Segalanya Tentang Makan..

Resepi Agar-Agar Lumut Cantik Kejadian, Tak Sangka Bahan Mudah Je. Sedap Pulak Tu!

0 993

Dulu-dulu kalau tengok agar-agar lumut ni selalu terfikir macam mana boleh bercorak macam tu. Cantik dengan lapisan jernih dan juga lapisan berkeladak. Bila rasa, wahh sedap kemain rasanya dengan manis-manis berlemak. Mujur jumpa resepi agar-agar lumut yang dikongsikan oleh Umi Watie ni.

Baru tahu agar-agar lumut ni cantik kejadiannya disebabkan oleh santan dan telur yang dimasak sehingga berbuih atas api. Sebab tu ada rasa lemak berkrim santan. Tapi rasanya tak meloyakan disebabkan oleh campuran gula merah yang manis dan wangi.

Nak buatnya rupanya mudah je. Cuma gunakan 5 bahan asas, dah boleh dapat hasil agar-agar yang sedap dan menyegarkan. Lagi-lagi simpan dulu dalam peti sejuk sebelum menikmatinya.

Nak buat agar-agar lumut ni, buat dalam loyang atau acuan kecil pun boleh. Biasanya kalau nak mudah dihidangkan atau nak lebih cantik hidangan, boleh gunakan acuan kecil-kecil. Sesuai kalau nak buat untuk hidangan tetamu.

Tapi kalau nak buat dalam loyang pun boleh juga. Cuma kena rajin potong. Kalau dalam loyang ni pula sesuai nak makan santai-santai dengan keluarga. Ikut yang mana mudah untuk anda.

 

RESEPI AGAR-AGAR LUMUT SEDAP DAN CANTIK KEJADIAN

Gula merah ni berikan rasa manis-manis manja dan wangi. Mungkin manisnya kurang sikit. Jadi, boleh tambahkan sedikit gula pasir untuk menambahkan lagi rasa manisnya.

Bahan-bahan yang diperlukan:
  • Agar-agar serbuk 1 pek (10 gram)
  • Gula merah 1 cawan
  • Gula pasir 2 sudu besar
  • Santan 1 kotak
  • Air 4 cawan
  • Telur 1 biji
  • Secubit garam

Cara buat agar-agar lumut sedap dan menjadi:

▶️ Sediakan periuk atas dapur, kemudian masukkan air ke dalamnya. Buka api yang kecil/sederhana.

▶️ Kemudian masukkan gula merah. Atau boleh juga masukkan gula nibong, gula kerek atau gula melaka. Kemudian kacau sebati.

▶️ Masukkan pula gula pasir.

▶️ Lepas tu masukkan secubit garam atau hujung sudu. Garam ni bertujuan untuk bagi rasa lemak sikit.

▶️ Kemudian biarkan bahan semua larut.

▶️ Dalam mangkuk lain, satukan santan dan juga telur. Kacaukannya sehingga sebati dan mesra.

▶️ Dalam periuk tadi, selepas gula semua dah larut, boleh masukkan serbuk agar-agar ke dalam air gula yang mendidih tu. Kacaukannya.

▶️ Lepas tu tuangkan bancuhan santan dan telur tadi ke dalam periuk.

▶️ Dan kacaukan adunan ni dengan senduk secara laju untuk dapatkan hasil berkeladak.

▶️ Biarkan adunan ni mendidih lagi 2 minit. Lepas tu boleh padamkan api.

▶️ Sediakan acuan kecil-kecil atau apa sahaja jenis acuan anda suka. Kalau acuan comel ni boleh dapat dalam 24 ketul.

▶️ Kemudian tuangkan adunan.

▶️ Selepas dah habis tuangkan semua, biarkan sejuk sekejap.

 

BACA JUGA: Resepi Puding Karamel Dengan Hiasan Buah Yang Manis, Sedap Dan Menggoda. Rugi Tak Cuba!

 

▶️ Lepas tu baru masukkan ke dalam peti sejuk.

▶️ Sedia untuk dinikmati!

Kalau masa tekak tengah haus waktu tengah hari terik atau musim bulan puasa, memang tergoda tengok agar-agar ni kan. Tambah lagi rupanya amat menarik. Belum lagi cuba rasa isinya.

Agar-agar lumut ni yang buatkan sedap ialah manis dan wangi gula merah, serta rasa lemak santan. Jarang orang tak suka pemanis mulut ni. Nanti boleh cuba hidangkan untuk keluarga dan jiran tetangga!

Leave A Reply

Your email address will not be published.