Segalanya Tentang Makan..

Apam Nasi Gebu Dan Wangi. Bahan Mudah, Sukatan Cawan. Sekejap Je Licin!

0 24,554

Kalau nak makan apam ni, lagi puas hati kalau buat sendiri. Boleh buat tahap manis yang kita suka dan dengan pelbagai warna. Janji buat dengan hasil yang lembut dan gebu. Boleh makan tanpa jemu. Apa kata kalau ada nasi lebih kat rumah tu jom buat apam nasi lembut, gebu dan wangi ni.

Perkongsian resepi apam nasi ni dari Cik Loli. Tak mampu nak skip resepi apam nasi beliau ni bila dah lalu lalang kat wall. Tengoklah hasilnya! Lihat je pun dah tahu apamnya lembut dan gebu. Cantik terhidang kalau nak buat juadah minum petang.

Bahan-bahannya ringkas je. Cuma perlukan 6 bahan. Tak pening nak sediakan bahannya sebab gunakan sukatan cawan. Step nak buatnya pun mudah.

Lagi cantik apamnya tu dibuat pelbagai warna berbanding buat 1 warna je. Bahagikan adunan tu kepada beberapa bahagian, lepas tu buatlah warna yang disukai.

Bila apam pun dah sedap, wangi, lembut dan gebu. Tambah pula lagi warnanya yang cantik, confirm anak-anak pun makan tanpa henti. Mudah kerja ibu-ibu nak sediakan juadah santai mereka di rumah.

 

RESEPI APAM NASI LEMBUT, GEBU DAN WANGI

Sebelum hidangkan apam tu, jangan lupa taburkan sikit kelapa parut muda untuk rasa yang lebih enak. Kalau makan begitu je pun sebenarnya dah cukup sedap. Tapi bila ada taburan kelapa, adalah sikit berikan rasa yang pelbagai.

Bahan-bahan yang perlu ada:
  • Air 1 ¾ cawan
  • Nasi 1 cawan (sebaiknya pakai nasi sejuk semalam)
  • Gula ¾ cawan (kalau anda suka manis boleh masukkan 1 cawan)
  • Tepung gandum 1 cawan (diayak)
  • Tepung beras 1 cawan (diayak)
  • Yis 1 sudu makan

Cara buat apam nasi:

▶️ Mula-mula masukkan nasi dan juga air ke dalam blender. Kisarkan sehingga nasi hancur halus.

▶️ Kemudian masukkan gula dan kisar lagi supaya gula pula hancur.

▶️ Lepas tu masukkan tepung gandum dan juga tepung beras. Masukkan sikit demi sikit sampai habis.

▶️ Dan kemudian masukkan yis. Kisarkan lagi sehingga sebati.

▶️ Dah sebati kesemua bahan, sediakan beberapa bekas.

▶️ Kemudian bahagikan adunan kepada beberapa bahagian anda nak. Titiskan pewarna pilihan anda dan gaulkan sebati warnanya.

▶️ Lepas tu biarkan adunan tu naik sekejap dalam 1 jam.

▶️ Sambil tu panaskan air pengukus untuk kukus apam sebentar lagi.

▶️ Kemudian sediakan kertas acuan (paper bag) dan oleskan sikit minyak supaya nanti tak mudah melekat.

▶️ Tuangkan adunan, dan kukus selama 5-6 minit.

▶️ Selepas kukus, boleh biarkan sejuk dahulu sebelum keluarkan apam dari acuan.

▶️ Susunkan apam atas dulang, dan taburkan kelapa parut muda yang dah siap digaul dengan sedikit garam dan dikukus sekejap.

 

BACA JUGA: Cara Buat Apam Polkadot Comel, Gebu Dan Lembut. Resepi Mudah Dan Sepat!

 

▶️ Dah siap, bolehlah menikmatinya!

Memang confirm ramai yang suka dengan apam nasi ni. Kadang-kadang kuih yang simple dan tak ada pelbagai bahan inilah yang sedap dan paling diminati.

Apam ni memang kita tahu kebanyakannya teksturnya gebu dan lembut. Sekali makan sesuap masuk mulut. Sebab tu sesuai sangat hidangkan untuk anak-anak.

Lagipun apam ni susah rosak. Boleh buat banyak dan simpan dalam bekas tutup rapat. Esok-esok pun boleh makan lagi. Jangan lupa cuba resepi apam nasi gebu dan wangi ni untuk hidangan simple anda sekeluarga.

Leave A Reply

Your email address will not be published.