Tiap-tiap tahun kek pisang ni ada je orang kongsikan resepinya tak kira musim raya atau tak. Memang selalu sangat viral sebab sedap, wangi dan sesuai dijadikan pemanis mulut waktu santai. Ini dia kali ni saya nak kongsikan cara buat kek pisang gebu, lembut dan sedap oleh TokMa.
Ada pisang lebih diberi jiran, apa kata buat kek pisang. Dapat seloyang pun puas dah makan. Kek pisang ni memang tak lapuk dek hujan tak lekang dek panas. Sentiasa digemari dan tetap jadi pujaan. Sebab aroma pisang dalam kek tu menaikkan lagi selera.
Ada yang buat versi kukus, ada yang buat versi bakar. Rasanya pun pelbagai juga. Ada yang suka moist dan ada yang suka gebu gebas. Apa-apa versi pun kek pisang ni memang sedap. Kadang-kadang dibuat dalam bentuk cup cake untuk dijadikan buah tangan.
Biasanya orang buat kek pisang ni dengan pisang berangan. Rasanya sedap dan tekstur dia lebih sesuai. Kalau tak ada pisang berangan boleh juga gantikan dengan pisang lain, tapi kadang-kadang rasanya berbeza.
Untuk resepi ni, TokMa buat versi bakar dalam oven. Jadi lapisan luar keknya lebih rangup. Kalau suka yang lebih rangup macam ni, boleh bakar lama sikit untuk dapatkan hasilnya.
RESEPI KEK PISANG GEBU DAN LEMBUT
Untuk mudah penyediaan bahan, kita gunakan sukatan cawan. Cawan (cup) untuk sukatan bahan kek ni boleh didapati dari kedai-kedai kek. Mudah kalau ada benda ni untuk digunakan dalam sebarang pembuatan kek atau dessert lain.
Bahan-bahan:
Bahan A:
- Pisang berangan 3 bji (anggarannya menjadi 1 cawan pisang)
- 1 sudu teh garam
Penyediannya: Campurkan pisang dan garam, dan lenyek sehingga lumat.
Bahan B:
- Tepung gandum 2 cawan
- Soda bikarbonat 1 sudu teh
- Baking powder 1 sudu teh
Penyediannya: Campurkan dan ayak bersama.
Bahan C:
- Minyak masak ¾ cawan
Bahan D:
- Telur A 3 biji
- Gula pasir ¾ cawan
- Ovelet ½ sudu
- Esen pisang 1 penutup
Cara buat kek pisang gebu, lembut dan sedap:
▶️ Masukkan kesemua bahan D ke dalam bekas mixer dan putarkan sampai betul-betul gebu dan putih.
▶️ Kemudian masukkan bahan A, B dan C.
▶️ Dan gaul kesemuanya sampai sebati dengan menggunakan spatula.
▶️ Kemudian boleh masukkan pewarna perang sedikit.
▶️ Sediakan loyang saiz 8 inci. Sapu marjerin sikit pada loyang.
▶️ Dan masukkan adunan ke dalam loyang.
▶️ Nak lebih cantik, hiriskan pisang nipis-nipis je, lepas tu susun atas adunan kek sebagai hiasan.
▶️ Panaskan oven, dan bakar pada suhu 150c selama 1 jam gunakan api atas bawah.
▶️ Dah siap boleh sejukkan, dan sedia untuk dipotong.
▶️ Boleh dihidangkan!
BACA JUGA: Resepi Kek Marble Gebu Dan Super Lembut. Kek Viral Menjadi Kegilaan Orang. Rugi Kalau Tak Buat!
Mudah je kan buat kek pisang ni. Kalau nak lagi sedap, gunakan pisang yang betul-betul masak sebab rasa dia lebih manis. Bila dibuat kek, pisang tu lebih berasa.
Kadang-kadang tu ada juga pisang yang dah nak hitam kulitnya atau lebam. Jangan dibuang sebab boleh buat kek pisang.
Lepas ni kalau nak buat kudapan yang manis-manis, gebu dan lembut, boleh buat kek pisang ni. Mudah je cara membuatnya. Selamat mencuba!