Kalau masuk je kedai kek, selalunya kek yang buat kita terliur mesti kek cheese yang super lembut dan berkrim. Bila dah rasa sekali, 1 slice rasa tak cukup pula kan. Apa kata jom buat sendiri dan try resepi mango cheesecake sedap berkrim ni!
Krim cheese tu dah tentulah sedapkan. Lepas tu ada pula lapisan mango kat atasnya yang ada rasa masam-masam manis. Bila makan lepas tu mencair di mulut, terus rasa di awang-awangan. Nikmat tak terkata.
Nak buat kek yang cantik bentuk dan tekstur ni bergantung pada sukatan bahan yang digunakan. Kalau anda nak cuba buat, boleh ikut resepi yang dikongsikan oleh Ariana Sofia Ahmad ni.
Tak pernah beliau buat kek atau dessert yang tak menjadi. Cantik pula tu hasilnya. Resepi ni senang je dan mudah untuk diikuti.
Dapat buat seloyang makan beramai-ramai dengan keluarga memang puas. Tak perlu lagi dah beli dari kedai kek. Dapat kita berjimat. Jom lihat cara membuatnya.
RESEPI MANGO CHEESECAKE
Lapisan mango di atas kek ni ialah dalam bentuk jelly. Bila jelly bergabung dengan cheese yang berkrim lembut, memang sedap tak terkata bila masuk ke dalam mulut. Tambahan lagi, ada lapisan biskut pula di bahagian bawah kek.
Dalam menyediakan bahan kek ni, perlu sediakan bahan puri mangga dulu untuk dimasukkan ke dalam adunan lapisan cheese dan juga adunan lapisan mango jelly.
Bahan untuk puri mangga:
2 biji mangga (buang kulit dan kisarkan isinya), kemudian dicampurkan dengan air perahan jus lemon dalam 1 sudu besar. Ketepikan.
Bahan untuk lapisan biskut paling bawah:
- Biskut marie 160 gram
- Butter 90 gram (dicairkan)
Bahan untuk lapisan cheese di tengah-tengah:
- Cream cheese 500 gram
- Whipping cream 200 gram
- Esen vanilla 1 sudu kecil
- Gula kastor 140 gram
- Air jus lemon 2 ½ sudu besar
- Susu pekat manis 1 sudu besar
- Puri mangga yang dah disediakan tadi sebanyak 100 gram
- Gelatin 2 sudu besar dicampurkan dengan 80 ml air panas (kacau sebati)
Bahan untuk lapisan mango jelly di atas:
- Puri mangga yang dah disediakan tadi dalam 200 gram
- Gelatin 1 sudu besar yang dicampurkan dengan 50 ml air panas (kacau sebati)
Cara buat mango cheesecake:
▶️ Mula-mula buat lapisan biskut di bawah dulu.
▶️ Sediakan plastik. Kemudian masukkan biskut marie ke dalamnya dan ketuk sehingga hancur.
▶️ Masukkan biskut yang hancur tadi ke dalam bekas, dan tuangkan butter yang dah dicairkan.
▶️ Gaul atau kacau sampai sebati macam ni.
▶️ Sediakan loyang saiz 8 yang boleh dibuka tepinya (lagi mudah nanti untuk keluarkan kek).
▶️ Kemudian masukkan biskut yang dah hancur tadi ke dalamnya dan tekan sampai mampat dan rata.
▶️ Seterusnya sejukkan selama 30 minit dalam peti ais.
▶️ Sebelum buat lapisan cheese dan mango jelly, jom buat puri mangganya dulu.
▶️ Ikut suka anda nak guna mangga jenis apa. Tapi kalau guna mangga gold lagi sedap.
▶️ Perahkan air jus lemon dan ketepikan.
▶️ Selepas buang kulit dan potong kecil-kecil mangga tu, kisarkan dalam blender sehingga hancur.
▶️ Jangan lupa masukkan 1 sudu jus lemon tadi ke dalam blender sekali. Baki jus lemon tu simpan dulu.
▶️ Keluarkan puri mangga yang dah siap dikisar.
▶️ Seterusnya jom buat lapisan cheese.
▶️ Mula-mula buat dulu campuran air gelatin. Caranya, ambil 1 sudu besar gelatin dan campurkan dengan 80 ml air panas. Ketepikan.
▶️ Kemudian dalam bekas mixer, masukkan cream cheese, whipping cream, gula kastor, esen vanilla dan air jus lemon.
▶️ Pukul kesemua bahan menggunakan mixer sehingga kembang dan licin, dan pastikan bahan ni tak berketul.
▶️ Seterusnya masukkan puri mangga dalam 100 gram ke dalamnya. Dan sambung mix semula sehingga sebati.
▶️ Selepas adunan dipukul licin, masukkan susu pekat manis dan air gelatin yang siap dibancuh tadi. Dan pukul lagi sehingga sebati seperti ni.
▶️ Selepas tu, keluarkan loyang yang berisi biskut tadi dari peti ais. Kemudian tuangkan adunan cheese ke dalamnya.
▶️ Sejukkan lebih kurang dalam 2-3 jam. Boleh letak dalam chiller atau freezer. Perlu pastikan cheese ni pejal.
▶️ Seterusnya buat lapisan paling atas iaitu mango jelly.
▶️ Macam biasa, sediakan dulu bancuhan air gelatin. Buat campuran 1 sudu besar gelatin dan 50 ml air panas dan sebatikan. Kemudian ketepikan untuk bagi sejuk.
▶️ Dalam mangkuk yang ada 200 gram puri mangga, tuangkan air gelatin ke dalamnya dan kacau sebati.
▶️ Puri mangga untuk lapisan mango jelly ni buat 10 minit sebelum keluarkan loyang berisi lapisan biskut dan cheese tadi dari freezer.
▶️ Kemudian tuangkan adunan puri mangga ke atas lapisan cheese.
▶️ Jangan ratakan adunan pakai sudu atau garfu. Senget-sengetkan je loyang supaya adunan rata ke tepi dan sekitar permukaannya. Baru kek licin cantik.
▶️ Kemudian sejukkan semula dalam tempoh 7-8 jam dalam peti ais biasa atau chiller.
▶️ Bila dah sejuk, keluarkan loyang dari chiller. Dan sedia untuk keluarkan kek dari loyang.
▶️ Kalau guna loyang yang boleh buka bawah, letak cawan kat bawah loyang dan tolaklah loyang ke bawah.
▶️ Dah siap mango cheesecake dan sedia untuk dipotong.
Cantik kan hasilnya! Bila dipotong, terasa lembut bahagian jelly dan cheese tu. Makan kek yang sejuk macam ni memang tak boleh gambarkan nikmatnya.
BACA JUGA: Resepi Brownies Kedut Sedap Siap Ada Cheese. Mudah Je Ikut Step By Step!
Kek ni ada bau aroma wangi mangga dan juga lemon. Segar je bila masuk ke mulut. Kalau dapat buat kek cantik dan sedap macam ni, lepas ni kalau nak makan kek berkrim cheese, eloklah buat sendiri je.
Boleh juga buat kreativiti sendiri. Contohnya letakkan mangga potong atas lapisan jelly tu. Lagi nampak mewah dan sedap. Jangan lupa cuba resepi mango cheesecake sedap berkrim ni!