Segalanya Tentang Makan..

Resepi Pulut Inti Kelapa Manis. Sedap Berlemak Dan Wangi Dalam Daun Pisang.

0 4,705

Kalau lihat resepi makanan dulu-dulu, nampak simple je hidangannya. Tapi bila rasa, sedap dan kena dengan tekak zaman sekarang ni. Macam mana ada pelbagai resepi makanan moden sekarang ni pun, kuih dulu-dulu tetap jadi kegemaran ramai. Antara contohnya ialah resepi pulut inti kelapa manis ni.

Kalau zaman dulu, orang tua-tua hidangkannya sebagai makanan utama sarapan pagi. Ala, macam nasi lemak juga. Sebab hidangan ni berasaskan pulut yang mengenyangkan. Malah pulutnya mempunyai santan yang menaikkan lagi aroma dan rasa lemak.

Nampak simple sebab ada hidangan pulut dan inti kelapa je. Tapi kombinasi kedua-dua ni sangat membangkit selera, sebab inti kelapa rasanya manis dek kelapa parut muda yang dimasak bersama gula melaka.

Nak lagi sedap, bungkuskan kedua-duanya dalam daun pisang untuk wangi lagi sebelum dihidangkan. Kalau sekarang ni kita buat hidangan ni, confirm laku punya. Cara buat pulut inti kelapa manis ni mudah je sebenarnya.

Pulut dan inti kelapa dimasak dan dikukus berasingan.  Selepas tu baru digabungkan dalam bungkusan daun pisang seperti nasi lemak bungkus tu. Bila nak hidang je, naik aromanya. Jom lihat perkongsian resepi pulut inti kelapa manis dari page Resepi Mudah ni.

 

RESEPI PULUT INTI KELAPA MANIS

Kalau selama ni buat inti kelapa manis, selalu kita nampak penyediaannya hanya gunakan kelapa parut, daun pandan dan gula melaka je kan. Untuk resepi ni, bahan inti akan dimasukkan sekali tepung gandum untuk memberikan rasa lembab dan pekat pada inti. Barulah cantik terbentuk bila dihidangkan.

Bahan-bahan yang diperlukan:

Bahan inti:

  • Kelapa parut muda ½ biji
  • Gula melaka 3 keping  (3 kerek)
  • Gula putih 1 sudu makan
  • Tepung gandum 2 sudu makan
  • Daun pandan 2 helai (disimpul)
  • Air ½ cawan
  • Garam ½ sudu teh

Cara buat inti kelapa:

▶️ Mula-mula masukkan air dalam periuk/kuali, dan masukkan gula melaka, gula putih, daun pandan dan garam. Masak sehingga gula semua larut dan kacau sebati dalam api yang sederhana.

▶️ Selepas tu masukkan kelapa parut dan juga tepung gandum. Kacau sehingga semuanya sebati.

▶️ Biarkan sampai inti sedikit kering tapi masih lagi lembab. Baru cantik hidangannya. Ketepikan.

▶️ Kemudian sediakan pulutnya pula.

 

Bahan-bahan pulut:
  • Beras pulut susu  4 cawan
  • Santan sederhana pekat 3 cawan (campurkan 2 kotak santan dan air hingga jadi 3 cawan)
  • Garam ½ sudu teh
  • Daun pandan 2 helai disimpul

Bahan lain:

▶️ Daun pisang yang dah siap dilayurkan secukupnya

Cara penyediaan pulut:

▶️ Sebelum masak, rendamkan dulu beras pulut paling kurang 1 jam 30 minit. Kemudian cuci dan toskan.

▶️ Panaskan air dalam pengukus sehingga mendidih.

▶️ Masukkan beras pulut dalam loyang bersama dengan santan, garam dan daun pandan. Kacau sebati.

▶️ Selepas tu, kukus lebih kurang dalam 15 minit pada awalnya. Lepas tu kacau bagi rata sekejap.

▶️ Selepas kacau, sambung lagi kukus dalam 10 minit. Dah siap, sejukkan sekejap.

▶️ Kemudian masukkan semangkuk pulut ke dalam daun pisang.

▶️ Letakkan inti kelapa parut di atasnya, dan balut seperti nasi lemak.

 

BACA JUGA: Jom Buat Roti Bakar Rangup Ala Kopitiam Yang Super Marvelous Ni. Mudah Dengan 3 Bahan Je!

 

Sedia dihidangkan sebagai sarapan pagi. Lepas ni boleh tukar selera dari nasi lemak atau roti canai kepada juadah ini pula.

Sesekali makan pulut dan inti manis ni sedap dan menyelerakan. Hidangkan dengan kopi o panas, lagi menaikkan selera. Jangan lupa mencubanya!

Leave A Reply

Your email address will not be published.