Segalanya Tentang Makan..

Cara Buat Kuih Kasturi Legend. Dipanggil Juga Kuih Kacang Hijau. Sedap, Lembut dan Garing.

0 6,173

Kalau dulu-dulu, mesti anda selalu makan kuih kasturi ni kan. Selain kuih kasturi, kuih ni juga dikenali sebagai kuih rengas atau kuih kacang hijau. Sekarang ni dah jarang jumpa orang jual kuih ni. Kalau ada pun di kawasan kampung. Cara buat kuih kasturi yang legend ni sebenarnya mudah je.

Rasa kuih ni sedap sebab isinya lembut dan kulitnya rangup. Bahan untuk isinya yang lembut tu semata-mata kacang hijau dan juga kelapa parut. Tak ada sebarang tepung pun di dalamnya. Bila nak goreng baru buat bancuhan tepung seperti goreng pisang.

Memang sedap kuih kasturi ni kalau buat hidangan minum petang bersama teh panas. Nak buat kuih ni tak perlu belanja besar pun sebab bahan-bahannya sangat ringkas.

Kalau nak mudah, boleh buat sekali banyak dan frozenkan untuk digoreng pada hari lain. Kuih ni mudah untuk disimpan. Bila nak goreng, hanya perlu bancuhkan tepung, kemudian terus goreng.

Kalau anda nak cuba buat, jom ikut perkongsian resepi dari Norakmawati Sabudin ni. Rasanya sedap, lembut dan puas bila dimakan.

 

RESEPI KUIH KASTURI

Untuk resepi ni gunakan 1 cawan kacang hijau. Boleh dapat dalam 20 biji kuih bersaiz 1/8 cup. Bergantung juga berapa besar saiz kuih yang anda buat. Kelapa parut pula hanya gunakan 3 sudu besar je. Namun terpulang kalau anda nak letakkannya lebih.

Bahan-bahan yang diperlukan:
  • Kacang hijau 1 cawan (rendam 2-3 jam)
  • Daun pandan 1 helai
  • Gula pasir 1/4 cawan atau 4-5 sudu besar
  • Kelapa parut 3 sudu besar (kalau suka lebih boleh masukkan lebih)
  • Marjerin 1 sudu besar mendatar (jangan membukit)
  • Garam halus ½ sudu kecil
Cara buat kuih kasturi legend:

▶️ Rebus dahulu kacang hijau bersama dengan daun pandan. Rebus sampai pecah kulit.

▶️ Sukatan air macam masak nasi. Lebihkan sikit air.

▶️ Bila air dah mula kering, masukkan gula, marjerin dan garam. Kacau sampai air betul-betul kering.

▶️ Perlu pastikan sentiasa kacau sebab tak nak hangit di bawah. Kalau ada periuk non stick, lebih mudah kalau gunakannya.

▶️ Akhir sekali baru masukkan kelapa parut. Kacau sebati dan padamkan api.

▶️ Sejukkan adunan ni. Kalau boleh letak atas dulang supaya mudah sejuk.

▶️ Bila dah sejuk, boleh bentukkan membulat, dan tekankan sikit supaya leper (boleh letak sikit tepung di tangan supaya tak melekat).

▶️ Bila dah siap bentuk, masukkan dalam Tupperware. Alaskan dengan plastik untuk setiap lapisan supaya tak melekat antara satu sama lain.

▶️ Boleh frozenkan jika mahu. Kalau nak terus goreng, buat bancuhan tepung.

▶️ Cara bancuh tepung ialah dengan tepung beras, telur, garam, air kapur sikit dan air. Gaul sebati.

▶️ Kemudian celupkan kuih ke dalam bancuhan tepung dan goreng sehingga warnanya kuning-kuning garing.

▶️ Dah siap.

 

BACA JUGA: Resepi Kuih Tepung Gomak Sedap Dan Simple. Lembut Dan Manis Di Dalam Dan Berdebu Di Luar!

 

Bancuhan tepung untuk menggoreng tu sama juga seperti buat goreng pisang. Boleh gunakan sama ada tepung gandum, tepung beras atau tepung segera adabi. Ikut yang mana anda suka.

Kalau bancuhan tepungnya dibuat tak terlalu pekat atau sederhana cair, gorengannya nanti nipis je dan lebih rangup. Itu yang buatkan sedap, lagi-lagi makan waktu panas-panas baru lepas digoreng.

Lepas ni kalau teringat kuih kasturi yang legend ni, bolehlah cuba resepi ni. Kalau nak cari di luar jarang dah jumpa. Selamat mencuba!

Leave A Reply

Your email address will not be published.