Kalau tengok dessert macam ni, selalunya banyak ada di hotel atau majlis keramaian. Lagi pula buat bentuk kecil-kecil dalam bekas macam ni. Sekali tengok terliur pula kan. Apa kata jom buat untuk makan sendiri di rumah. Puding karamel pandan cheese ni serius sedap kalau makan sejuk-sejuk.
Dessert puding tanpa telur sekarang ni semakin famous dah. Buat pula perisa pandan cheese, bertambah sedap dan wangi. Bertambah lakulah kalau buat stok banyak-banyak dalam peti sejuk ni. Resepi yang dikongsikan oleh Azillamn ni untuk kuantiti yang banyak.
Dapatlah makan ulang-ulang siap hulur pada jiran lagi. Apa yang menarik resepi ni ialah bukan semata-mata puding kastard pandan je, hidangannya ada sekali karamel atau gula hangus yang buatkan bertambah manis dan sedap.
Teksturnya yang lembut dan gedik-gedik tu bertambah sedap bila dimakan sejuk-sejuk. Macam kita makan dadih juga. Memang nikmatlah kan kalau makan sejuk-sejuk baru lepas keluar dari peti ais.
Buat untuk anak-anak mesti suka betul mereka. Kalau anda nak buat majlis atau terima tetamu pun boleh buat puding ni dan simpan dalam peti ais semalaman. Esok tu boleh terus hidangkan.
RESEPI PUDING KARAMEL PANDAN CHEESE
Untuk sukatan bahan ni boleh dapatkan dalam 80 bekas plastik kecil jenis rendah yang biasa orang buat dadih tu. Memang sesuailah kalau buat untuk majlis atau untuk saudara dan jiran tetangga.
Bahan-bahan untuk karamel atau gula hangus:
- 4 cawan gula perang
- 4 cawan air
- 2 helai daun pandan disimpul
Cara buat karamel:
▶️ Sediakan kuali/pan, masukkan gula perang tanpa air.
▶️ Nyalakan api dan masak sehingga gula cair dan keperangan dengan api yang perlahan.
▶️ Sentiasa kacau kalau nak cepat larut.
▶️ Selepas tu masukkan air dan daun pandan. Kena hati-hati sikit sebab mungkin nanti gula meletus.
▶️ Kacau lagi sehingga semuanya larut.
▶️ Dah siap tu angkat dan sejukkan. Tuangkan ke dasar bekas dan ketepikan.
Bahan-bahan untuk puding kastard pandan:
- 40 gram agar-agar tali (20 gram x 2 bungkus. Berat bersihnya tak termasuk plastik pembungkusan)
- 4 liter air
- 4 tin susu cair
- 1 ½ sudu teh garam halus
- 8 sudu makan gula perang
- 8 keping cheesedale
- 2 cawan tepung kastard (dibancuh dengan 500 ml air)
- 1 sudu teh pewarna hijau
- 2 helai daun pandan (dicarik dan disimpul)
Bahan hiasan:
- Daun pandan
Cara buat puding kastard pandan:
▶️ Mula-mula masakkan agar-agar dalam air yang berisi daun pandan.
▶️ Masak sehingga agar-agar larut.
▶️ Kemudian masukkan cheesedale dan kacau lagi sampai larut.
▶️ Masukkan kesemua bahan yang lain dan sentiasa kacau sehingga agak berkilat.
▶️ Sendukkan ke dalam bekas yang dah siap berisi gula hangus tadi.
▶️ Buat sampai habis dan simpan dalam peti sejuk.
▶️ Dah sejuk, hiaskan dengan daun pandan.
▶️ Sedia untuk dihidangkan.
BACA JUGA: Buat Sendiri Puding Trifle Macam Yang Dijual. Simpan Dalam Peti Sejuk, Boleh Makan Puas-Puas.
Kalau hidangkan atas piring lebih cantik. Lepas tu nak tambah karamel pun terpulang pada anda. Serius sedap dengan rasa lemak manis dan wanginya.
Masukkan je mulut terus terasa segar. Desert macam ni ramai yang suka sebab lembut dan cair di mulut. Musim-musim panas macam ni sedap layan. 2-3 bekas makan baru puas.
Kalau anda nak buat dessert, cubalah puding karamel pandan cheese ni pula. Pasti anda sekeluarga menyukainya. Selamat mencuba!