Selalu kalau makan kek span yang gebu, yang bila dipicit terasa kelembutannya itu pun dah cukup rasa sedap dan enak. Anda pernah makan kek ogura pula tak? Kek ni lebih kurang sama seperti kek span, tapi teksturnya lebih fluffy, moist dan lembut meliuk lentuk bila dipegang. Resepi dan cara buat kek ogura pandan ni dah tentu berbeza sikit dengan kek span yang lain.
Kalau tengok kepadatan kek, kek ogura ni lebih mampat sebab lebih moist. Tapi teksturnya yang lembut dan gebu tu taklah membuatkan kek ni berat. Rasanya juga lebih berlemak dengan campuran santan atau susu. Lagi-lagi kalau buat perisa pandan. Memang sedap dan wangi memukau bau keknya lepas dibakar.
Cara buat kek ogura pandan ni mudah je. Cuma ‘presentationnya’ dibuat dengan pelbagai cara ikut kreativiti masing-masing. Contohnya ada yang buat kek ogura pandan dengan pelbagai warna dan corak. Ada juga yang dekorasikan kek dengan topping atau krim yang cantik dan menarik.
Sebab tu selalu nampak orang hidangkan masa rumah terbuka, atau buat kek hari jadi. Paling simple coraknya pun orang buat corak marble.
Kalau ikut perkongsian resepi Suhasnida Ismail ni, mudah untuk faham dan ikuti. Dan keknya pun simple je tanpa buat pelbagai corak. Bagi yang nak mula belajar buat kek ni, bolehlah rujuk resepinya.
RESEPI KEK OGURA PANDAN
Kalau buat kek perisa pandan ni, selalu nak mudah gunakan perisa pandan (pandan paste) je. Namun kalau nak gunakan perisa pandan dari daun pandan yang dikisar pun boleh juga. Bak kata orang lagi fresh.
Bahan-bahan yang diperlukan:
Bahan A:
- 5 biji kuning telur gred A + 1 biji telur gred A
- 65 gram minyak jagung
- 90 gram santan (atau nak guna susu segar pun boleh)
- 2 sudu besar pandan paste
- 70 gram tepung naik sendiri atau tepung kek
Cara penyediaan bahan A:
▶️ Mula-mula masukkan telur ke dalam mangkuk, dan pukul menggunakan whisk je.
▶️ Kemudian masukkan minyak jagung dan kacau lagi.
▶️ Lepas tu masukkan santan (atau susu) dan pandan paste. Dan kacau dengan whisk juga.
▶️ Ayak tepung naik sendiri ke dalam mangkuk ni sampai habis dan kacau lagi sehingga sebati.
▶️ Kalau lepas gaul masih ada berketul, boleh tapis.
Bahan B:
- 5 biji putih telur gred A
- 70 gram gula halus atau gula kastor
Cara penyediaan bahan B:
▶️ Dalam mangkuk bersih dan kering, masukkan telur putih ni dan pukul sampai berbuih.
▶️ Kemudian masukkan gula sedikit demi sedikit sambil pukulnya. Lakukan sampai habis.
▶️ Pukul adunan ni sehingga meringue atau putih bertanduk.
Cara buat kek ogura pandan:
▶️ Masukkan 1/3 adunan B yang dah bertanduk ni (meringue) ke dalam mangkuk adunan A tadi. Dan kacau sehingga sebati.
▶️ Masukkan pula semua ke dalam baki bahan B tadi dan kacaunya sampai semua sebati.
▶️ Kemudian masukkan ke dalam loyang 7 inci yang dilapik dengan baking paper.
▶️ Hentak-hentakkan loyang supaya keluarkan buble.
▶️ Panaskan oven siap-siap.
▶️ Dan boleh bakar secara waterbath. Caranya letak air panas dalam loyang lain yang lebih besar, dan masukkan loyang kek ni ke dalamnya.
▶️ Masukkan ke dalam oven dan bakar pada suhu 160’c selama 1 jam 30 minit. Selepas tu, turunkan pada 140’c dan bakar lagi selama 30 minit.
▶️ Bila kek dah masak, jangan keluarkan terus. Renggangkan dulu pintu oven salama 10 minit. Lepas tu keluarkan.
▶️ Terbalikkanlah kek atas redai dan sejukkan.
▶️ Kemudian potong dan hidangkan.
BACA JUGA: Kek Coklat Tornado Super Sedap Cair Di Mulut. Tengok Je Pun Dah Terliur!
Sedapnya kalau makan kek ni buat minum petang atau santai-santai di rumah. Dengan baunya yang wangi berperisa pandan, sedap dihidangkan dengan kopi panas. Teksturnya yang lembut, gebu dan moist ni, pasti anak-anak suka makan.
Selain pandan, ada juga orang buat kek ogura berperisa ros. Kalau dah buat kek perisa pandan ni, nanti bolehlah cuba kek ogura ros pula dan ikut cara buat kek ogura pandan ni, cuma tukarkan perisa je. Selamat mencuba!