Segalanya Tentang Makan..

Cara Buat Samosa Inti Telur Kentang Sedap. Buat Inti Padat Dan Goreng Rangup-Rangup!

0 1,202

Dengar je pun dah terliur kan. Kalau goreng sekuali ni confirm laku keras. Letak-letak je licin. Samosa ni memang sedap. Selalu kalau pergi pasaraya tu ada bermacam jenis inti samosa segera yang dijual. Apa kata jom cuba buat sendiri samosa inti telur kentang.

Buat inti padat-padat dan gorengnya rangup serius bertambah padu. Makan gitu je dah sedap, apatah lagi cicah dengan sos cili Thai. Memang tak toleh kiri kanan dah. Samosa ni boleh dibuat dengan kulit popia je.

Ada cara balut kulit popia untuk buat samosa ni supaya lepas goreng kekal cantik, tak mudah tertanggal, bocor dan lebih rangup.

Kalau nak goreng terus boleh, atau nak frozenkan pun boleh juga. Bolehlah buat sekali banyak lepas tu simpan dalam peti sejuk. Nanti nak makan boleh terus goreng je.

Resepi samosa inti telur kentang ni ada dikongsikan oleh Azillamn. Intinya sedap berperisa. Itu yang buat sedap dan tak cepat muak.

 

RESEPI SAMOSA INTI TELUR KENTANG

Samosa ni nak sedap buat saiz kecil-kecil sikit. Kalau buat besar-besar nanti rangupnya tak sesedap kerangupan samosa yang kecil. Untuk resepi ni gunakan kulit popia bersaiz 8.5’ x 8.5’. Nanti akan dibuat 2 lapisan untuk setiap 1 biji samosa.

Bahan-bahan yang diperlukan:
  • Kulit popia 8.5’ x 8.5’ dibelah 3 (nanti 2 helai kulit popia boleh dapat 3 biji samosa)
  • 1 biji telur (untuk dibuat gam)
  • Minyak untuk goreng
Bahan-bahan untuk inti telur kentang:
  • 5 biji ubi kentang (dikupas kulit dan potong dadu)
  • 1 batang lobak merah (dibuang kulit dan potong dadu)
  • 2 biji bawang holland (dipotong dadu)
  • 3 biji telur
  • 1 sudu makan serbuk kari
  • Sedikit serbuk lada hitam
  • Garam secukup rasa
  • Gula perang secukup rasa
  • Sedikit bahan perasa (resepi ni gunakan Maggie cukup rasa)

Cara buat samosa inti telur kentang:

▶️ Mula-mula rebus ubi kentang dan lobak merah yang dah siap dipotong.

▶️ Lepas dah empuk, angkat dan toskan.

▶️ Panaskan minyak dalam kuali dan tumis bawang holland hingga garing kekuningan.

▶️ Kemudian masukkan telur dan kacau sebati hingga berketul macam scramble egg.

▶️ Seterusnya masukkan serbuk kari. Kacau sebati.

▶️ Masukkan kesemua bahan perasa lain pula dan kacau sehingga sebati. Boleh rasa-rasa cukup tak perasa dia.

▶️ Masukkan kentang dan lobak merah yang telah direbus tadi. Gaul sebati dengan bahan.

▶️ Lepas dah cukup sedap, padamkan api dan biarkan sejuk sekejap sebelum masukkan dalam kulit popia.

▶️ Potong siap-siap kulit popia kepada 3.

▶️ Kemudian masukkan inti.

▶️ Balut kulit popia jadi tiga segi bentuk samosa. Calitkan telur dihujung balutan untuk jadikan gam.

▶️ Lepas tu balut sekali lagi 1 lapisan kulit popia supaya nanti lebih rangup.

▶️ Panaskan minyak dalam kuali dan goreng samosa sehingga garing keperangan.

▶️ Dah siap boleh angkat dan toskan.

▶️ Hidangkan dengan sos cili Thai yang pedas dan terangkat.

 

BACA JUGA: Inti Karipap Kentang Perisa Ayam Super Sedap, Resepi Turun Temurun Dibuat Berniaga.

 

Kalau anda nak buat frozen, sebelum simpan dalam peti sejuk beku, balutkan setiap samosa dengan plastik atau lapikkan plastik secara selang seli dalam bekas supaya samosa tak melekat antara satu sama lain.

Nanti nak goreng pun mudah. Kerangupan dia kalau makan memang boleh bunyi krup krap. Tambah pula lagi inti dia sedap dan padat, barulah puas makan.

Bosan-bosan duduk rumah tu bolehlah buat samosa inti telur kentang ni. Nanti boleh buat minum petang santai-santai bersama keluarga. Jangan lupa mencubanya.

Leave A Reply

Your email address will not be published.