Selalu kalau ada ayam dalam peti sejuk tu anda buat apa? Masak gulai, sambal, atau buat ayam goreng? Apa kata sesekali jom buat ayam panggang special sikit untuk hidangan keluarga. Lalu Lalang di Fb tu terjumpa pula cara buat ayam panggang ala Kenny Rogers yang dikongsikan oleh seorang lelaki ni.
Selalunya kebanyakan resepi yang orang buat ada banyak bahan perapan untuk pelbagaikan lagi rasa. Namun resepi yang dikongsikan oleh Shahruddin Ahmad ni lebih ringkas tapi masih berikan aroma ayam panggang yang sedap dan menyelerakan.
Kalau ayam panggang ni, nak lebih sedap perlulah perap ayam dengan bahan-bahannya lebih lama supaya bahan dan aroma lebih merasap ke dalam isi ayam. Sebaiknya perapan tak kurang dari 2 jam.
Lagi bertambah nikmat kalau isi ayamnya dimasak juicy dan bahagian luar ayam lebih garing atau crunchy. Sebab tu perlu tahu oven masing-masing supaya ayam dapat dimasak lembut dan sekata di dalam, dan garing di luar.
Bila dah dibakar, makan macam tu je pun dah cukup sedap. Apatah lagi kalau cicah ayam ni dengan sos cili Thai atau sos manis yang menambatkan lagi selera.
RESEPI AYAM PANGGANG ALA KENNY ROGERS
Untuk resepi ni menggunakan 1 ekor ayam. Terpulang pada anda sama ada nak potong 4 ayam tu atau masakkan seekor. Kalau tak nak potong, pastikan kelar ayam dan masukkan bahan perapan sikit ke dalamnya.
Bahan-bahan yang diperlukan:
- Ayam 1 ekor
Bahan-bahan kisar:
- Bawang besar 2 biji
- Bawang putih 4 ulas
- Halia 1 inci
- 1 kiub ayam Knorr/Maggi
- Serbuk lada hitam 2 sudu
- Sos black pepper 1 senduk kecil
- 1 sudu teh garam
- 1 sudu makan gula
- 100 ml air
Bahan perapan:
- Madu 2 sudu (optional)
- Minyak zaitun 3 sudu
- Mixed herbs atau daun oregano 2 sudu besar
Cara buat ayam panggang ala Kenny Rogers:
▶️ Mula-mula kendalikan ayam dulu. Cucinya dulu sehingga bersih dan potong ayam ikut suka anda seperti yang diberitahu di atas.
▶️ Kemudian kisarkan kesemua bahan kisar yang disenaraikan tadi.
▶️ Sediakan 1 mangkuk, dan satukan bahan yang telah dikisar tadi dengan bahan perapan lain iaitu madu, minyak zaitun dan mixed herbs. Kemudian gaulkan sebati.
▶️ Masukkan ayam yang dah dicuci ke dalam loyang, dan tuangkan campuran bahan perap tadi.
▶️ Ratakan bahan pada keseluruh ayam, lepas tu tutup bekas dan perap dalam peti ais bahagian chill selama 2 jam atau lebih.
▶️ Ada 2 cara nak masak ayam ni. Kalau anda ada periuk high pressure atau pemanggang ajaib, boleh masak ayam dalam 30 minit, lepas tu ‘stir fry’ dengan minyak sikit atas kuali untuk hasil yang rangup.
▶️ Cara kedua ialah menggunakan oven. Bakar ayam menggunakan api atas bawah pada suhu 180’c-200’c selama 1 ke 1 jam 30 minit.
BACA JUGA: Resepi Ayam Panggang Black Pepper Sedap Dan Juicy. Rasa Perapannya Sampai Ke Dalam Isi!
▶️ Tapi untuk 30 minit pertama, buka sekejap oven dan tuang minyak sikit agar ayam tak kering. Untuk tempoh membakar ni bergantung juga pada oven. Kalau oven besar, masanya lebih lama lagi.
▶️ Apa-apa pun boleh cuba lihat sendiri sama ada ayam dah cukup masak ke belum bahagian dalamnya. Kalau belum boleh tambah masa lagi.
Lepas je bakar, boleh bau harum semerbak aroma masakan bahan perapan tu. Lebih lagi pula kalau ayam tu masak-masak juicy. Bila gigit terasa nikmatnya.
Mudah je kan sebenarnya nak buat ayam panggang sedap ni. Tak perlu ke restoran lagi dah boleh rasa ayam panggang hampir sama rasa keenakannya. Malah jauh lebih jimat lagi. Lepas ni bolehlah cuba untuk hidangan sekeluarga.