengan isi ikan tu sehingga sebati. Tak perlu tambahkan air.
▶️ Seterusnya uli adunan sampai jadi doh, dan lepas tu masukkan minyak sedikit untuk bagi doh licin.
▶️ Kemudian gentel dan bentukkan jadi panjang mana yang kita mahu.
▶️ Semasa menggentel, letakkan minyak sikit kat plastik supaya tak melekat.
▶️ Dalam masa yang sama, rebus dulu air dalam kuali besar.
▶️ Selepas air dah mendidih, masukkan keropok lekor yang dah digentel tadi.
▶️ Masakkan ia sampai doh tu timbul dan terapung. Itu bermaksud doh dah masak.
▶️ Angkat dan toskan airnya.
▶️ Bolehlah potong kecil-kecil menyenget macam ni untuk digoreng nanti.
▶️ Sekarang jom buat sos pencicahnya pula.
Bahan sos pencicah:
- Cili kering kisar 3 sudu makan
- Air 1 cawan
- Cuka 1 sudu besar
- Gula 2 sudu
- Garam dan ajinomoto
- Gula merah seketul
- Sikit air asam jawa
- Tepung jagung 1 sudu
Cara buat sos pencicah keropok lekor:
▶️ Panaskan periuk atas dapur, kemudian masukkan kesemua bahan-bahannya kecuali tepung jagung.
▶️ Kacau sehingga sebati dan mendidih.
▶️ Selepas tu, baru masukkan tepung jagung dan kacau sehingga kuah sos likat.
▶️ Dah siap boleh tutup api.
▶️ Bila dah siap sos pencicah ni, bolehlah goreng keropok lekor. Hidangkan masa panas-panas, barulah sedap dimakan dengan sos ni.
BACA JUGA: Cara Buat Kuih Tambun. Simple Dan Sedap Buat Hidangan Minum Petang.
Kalau nak buat sekali banyak doh keropok lekor ni pun tak apa. Sebab boleh disejuk bekukan. Bila nak makan je, keluarkan dari freezer dan terus goreng.
Mudah je kan sebenarnya cara buat keropok lekor sedap dan lembut ni. Bahannya simple dan mudah dicari. Lepas ni nak makan keropok lekor sekali banyak puas-puas, tak perlu beli lagi dah.
Buat sendiri je lagi jimat dan boleh makan beramai-ramai. Selamat mencuba!