Dulu kalau kat kampung selalu makan kuih puteri ayu ni di rumah-rumah kenduri. Tok wan pun rajin buat. Sekarang susah dah nak jumpa. Yang dijual di tepi-tepi jalan pun tak banyak ada. Sedap kalau kuih puteri ayu ni dijadikan kudapan santai di rumah, lagi-lagi yang lembut dan gebu.
Dah alang-alang jumpa resepi kuih puteri ayu dari perkongsian Esya Lisha Ng ni, bolehlah buat terus jadikan stok kudapan kat rumah. Sekali buat boleh dapat 35-40 biji. Silap-silap kalau anak naik syok duk mengulang, cepatlah habis jawabnya.
Untung buat sendiri ni. Dapatlah banyak hasilnya. Kalau beli banyak pula belanja. Bila buat sekali banyak, boleh simpan dalam bekas kedap udara. Seronok kalau dapat makan berulang-ulang.
Nak buat kuih ni mudah je. Bancuh bahan, kemudian kukus dalam 10 ke 15 minit. Nak masukkan adunan ke dalam acuan kalau nak mudah boleh gunakan nozel. Cepat kerja anda dan kemas.
Selain guna acuan puteri ayu, boleh juga kalau nak guna acuan besar macam nak buat kek atau puding tu. Besarlah bentuknya, dan bila nak makan kena potong seperti kek. Ikutlah citarasa anda.
RESEPI KUIH PUTERI AYU
Kuih puteri ayu ni yang sedapnya bila ada campuran kelapa parut muda kat bahagian atasnya. Itu yang buatkan sedap, wangi dan rasa berlemak. Kalau tak ada benda ni bukan puteri ayulah namanya.
Bahan-bahan yang diperlukan:
- Tepung gandum 3 cawan (350 gram) -ayak dulu
- Telur 4 biji
- Gula halus 1 ½ cawan (270 gram) – kalau tak nak manis, kurangkan pun boleh
- Santan 1 ½ cawan (300 ml) – apa-apa santan pun boleh sama ada fresh atau kotak
- Ovelette 1 sudu makan
- Baking powder 1 sudu
- Perisa pandan 1 sudu kecil
- Pewarna hijau 2 sudu kecil
- Kelapa parut 1 biji (200 gram) – ambil putih sahaja
- Garam 1 sudu kecil
- Tepung ubi 1 sudu makan
Cara-cara membuat kuih puteri ayu:
▶️ Sediakan mixer. Lepas tu masukkan telur, gula halus, ovelette, perisa pandan dan pewarna hijau.
▶️ Pukul sehingga kembang dan gebu.
▶️ Kemudian masukkan tepung gandum dan baking powder. Pukul lebih kurang dalam 2 minit.
▶️ Lepas tu masukkan santan. Dan putar lagi dengan kelajuan sederhana lebih kurang seminit.
▶️ Dalam bekas lain, masukkan kelapa parut, tepung ubi dan garam sikit. Gaulkan sekata.
▶️ Sediakan acuan puteri ayu yang dah siap disapu marjerin sikit. Sambil tu panaskan air pengukus.
▶️ Masukkan sikit bahan kelapa parut tadi dan tekan-tekan sikit. Ketepikan sekejap.
▶️ Adunan tepung yang dipukul dalam mixer tadi kita masukkan dalam pipping bag. Kalau nak gunakan sudu atau jug pun boleh juga asalkan kemas masuk dalam acuan.
▶️ Kemudian picit ke dalam acuan sehinga penuh. Lakukan sampai adunan habis.
▶️ Susun dalam pengukus dan kukus selama 10-15 minit.
▶️ Kalau anda guna acuan besar, kukus selama 15 minit.
▶️ Dah siap, boleh keluarkan acuan dari pengukus dan biarkan sejuk sekejap.
▶️ Keluarkan kuih dari acuan. Nak keluarkan tak susah sangat sebab acuan tadi dah disapu marjerin.
▶️ Sedia untuk dihidangkan.
BACA JUGA: Resepi Kuih Seri Muka Lembut Dan Sedap. Rahsia Untuk Hasil Kuih Yang Cantik Berkilat.
Sedap kuih puteri ayu ni dibuat minum petang. Kalau guna acuan puteri ayu tu mudah je. Dah siap dalam bentuk seketul-seketul. Terus ngap je masuk mulut.
Rasanya yang sedap, wangi dan lemak tu buatkan sedap untuk dinikmati. Ada pula perisa pandan yang naikkan lagi aroma. Puas betul bila makan.
Lepas ni kalau nak buat pemanis mulut simple-simple, atau nak buat benda-benda makan santai kat rumah bolehlah buat kuih puteri ayu sedap, lembut dan gebu ni. Kalau rajin buat sekali banyak bagi pada jiran-jiran. Jangan lupa mencubanya.