Pada mereka yang meminati masakan jawa, mesti pernah makan sambal goreng jawa ni kan? Bila diperhati, sambal goreng jawa ni mudah buatkan kita jatuh hati walaupun baru melihatnya. Belum rasa pun lagi. Sebab ianya kaya dengan bahan-bahan seperti sayuran, tempe, tauhu, suhun dan sebagainya. Resepi sambal goreng jawa ni antara makanan jawa yang wajib anda cuba!
Sebabkan kepelbagaian bahan-bahan, sambal goreng jawa ni sedap kalau dimakan dengan nasi putih panas. Bagi orang Jawa, sambal goreng ni dikira menjadi salah satu lauk hidangan dalam nasi ambeng. Bukan je ada bermacam bahan, malah sambal ni ada rasa berlemak dan pekat sambal selupatnya sebab dimasukkan santan.
Namun bila resepi ni dah mula tersebar dan diminati, timbullah pelbagai idea masakan yang memenuhi citarasa masing-masing. Kadang-kadang ada yang suka sayuran lain, ada juga yang ingin masukkan pedal ayam atau sebaliknya. Kadang-kala ada yang tak suka dimasukkan santan sebab nak kan masakan kering.
Lain cara masak bermaksud lain citarasa. Terpulang pada anda nak buat versi apa. Untuk resepi yang dikongsikan oleh Noor Atika Mahamood ni, resepi ni tak ada dimasukkan santan. Mungkin nak kurangkan rasa lemak dan ingin selupat sambal yang kering.
Walaupun nama masakan ni sambal goreng, tapi masakannya tak ada cili kering kisar atau cili padi kisar. Bahan-bahan sambal yang ada seperti lada besar dan lada kering tidak dikisar, tapi dihiris sahaja sebelum ditumis. Gaulan bahan-bahan ni nanti yang menyedapkannya.
RESEPI SAMBAL GORENG JAWA
Kalau anda perasan, di kampung-kampung sambal goreng jawa ni sering dijadikan lauk masakan kenduri waktu malam seperti doa selamat. Memang sedap dijadikan salah satu hidangan lauk. Ada yang siap meratah, lagi-lagi bahan sayurannya tu banyak dan pelbagai.
Bahan-bahan:
- Bawang merah (dihiris)
- Bawang putih (dihiris)
- Ikan bilis
- Lada kering
- Lada merah
- Kobis bunga
- Kacang panjang
- Lobak merah
- Putik jagung
- Kentang (dah siap digoreng)
- Tempe (dah siap digoreng)
- Tauhu (dah siap digoreng)
- Suhun (dah siap digoreng)
- Kiub pati ayam
- Lada sulah
- Garam sedikit
- Kicap manis
- Kicap pekat
Cara masak sambal goreng jawa:
▶️ Mula-mula panaskan minyak dalam kuali. Masukkan bawang merah dan bawang putih dan tumis sehingga warna keperangan.
▶️ Masukkan pula ikan bilis, lada merah dan lada kering. Dan tumis lagi sehingga naik bau.
▶️ Kemudian masukkan kesemua sayuran iaitu kobis bunga, kacang panjang, lobak merah dan putik jagung. Masukkan air sikit untuk mudah lembutkan sayuran.
▶️ Masuk 1 kiub ayam.
▶️ Selepas tu masukkan kentang, tempe, tauhu dan suhun yang dah siap digoreng tadi. Gaul sehingga sebati.
▶️ Masukkan serbuk lada sulah, kicap cair dan sedikit kicap pekat. Boleh masukkan garam juga untuk kesesuaian rasa.
▶️ Dah siap boleh tutup api.
▶️ Sedia untuk dihidangkan!
BACA JUGA: Resepi Sambal Nenas Sedap Terliur. Rasanya Padu, Pedas, Masam Dan Manis. Rugi Tak Cuba!
Mudah je kan nak membuatnya. Resepi sambal goreng jawa ni tak ada proses mengisar pun. Namun stepnya masih agak panjang sebab perlu sediakan bahan yang banyak dihiris dan perlu digoreng dahulu.
Tapi bila dah siap je dimasak, tak menyempat nak makan dengan nasi. Ratahnya sahaja dah boleh habis semangkuk. Lepas ni bolehlah sediakan masakan sambal goreng jawa ni untuk hidangan keluarga. Selamat mencuba!