Kalau buat kuih tradisional yang legend ni memang puas hati. Datanglah apa jenis kuih atau dessert yang terbaru dan moden, tetap kuih dulu-dulu menjadi pujaan hati. Kuih lompang lesung pipit yang sedap lemak manis ni ialah salah satunya.
Dengan tekstur kuih yang lembut gedik-gedik, cukup rasa lemak manisnya. Mana boleh tahan kalau nampak lalu dekat timeline Fb ni. Alang-alang tu jom buat sendiri beberapa biji ikut resepi daripada Julia Aleen Airiesh ni. Dapat makan puas 1 keluarga. Kuih lompang ni ada acuan khasnya.
Jenis kecil-kecil dan berlesung pipit. Cantik je terhidang. Yang buatkan bertambah sedap tu sebab digaulkan pula kelapa parut muda. Bertambah sedaplah rasa dia.
Sama juga macam kuih kaswi. Sebenarnya kedua-dua jenis kuih ni sama je. Bahan sama, rasanya pun dah tentulah sama juga. Cuma dibuat dalam bentuk yang berbeza.
Apa yang buatkan teksturnya lembut-lembut gedik tu ialah bahan kapur makan. Kalau angkat je bergoyang-goyanglah kuih ni. Itu bezanya dengan kuih-kuih tradisional yang lain.
RESEPI KUIH LOMPANG LESUNG PIPIT
Kuih lompang ni biasanya dibuat dengan gula merah atau gula melaka. Kalau anda nak buat perisa lain pun boleh, contohnya perisa pandan. Gantikan je gula melaka ni dengan pandan emulco atau air daun pandan dikisar.
Bahan-bahan yang diperlukan:
- ½ cawan gula pasir
- ½ cawan gula merah (gantikan dengan gula melaka pun boleh)
- 1 cawan air
- 1 helai daun pandan
- 1 ½ cawan tepung beras (guna cap bunga teratai)
- 1 sudu makan tepung ubi
- 1 sudu kecil kapur makan
- 1 cawan air
- Kelapa parut muda (putih sahaja) + Sedikit garam + 1 helai daun pandan disimpulkan
Cara buat kuih lompang:
▶️ Mula-mula buat air gulanya dulu.
▶️ Caranya, masukkan gula pasir, gula merah (atau gula melaka), 1 cawan air dan daun pandan yang disimpulkan dalam kuali/periuk.
▶️ Panaskan dan kacau sampai gula larut sebati.
▶️ Lepas tu tutup api dan biarkan sejuk sekejap.
▶️ Sementara tengah tunggu sejuk, buat bancuhan tepung pula.
▶️ Campurkan tepung beras, tepung ubi, kapur makan dan 1 cawan air dalam 1 bekas. Bancuh sebati.
▶️ Kemudian tuangkan air gula yang dah sejuk tadi ke dalamnya.
▶️ Kacau rata, dan tapiskan.
▶️ Sediakan acuan lompang yang dah disapukan minyak.
▶️ Tuang adunan ke dalam acuan.
▶️ Panaskan air pengukus.
▶️ Bila air pengukus dah mendidih, kukus kuih sampai masak.
▶️ Lepas tu sediakan kelapa parut pula.
▶️ Satukan kelapa parut muda, garam dan daun pandan yang disimpulkan dalam mangkuk.
▶️ Gaul sebati dan kukuskan sekejap.
BACA JUGA: Kuih Lapis Coklat Pandan. Sedap Rupanya Dari Kuih Lapis Biasa. Manis Dan Lembut.
▶️ Taburkan kelapa parut muda ni atas kuih lompang yang dah siap dikukus.
Kuih lompang dan kuih kaswi ni memang legend. Sampai sekarang masih ada orang jual lagi. Ada kat kedai sarapan pagi. Kalau bulan puasa ada dijual di bazar Ramadhan.
Ternyata kuih ni memang kegemaran ramai. Tak rugi kalau buat sendiri. Dapat buat 1 periuk kukus. Sambil makan sendiri tu dapat sedekah-sedekah kepada jiran.
Jangan lupa cuba resepi kuih lompang lesung pipit yang sedap dan lemak manis ni. Boleh buat hidangan minum petang anda sekeluarga.