Segalanya Tentang Makan..

Pau Goreng Inti Kacang Merah. Rangup Di Luar Dan Lembut Gebu Di Dalam!

0 8,606

Terasa muak pula makan goreng pisang atau cekodok untuk minum petang ni kan. Apa kata jom buat pau goreng inti kacang merah pula. Berlainan rasanya dari pau biasa. Bila gigit bahagian luarnya terasa garing. Dalam pula lembut dan gebu gebas.

Pau goreng ni memang cukup sedap buat hidangan santai bersama keluarga. Memang tak dinafikan pau ni kalau kita nampak je orang jual, pasti akan tergoda. Dengan wap asapnya bila dikukus, itu yang buatkan memanggil-manggil untuk beli.

Kali ni boleh cuba buat versi goreng pula yang ada kelainan sikit pada rasanya. Buat sendiri ni lebih puas hati. Boleh goreng ikut tahap mana garing yang anda mahu. Mungkin ada yang tak suka sangat bahagian luar terlampau garing, jadi tak perlu goreng terlalu lama.

Sama juga bagi mereka yang suka inti lebih. Boleh masukkan inti sebanyak mana anda suka. Kalau nak kepelbagaian rasa, boleh letak apa sahaja jenis inti yang digemari.

Memandangkan musim pkp ni pun lebih lama duduk di rumah, bolehlah cuba-cuba resepi roti pau ni. Antara perkongsian pau goreng sedap yang anda boleh buat ialah dari resepi Khadijah Jaafar.

 

RESEPI PAU KACANG MERAH

Kalau buat sendiri pau ni lebih untung sebab boleh buat macam-macam jenis inti. Sekarang ni inti pun dah ada yang jual ready made. Tak perlu susah-susah buat sendiri intinya. Inti kacang merah atau read bean paste banyak dijual di kedai bahan-bahan kek atau bakery.

Bahan-bahan yang diperlukan:
  • Tepung gandum 800 gram
  • Telur 1 biji
  • Planta 3 sudu besar
  • Susu pekat 2 sudu besar
  • Gula 1 sudu kecil
  • Air suam ½ gelas
  • Yis 1 paket
  • Air sejuk secukupnya
Cara buat pau kacang merah:

▶️ Buat bancuhan yis dulu. Masukkan yis dalam gelas dan campurkan dengan gula dan air suam.

▶️ Biarkan seketika sampai yis kembang di dalam gelas.

▶️ Dalam bekas lain, satukan tepung gandum dengan telur, planta, susu pekat dan bancuhan yis tadi. Gaulkan sebati.

▶️ Kemudian masukkan sikit demi sedikit air sejuk sambil menggaulnya sehingga doh lembut.

▶️ Pastikan air tu dimasukkan sikit-sikit supaya doh tak terlajak lembik.

▶️ Uli sampai doh tak melekat di tangan.

▶️ Rehatkan doh sampai naik 2 kali ganda.

▶️ Lepas doh dah kembang, tumbuk-tumbuk manja supaya udara keluar.

▶️ Ambil sedikit doh, penyek-penyekkan untuk masukkan inti kacang merah. Masukkan inti sebanyak mana anda suka.

▶️ Kemudian bulat-bulatkan.

▶️ Taburkan tepung atas dulang. Kemudian letakkan pau tadi.

▶️ Susun semua pau atas dulang sampai doh habis.

▶️ Kemudian ayakkan lagi tepung di atas doh pau supaya nanti bila nak ambil untuk goreng tak melekat di tangan.

▶️ Rehatkan sekejap sebelum goreng.

▶️ Panaskan minyak dalam kuali, dan goreng pau.

▶️ Untuk mula-mula gunakan api yang kecil. Kemudian gunakan api sederhana.

▶️ Kalau nak garing boleh goreng lama sikit. Kalau nak kurang garing, kurangkan masa gorengnya. Lihat keperangan warna pau.

▶️ Dah siap boleh angkat dan toskan.

 

BACA JUGA: Pisang Goreng Coklat Cheese Rangup Dan Sedap. Laku Keras, Confirm Cepat Habis!

 

Sedia dihidang dengan kopi atau teh. Memang sedap pau goreng ni kalau dimakan panas-panas sebab garingnya lebih terasa.

Tambah pula lagi intinya padat dan kena dengan selera. Kalau nak buat untuk anak-anak, mungkin mereka lebih suka inti coklat. Boleh buat bermacam jenis inti ikut suka anda.

Pau goreng inti kacang merah ni antara yang sedap anda boleh buat. Buat inti meriah baru puas hati kan. Jangan lupa mencubanya!

 

Leave A Reply

Your email address will not be published.