Macam mana sukanya anda makanan manis, berminyak dan bertepung bagai, apa kata cuba buat lempeng pisang rangup dan sedap, tapi dalam versi yang lebih berkhasiat pula. Ramuannya sama je, cuma gantikan je dengan bahan yang lebih sihat.
Contohnya kalau sebelum ni kita pakai minyak biasa, gantikan dengan minyak zaitun extra virgin. Gula pula gunakan gula perang organic. Dan sama juga untuk bahan-bahan lain. Alaah, tapi ada je yang malas nak cari bahan-bahan ni kan?
Ada yang terfikir sekali-sekala nak merasa makan lempeng pisang sedap ni, apa salahnya pakai je bahan biasa kita guna. Itu terpulanglah pada anda. Resepi lempeng pisang yang lebih berkhasiat ni dikongsikan oleh Marwa.
Kalau anda nak ikut resepinya, gunakan bahan yang telah disenaraikan. Rasanya sedap, dan boleh juga dibuat garing untuk rasa kenikmatan lempeng. Tak garing nanti tak puas pula makan.
Bila dah makan lempeng yang manis macam ni, tak perlu nak cicah dengan apa-apa kuah, sos atau sambal. Makan macam tu je dengan air teh’o panas kurang manis dan cukup menyelerakan.
RESEPI LEMPENG PISANG RANGUP SEDAP
Selain pisang, apa yang buatkan sedap rasa lempeng ni ialah penambahan kelapa parut muda. Rasa lempeng ni nanti lebih berganda sedap dan wangi. Cukup rasa lemaknya juga.
Bahan-bahan yang diperlukan:
- 5 biji pisang
- 3 sudu gula perang (organik)
- 4 sudu tepung gandum (organik)
- 2 sudu kelapa parut muda
- 2 sudu minyak zaitun extra virgin (untuk menggoreng)
- Butter (brand Arla. Atau apa sahaja brand anda suka) – Kalau nak buat penambahan rasa
Cara buat lempeng pisang:
▶️ Mula-mula lenyekkan pisang sehingga lumat dan tak ada berketul. Tapi kalau nak ada ketul-ketul sikit tu terpulang.
▶️ Kemudian masukkan gula perang organik dan kacau sebati.
▶️ Masukkan pula tepung.
▶️ Lepas tu masukkan kelapa parut dan kacau sehingga sekata.
▶️ Panaskan minyak zaitun dalam kuali/pan.
▶️ Masukkan 2 senduk adunan ke dalam kuali.
▶️ Adunan akan jadi setepek atas kuali. Jadi, anda ratakan dengan menggunakan hujung sudip supaya dia rata. Kalau setepek tu nanti jadi bentuk cekodok pula.
▶️ Balik-balikkan supaya masak kedua-duanya sekata.
▶️ Bila dah garing, boleh angkat.
BACA JUGA: Resepi Goreng Pisang Rangup Dan Sedap. Enak Dimakan Krup Krap Waktu Panas-Panas!
▶️ Taburkan gula perang atasnya. Dan letakkan butter sebagai penambah rasa.
▶️ Dah siap, boleh dihidangkan.
Buat hidangan minum petang memang layan. Buat sekeping seorang belum tentu cukup. Nanti belilah pisang yang sedap, manis dan ranum. Barulah nikmat dibuat lempeng.
Nak masukkan berapa biji pisang tu pun kena tengok saiznya juga. Kalau besar sangat, kurangkanlah sikit. Begitu juga sebaliknya.
Sesuai nak buat untuk keluarga. Dari orang tua sampai ke budak mesti suka dengan lempeng pisang yang rangup dan sedap macam ni. Berbaloi anda ketuk pisang sampai lumat. Jangan lupa mencubanya.