Segalanya Tentang Makan..

Cara Goreng Cempedak Rangup Dan Sedap! Guna Tepung Ni Untuk Kekal Rangup Sampai Ke Petang.

0 14,380

Nak buat cempedek goreng ni, selalunya paling utama ialah bancuhan tepung. Kadang-kadang nak beli cempedak goreng kat tepi jalan tu, bahagian tepunglah yang paling risau sebab takut gorengannya tak menepati citarasa. Padahal ada cara untuk goreng cempedak goreng yang rangup dan sedap!

Kadang-kadang terfikir nak dapatkan bancuhan tepung yang sempurna ni agak susah. Sebenarnya kena perlu pandai pilih jenis tepung je. Lepas tu bancuhlah seperti biasa. Mudah je sebenarnya kan. Lebih baik buat sendiri. Dapat makan puas-puas.

Mengikut perkongsian dari Zaky Mat Ali ni, tepung yang sesuai untuk goreng cempedak ialah tepung beras gajah seekor. Memang sedap jika dibuat goreng cempedak, pisang, ubi goreng dan seangkatan dengannya. Gorengan akan jadi lebih rangup.

Jangan salah pilih tepung beras gajah 3 ekor pula. Sebab tepung beras jenis ni lebih sesuai untuk buat kuih talam, tepung pelita dan macam-macam lagi.

Bila dapat makan yang garing-garing memang puas. Tambahan lagi cempedak goreng ni memang sedap dengan bau harum semerbaknya.

 

CEMPEDAK GORENG RANGUP DAN SEDAP

Dalam bancuhan tepung untuk resepi ni lain sikit dengan cara yang biasa orang buat. Ada dimasukkan sekali kapur makan dan juga telur untuk menyedapkan lagi gorengan tepung. Jom lihat cara membuatnya.

Bahan-bahan yang diperlukan:
  • Tepung beras 300 gram
  • Telur 2 biji
  • Serbuk kunyit 2 sudu kecil
  • Garam 1 sudu kecil
  • Kapur makan 1 sudu kecil
  • Air (boleh agak-agak untuk dapatkan adunan yang tak terlalu cair dan tak terlalu pekat)

Cara bancuh dan goreng cempedak rangup dan sedap:

▶️ Satukan kesemua bahan dalam mangkuk atau besen. Kemudian gaulkan sebati.

▶️ Masukkan air sikit demi sambil gaulkan adunan sehingga sebati.

▶️ Gaulkan pakai senduk atau tangan pun boleh. Tapi pastikan kacau sampai tepung semua sebati tanpa berketul.

▶️ Dan pastikan juga adunan tak terlalu cair atau terlalu pekat. Boleh adjust kauntiti air dan tepung.

▶️ Masukkan buah cempedak ke dalam bancuhan dan gaul sehingga semua cempedak tergaul dalam tepung keseluruhannya.

▶️ Panaskan minyak dalam kuali.

▶️ Lepas minyak dah betul-betul panas, masukkan cempedak sebiji-sebiji menggunakan sudu.

▶️ Balik-balikkan bila bahagian sebelah dah bertukar warna keperangan.

▶️ Dah nampak garing, boleh angkat dan toskan. Sedia dihidangkan.

 

BACA JUGA: Cara Buat Cekodok Lembut, Sedap Dan Garing Di Luar. Bentuk Cekodok Cantik Membulat.

 

Memang sedap cempedak goreng ni dimakan panas-panas waktu baru lepas digoreng. Hidangkan pula dengan teh o panas, confirm gorengan 1 kuali pun belum tentu cukup.

Kalau diikutkan, cempedak ni lagi ramai peminatnya dari goreng pisang sebab cempedak ni ada rasa haruman buahnya. Mungkin ini jadi salah satu sebab kenapa dijual mahal.

Kalau jumpa buah cempedak masak tu, belilah dan elok buat sendiri dari beli cempedak goreng yang sedia ada. Dapat berjimat dan makannya puas-puas. Selamat mencuba!

Leave A Reply

Your email address will not be published.