Sekarang ni banyak dah musim jual mangga murah-murah. Kalau ada buah mangga masak ranum dengan isi yang segar dan manis, apa kata jom buat resepi pulut mangga yang sedap dan menyegarkan tekak ni. Musim-musim panas ni kalau masuk kat tekak, fuhh, confirm makan sampai licin punya!
Hidangan pulut mangga ni terdiri dari buah mangga, pulut dan juga kuah santan. Memang sedap sangat kombinasinya. Pulut yang berlemak dan lekit dimakan dengan mangga yang manis dan kuah santan yang ada rasa masin-masin sedikit.
Hidangan ni menjanjikan rasa yang lengkap dengan manis, masin dan berlemak. Barulah sepadan rasa dia. Santan tu kenalah rasa agak masin supaya seimbang dengan rasa manis buah.
Hidangan pulut mangga ni selalu dibuat sebagai pemanis mulut. Mudah je kalau anda teringin nak buat sendiri di rumah. Resepi pulut mangga yang sedap dan berlemak ni ada dikongsikan oleh Iza Abu Bakar.
Kuah santannya ada yang suka dibuat pekat, ada juga yang suka adunannya sedikit cair. Ikut citarasa anda. Jom lihat cara penyediaanya.
RESEPI PULUT MANGGA
Untuk kuah santan, santannya anda boleh guna sama ada santan segar atau santan kotak. Kedua-duanya masih berikan rasa yang sedap. Janji dimasak atas dapur dengan daun pandan dan garam untuk rasa yang masin dan wangi.
Bahan-bahan untuk pulut:
- Beras pulut 2 cawan (rendam siap-siap semalaman atau selama 4 jam)
- Santan pekat ½ cawan campur dengan air dan juga ¼ sudu kecil garam
- Daun pandan 2 helai yang dicarikkan
Cara penyediaan pulut:
▶️ Toskan pulut yang siap direndam, kemudian masukkan dalam pengukus. Kukus selama 15 minit.
▶️ Selepas kukus, angkat dan masukkan ke dalam bekas/mangkuk.
▶️ Tuang santan yang dah digaulkan dengan garam dan gaulkan sehingga sekata.
▶️ Tuangkan santan sikit demi sedikit sehingga pulut lembut.
▶️ Kemudian masukkan semula pulut ni ke dalam periuk pengukus, dan kukus semula dalam 20 minit. Jangan lupa masukkan daun pandan.
▶️ Sediakan kuah santan pula.
Bahan-bahan untuk kuah santan:
- Santan kotak ½ cawan (brand Saji)
- Air 1 cawan
- Garam 1 sudu kecil
- Daun pandan 1 helai
- Tepung jagung 1 sudu kecil (larutkan dengan air sedikit)
Cara penyediaan kuah santan:
▶️ Satukan kesemua bahan-bahannya kecuali tepung jagung ke dalam periuk. Kemudian masakkan hingga hampir mendidih.
▶️ Pastikan guna api yang kecil je dan sentiasa kacau untuk elakkan santan berketul.
▶️ Kemudian masukkan tepung jagung sikit demi sedikit untuk dapatkan kuah yang agak pekat. Boleh agak-agak tahap kepekatan kuah yang anda mahu.
▶️ Dah siap boleh tutup api.
▶️ Hidangkan bersama pulut dan mangga.
BACA JUGA: Bubur Butir Nangka Sedap, Manis Dan Berlemak. Buat Seperiuk Confirm Cepat Habis!
Cara hidangannya, sediakan buah mangga yang dah siap dipotong di dalam piring. Letakkan pulut semangkuk dan juga kuah santan. Untuk menikmatinya, tuangkan kuah santan ke seluruh mangga dan pulut.
Boleh dikatakan inilah antara pemanis mulut yang paling istimewa. Kalau simpan dulu dalam peti sejuk sebelum dijamah, lagi sedap dan menyegarkan. Nanti boleh buat untuk hidangan sekeluarga. Selamat mencuba!