Segalanya Tentang Makan..

Cara Buat Donut Frozen. Lembut Dan Gebu! Boleh Makan Sendiri Atau Buat Berniaga.

0 23,453

Sebut je donut semua orang suka. Susah nak jumpa orang tak suka donut. Salah satu kuih tradisional kegemaran ramai. Sebab tu donut sekarang pun dah dibuat bermacam jenis dan perisa. Tapi donut kampung juga tetap jadi pujaan hati kan? Apa kata jom belajar cara buat donut frozen.

Alaa, yang maca selalu orang jual tu. Boleh buat stok dalam peti ais. Asal teragak je terus goreng. Tak payah lagi dah beli donut di luar atau uli berulang kali. Donut ni yang buatkan sedap ialah teksturnya yang lembut dan gebu. Sebab tu kena tahu cara pengendalian doh supaya donut tak jadi keras.

Dah alang-alang ada cara buat donut frozen yang ditunjukkan oleh Syarifah Zainab Al Yahya ni, bolehlah buat donut sekali banyak. Mana yang nak buat berniaga tu pun boleh ikut resepi ni.

Sebenarnya buat donut frozen ni tak ada lah perlukan bahan tambahan apa-apa. Cuma uli adunan lebih sikit dari biasa, kemudian goreng jangan sampai masak.

Lepas goreng angkat cepat-cepat dan sejukkan sekejap. Lepas tu masukkan dalam plastik untuk di’frozen’kan. Macam tu je caranya. Yang penting kena pandai uli donut jadi lembut dan gebu.

 

CARA BUAT DONUT FROZEN

Untuk sukatan bahan-bahan ni, anggaran donut anda boleh dapat ialah 60 biji. Ikut anggaran 27 gram adunan untuk setiap biji donut sebelum ia kembang. Banyak juga. Siap boleh sedekah pada jiran tetangga.

Bahan A:
  • 2 paket kecil yis
  • 5 sudu besar gula
  • 4 sudu besar susu pekat
  • 2 cawan air suam

*Satukan kesemua bahan A dan biarkan kembang.

Bahan B:
  • 950 gram tepung gandum
  • 4 sudu besar penuh marjerin
  • 2 sudu teh garam
  • 4 sudu teh serbuk penaik

*Satukan kesemua bahan B dan urai-uraikan sebati. Urai-urai tu bermaksud jadikan ia macam serbuk roti.

Cara buat donut frozen:

▶️ Lepas dah sediakan bahan A dan B, satukan kedua-duanya dalam 1 besen.

▶️ Kemudian uli sambil campurkan ½ cawan air. Uli sampai doh tak melekat di jari.

▶️ Kalau rasa adunan tak lembut lagi, boleh tambahkan air sikit lagi.

▶️ Anda perlulah uli sampai rasa adunannya ringan dan tak berat.

▶️ Lepas dah siap uli, tutup besen dengan kain. Biarkan doh naik. Lebih kurang dalam ½ ke 1 jam.

▶️ Bila doh dah kembang, tumbuk-tumbukkannya untuk buang angin.

▶️ Ambil doh kecil-kecil dan timbang seberat 27 gram. Lepas tu bentukkan bulat.

▶️ Susun doh atas dulang. Tapi jangan lupa taburkan sikit tepung atas dulang untuk elakkan melekat.

▶️ Atas dulang ni nanti doh akan kembang naik sikit.

▶️ Lepas dah kembang tu, leperkannya dengan jari.

▶️ Bulatkan di tengah-tengah (boleh guna tapak nozzle).

▶️ Ambil adunan tengah yang ditekap tadi dan masukkan balik dalam doh.

▶️ Kemudian biarkan lagi doh tu kembang cantik. Tapi jangan terlalu kembang pula. Takut susah nak angkat.

▶️ Panaskan minyak dalam kuali dan goreng sehingga garing keperangan.

▶️ Kalau nak frozenkan, goreng jangan sampai masak. Kejap je goreng dan angkat. Lepas tu sejukkan.

▶️ Dah sejuk, masukkan dalam plastik dan masuk dalam peti sejuk.

▶️ Begitu je cara buat donut frozen.

 

BACA JUGA: Kuih Keria Sedap, Cantik Berkilat. Ada Tips Untuk Kuih Keria Yang Rangup Bila Makan.

 

Mudah je sebenarnya buat donut ni. Nampak je macam banyak bahan sebab ada bahan A dan B bagai. Tapi hanya disekalikan dan uli je. Uli tu je lah mungkin mencabar sikit sebab lenguh tangan dan jari.

Tapi berbaloi dapat makan donut lembut gebu ciptaan sendiri. Nak makan berbiji-biji pun tak kisah. Nak salut gula halus ke, coklat leleh ke, terpulanglah.

Lepas ni kalau bosan-bosan duduk rumah tu bolehlah cuba-cuba buat donut frozen. Paling tidak buat makan sendiri atau bagi jiran. Dah expert nanti boleh berniaga pula. Semoga resepi ni bermanfaat!

Leave A Reply

Your email address will not be published.