Segalanya Tentang Makan..

Ikan Cencaru Sumbat Sambal Serius Sedap! Tak Cukup Seekor Seorang. Siap Meratah!

0 21,004

Kenapa orang suka makan ikan sumbat ni agaknya? Tengok lah ikan dan bahan yang disumbat tu. Sedap bila digoreng sekali. Lepas tu bila nak makan, kuti isi ikan yang dah digoreng sebati dengan bahan sumbat tu. Lagi pula kalau bahan sumbatnya tu ialah sambal. Contohnya ikan cencaru sumbat sambal!

Anda pernah cuba? Kalau belum, wajib ikut resepi yang dikongsikan oleh Abang Mohd Rozmie ni. Serius sedap dan simple sangat resepi ni. Tapi kena pandai masak sambalnya. Nak dapat ikan cencaru sumbat yang padu memang bergantung pada kesedapan sambal.

Kalau ikut tips resepi ni, bahan kisar sambal akan digaulkan dengan bawang besar yang dipotong kasar. Manis bawang tu nanti akan buatkan sambalnya sedap. Lepas tu sumbatkan dalam badan ikan yang dah dibelah, kemudian gorengkan.

Fuhh, kalau dapat makan dengan nasi putih panas dan sayur lemak putih kubis, memang makan bertambah-tambah. Memang kombinasi lauk terbaik.

Resepi ni simple je bahannya. Tak ada bahan-bahan rumit yang tak biasa pakai pun. Memang semua bahan asas yang dah ada di dapur.

 

RESEPI IKAN CENCARU SUMBAT SAMBAL

Kalau dapat makan ikan sumbat sambal yang pedas memang sedap. Dalam resepi ni akan masukkan lada besar dan cili kering kisar. Tapi kalau anda nak kurangkan pedas, boleh adjust berapa biji nak dimasukkan.

Bahan-bahan yang diperlukan:
  • Ikan cencaru 7 ekor siap bersihkan
  • Cili kering 12 biji (rebus dan toskan siap-siap)
  • Cili merah 3 biji
  • Bawang besar 2 biji (1 biji darinya dipotong bulat atau kasar, dan sebiji lagi akan dikisar)
  • Bawang putih 4 ulas
  • Asam jawa 1 sudu (direndam dengan air, dan buang bijinya)
  • Serai 2 batang
  • Belacan 1 inci
  • Gula 3 sudu kecil
  • Garam 1 ½ sudu kecil
Cara masak ikan cancaru sumbat sambal:

▶️ Mula-mula bersihkan ikan cencaru. Kemudian belah bahagian belakangnya untuk sumbat dengan sambal nanti. Kemudian gaulkan dengan serbuk kunyit dan garam sedikit.

▶️ Seterusnya masukkan cili kering, 1 biji bawang besar, cili merah, bawang putih, serai, belacan, air asam jawa, garam dan gula ke dalam blender. Dan kisar sehingga halus.

▶️ Masukkan bahan kisar ke dalam mangkuk, dan gaulkan dengan 1 biji lagi bawang besar yang dipotong kasar tadi.

▶️ Kemudian sumbatkan sambal tu ke dalam poket ikan yang dah dibelah di belakangnya tadi.

▶️ Panaskan minyak dalam kuali. Setelah minyak betul-betul panas, masukkan ikan. Dan goreng dengan api yang perlahan. Pastikan api slow je, sebab takut ikan dan sambal hangit.

▶️ Dah garing macam ni, boleh angkat dan hidangkan.

 

BACA JUGA: Resepi Sotong Sumbat Telur Terlajak Sedap.Rugi Kalau Tak Cuba!

 

Simple je kan? Ikan sumbat ni kalau jadikan lauk, memang tak pandang masakan lain dah walaupun gulai depan mata. Sebab sambalnya dah cukup padu. Dimasakkan pula dengan ikan cencaru.

Bila sambal dan isi ikan sebati, memang sedap dimakan sekali. Nak buatnya pun tak susah. Yang baru nak belajar masak pun boleh cuba resepi ni. Confirm suami dan keluarga puji.

Bila dah tahu resepi mudah ikan cencaru sumbat sambal ni, lepas ni bolehlah buat untuk hidangan sekeluarga. Selamat mencuba!

Leave A Reply

Your email address will not be published.