Segalanya Tentang Makan..

Resepi Kuih Seri Muka Lembut Dan Sedap. Rahsia Untuk Hasil Kuih Yang Cantik Berkilat.

0 1,937

Kuih seri muka ni tak pernah lapuk dek zaman. Kalau dulu-dulu rajin tolong nenek di kampung buat kuih seri muka ni. Cuma sekarang ni dah jarang buat. Sesekali rindu dan teringin pula. Bila nampak resepi kuih seri muka yang sedap dan lembut ni, apa lagi, terus ke dapur.

Kuih seri muka ni antara kuih tradisional yang ramai orang suka. Kalau ditanya kenapa, dah tentu sebab rasanya yang sedap sebab terdiri dari pulut dan lemak santan perisa pandan. Kuih dulu-dulu memang tak pernah mengecewakan.

Memang sedap untuk dinikmati lagi-lagi cukup dengan rasa lemak manisnya. Cuma kadang-kadang yang buatkan putus selera bila bahagian pulut dan bahagian pandan di atas tak berapa lembut teksturnya.

Sebab tu kalau berkaitan kuih yang bertekstur lembut seperti kuih seri muka ni, perlu betul-betul ikut sukatan bahannya.

Salah satu resepi kuih seri muka yang anda boleh cuba ialah dari perkongsian Mariana Zainal ni. Cantik kejadian kuih seri muka beliau dengan bahagian bawah dan atas terhasil lembut dan sekata.

 

RESEPI KUIH SERI MUKA

Nak buat kuih seri muka ni sebenarnya mudah je. Bahagian bawah cuma masakkan pulut seperti biasa. Kemudian baru masakkan bahagian santan di atas. Cuma nak masak bahagian atas ni ada caranya untuk dapatkan hasil yang lebih cantik.

Menurut empunya resepi, hasilnya akan lebih cantik jika dimasakkan adunannya sekejap dalam periuk secara berasingan. Lepas tu baru dituangkan di atas pulut. Nak tau lebih lanjut, jom ikuti perkongsian ni.

Bahan-bahan bahagian bawah (pulut):
  • 2 ½ cawan beras pulut (rendam dalam 30 minit ke 1 jam. Kemudian toskan)
  • 3 cawan santan sederhana cair
  • ½ sudu teh garam
  • 1 helai daun pandan (carik dan simpulkan)
Cara masak bahagian pulut bawah:

▶️ Panaskan air pengukus sehingga mendidih.

▶️ Sediakan loyang bersaiz 10×10 inci dan sapukan sedikit marjerin atau minyak. Lepas tu lapik dengan plastik.

▶️ Masukkan kesemua bahan dan kacau rata.

▶️ Kukus selama 25 minit gunakan api yang besar.

▶️ Bila dah masak, buangkan daun pandan dan biarkan sekejap dalam 5 minit.

▶️ Kemudian tekan-tekankan pulut yang dah dimasak supaya padat. Ketepikan.

Bahan-bahan bahagian atas:
  • 3 cawan santan sederhana pekat
  • 5-6 helai daun pandan
  • Sedikit parutan kulit kayu manis (sedikit je. Tapi kalau tak ada pun tak apa)
  • ¾ cawan gula pasir
  • 3 biji telur gred A
  • ½ sudu teh garam
  • 1 sudu besar membukit tepung kastard
  • 1 cawan tepung gandum
  • Sedikit pewarna hijau epal
Cara masak bahagian atas:

▶️ Mula-mula kisar daun pandan dan juga parutan kulit kayu manis menggunakan air santan yang sederhana pekat tadi.

▶️ Kemudian tapiskan dan sukatkan semula menjadi 3 cawan. Kalau kurang, boleh tambahkan air agar cukup 3 cawan tu.

▶️ Kemudian masukkan bancuhan santan pandan ni bersama semua bahan lain ke dalam periuk. Kacaukan sebati menggunakan whisk.

▶️ Nyalakan api dapur dan kacau menggunakan api yang perlahan.

▶️ Masak sekejap je hingga naik wap atau sekadar periuk rasa panas. Tak perlu masak lama.

▶️ Kemudian tuangkan adunan ke dalam pulut yang dah dipadatkan tadi.

▶️ Masukkan ke dalam pengukus yang dah siap panas dan kukus selama 30 minit. Pastikan guna api yang perlahan.

 

BACA JUGA: Kuih Nona Manis Lembut Dan Sedap. Cara Kukus Untuk Hasil Kuih Yang Licin Dan Cantik.

 

▶️ Dah masak, buka tutup pengukus dan kukus lagi 5 minit guna api yang besar.

▶️ Dah siap. Keluarkan dari pengukus dan sejukkan. Sedia untuk dipotong.

Untuk adunan bahagian atas ni, sebenarnya boleh je kalau anda nak tuang terus atas pulut dan masaknya terus dalam pengukus. Tapi kalau nak hasil cantik, boleh masakkan sekejap dalam periuk dulu. Terpulang pada anda.

Untuk potong kuih pula, kalau nak mudah potong dan cantik hasil potongan, kuih perlulah betul-betul sejuk dulu barulah dipotong. Dan sebaiknya gunakan pisau plastik potong kek tu.

Lepas ni kalau rindu nak makan kuih tradisi melayu, bolehlah cuba resepi kuih seri muka lembut dan sedap ni. Boleh hulur-hulur pada jiran tetangga. Selamat mencuba!

Leave A Reply

Your email address will not be published.