Nak buat kuih tradisional melayu ni kebanyakan kita memang liat kan? Kalau boleh memang nak beli je. Yelah, sebab risau tak menjadi. Sebenarnya mudah je nak buat kuih tradisi dulu-dulu ni. Asalkan ikut sukatan bahan dengan betul. Anda pernah makan kuih koci labu yang sedap lemak manis ni?
Biasanya makan kuih koci pulut hitam je. Kuih koci labu ni sebenarnya antara kuih koci yang sedap selain pulut hitam. Rasa lemaknya tu lebih lagi disebabkan buah labu tu sendiri. Nak ikutkan cara buat dan bahan lainnya semua sama je.
Cuma campurkan buah labu yang dikukus sehingga masak dan dilenyekkan sebelum masuk dalam adunan. Rasa lemak-lemak kuih lagi bertambah sedap bila berintikan kelapa muda yang manis.
Serius tak rugi dan berbaloi kalau anda buat sendiri kuih koci labu ni. Resepi kuih koci labu yang dikongsikan oleh Noriza Awang Hamat ni mudah je nak ikut stepnya. Dan hasil kuih kocinya sangat menarik.
Lembut, tak liat dan warna kuning kuih koci labu cukup cantik walau tak letakkan sebarang pewarna. Dah alang-alang terjumpa resepi ni bolehlah cuba.
RESEPI KUIH KOCI LABU
Sebelum buat adunan kuih koci labu, buat intinya dulu. Nak buat inti kelapa manis ni sama je dengan inti koci pulut hitam. Untuk tips buat inti ni ialah gunakan kelapa parut muda sebab lebih sedap dan juicy rasanya. Kalau pilih kelapa tua, inti akan terasa kering.
Bahan-bahan inti:
- 1 biji kelapa muda
- Gula merah
- Gula pasir
- Garam
- Daun pandan
Cara buat inti kelapa manis:
▶️ Masukkan kesemua bahan dalam kuali, dan masukkan juga sedikit air.
▶️ Masak inti sehingga kering lembap sikit.
▶️ Boleh padamkan api.
Bahan-bahan koci labu:
- Labu (kupas kulit dan kukus sehingga masak)
- 1 paket tepung pulut
- Sedikit air kapur
- Sedikit pati santan
- Daun pisang (layurkan atas api) – potong petak-petak kecil saiz sesuai untuk koci
Cara buat kuih koci labu:
▶️ Mula-mula lenyekkan labu yang dah siap dikukus. Sambil lenyek tu masukkan sedikit garam.
▶️ Kemudian masukkan tepung pulut ke dalam bekas.
▶️ Diikuti labu yang dah siap dilenyekkan tadi.
▶️ Masukkan sikit-sikit pati santan sambil uli adunan sehingga menjadi doh yang tak melekat di tangan.
▶️ Lepas tu buat doh bulat-bulat.
▶️Tekankan doh dan masukkan inti.
▶️ Sebelum tu siapkan daun pisang yang dah siap disapu sikit dengan minyak.
▶️ Letakkan doh bulat yang dah siap dimasukkan inti tadi atas daun pisang.
▶️ Kemudian balut dengan kemas.
▶️ Resepi ni tak letakkan santan di dalam daun pisang sebab nak mudah untuk makan.
▶️ Panaskan air pengukus siap-siap, dan kukus kuih selama 15 minit.
▶️ Dah siap, boleh sejukkan dulu sebelum jamah.
BACA JUGA: Cara Buat Kuih Lompang Sedap, Lembut Gedik. Mudah Je Gunakan Sukatan Cawan.
Sedapnya kuih ni dibuat hidangan minum petang. Rasa lemak manisnya buatkan bertambah berselera. Tak ada santan masak disalutkan pada kuih koci tu pun dah cukup sedap sebenarnya.
Tapi kalau anda nak masukkan santan juga terpulang pada citarasa sendiri. Kuih koci labu ni sedap dengan rasanya yang tersendiri. Makan macam tu je pun dah puas.
Lepas ni nak buat kuih koci labu sedap lemak manis, bolehlah ikut resepi ni. Mudah nak faham dan ikut kan? Semoga berjaya mencuba!