Selalu minum petang, ibu-ibu buat hidangan santai apa untuk anak-anak? Kalau asyik buat cucur je, muak pula kan. Apa kata tukar selera kepada roti roll daging kari yang terlajak sedap ni. Yang ni bukan anak-anak je, mak ayah pun pasti gemarinya. Cara buat roti roll daging kari ni mudah je.
Biasanya kalau tengok roti roll ni, kita agak inti di dalamnya ialah sardin. Kiranya dah biasalah makan roti roll inti sardin ni. Tapi rupanya kalau buat inti daging kari pun sedap tiada tandingan juga. Ada aromanya tersendiri.
Dagingnya dimasak dulu dengan pelbagai bahan rempah yang menaikkan lagi rasa. Selepas tu, ianya bukan digoreng macam selalu, tapi dibakar. Kalau sekali makan, bolehlah nak katakan ini roti roll yang bertaraf 5 bintang.
Kalau buat untuk anak-anak, lagi sedap jika dimasukkan kepingan cheese. Tak boleh nak dinafikan roti roll ni rasa kayangan. Kalau dijual, bolehlah nak letakkan harga yang tinggi.
Tapi bila buat sendiri ni lebih untung.Dapat merasa makan roti roll yang sangat sedap. Tambah lagi boleh makan lebih sebiji seorang. Jom lihat cara buat roti roll daging kari yang dikongsikan oleh Puteri Hana Sofia ni.
RESEPI ROTI ROLL DAGING KARI
Nak buat inti dagingnya, gunakan daging kisar je supaya senang dan cepat untuk dimasak. Yang penting ialah bahan rencahnya yang penuh dengan aroma rempah dan kari.
Bahan-bahan yang diperlukan:
- Daging kisar
- Serbuk kari daging 3 sudu (bancuhkan dengan sikit air untuk jadikan pes)
- Lada hitam 1 sudu kecil
- Serbuk paprika 1 sudu kecil
- Jintan manis 1 sudu kecil
- Bawang besar 1 bii dibelah dadu
- Kepingan cheese
- Cili padi dihiris (ikut nak pedas mana)
- Halia 1 inci dihiris
- Kiub ayam 1
- Butter ½
- Roti gardenia
- Garam secukup rasa
- Telur (untuk sapu pada roti)
Cara-cara buat inti daging:
▶️ Panaskan kuali. Kemudian masukkan butter dan biarkan mencair.
▶️ Kemudian tumiskan bawang besar, halia dan cili padi. Tumis sehingga naik bau.
▶️ Lepas tu masukkan pes kari daging tadi dan kacau sebati.
▶️ Masukkan pula daging kisar dan tumis sampai masak.
▶️ Boleh masukkan sedikit air masak untuk renehkannya.
▶️ Kemudian perasakan dengan garam dan kiub ayam.
▶️ Masakkannya sekejap, dan lepas tu boleh padamkan api.
▶️ Dah siap. Ketepikan sekejap.
Cara-cara buat kulit (roti):
▶️ Potong bahagian tepi roti (atau tak nak potong pun tak apa).
▶️ Kemudian gelekkan sampai roti nipis. Masukkan inti daging. Dan jangan lupa masukkan kepingan cheese yang dipotong kecil-kecil.
▶️ Sebelum roll kan roti untuk tutup, sapukan dulu di bahagian tepi-tepi roti dengan telur kuning untuk dijadikan gam. Supaya nanti inti tak terburai semasa dimasak.
▶️ Cucuk-cucukkan permukaan roti dengan garfu, dan susunkan atas tray bakar.
BACA JUGA: Jom Buat Roti Bakar Rangup Ala Kopitiam Yang Super Marvelous Ni. Mudah Dengan 3 Bahan Je!
▶️ Sapukan kuning telur atas roll roti, dan bakar dalam masa 15 minit pada suhu 200’c.
▶️ Dah siap roti roll kari daging padu!
Kalau makan macam tu memang sedap tak terkata. Kulit roti yang rangup dan inti sedap berperisa kari ni buatkan roti roll daging ni rasa luar biasa berbanding roti roll biasa. Terima kasih kepada pemilik resepi ni!
Bolehlah nanti buatkan untuk anak-anak sama ada buat untuk hidangan minum petang atau nak buat bekal ke sekolah. Selamat mencuba!