Segalanya Tentang Makan..

Kuih Tiram Atau Kuih Lidah Buaya. Ada Cara Nak Bagi Naik Gebu, Rangup Dan Lembut.

0 18,933

Siapa suka makan kuih lidah buaya ni? Selalu dipanggil kuih tiram. Ada juga yang panggil kuih ni kuih kapal terbang. Memang banyaklah namanya. Ada tu suka makan je tapi tak tahu nama pula. Tak kisahlah. Yang penting kuih ni sedap dan rasa lemak gebu dan manis.

Kalau dulu kat kampung selalu nenek atau wan je yang buat. Kuih ni antara yang takut kita nak cuba kan. Sebab bermain dengan tepung. Dan hasilnya tu kena naik gebu dan rangup baru menjadi. Sebab tu ada yang jual mahal kuih ni.

Tapi kalau cuba dan ikut tips dan langkahnya betul-betul pasti menjadi. Resepi kuih tiram yang dikongsikan oleh Yatie Nayla ni antara yang mudah nak faham dan ikut.

Nak buat kuih ni bermain dengan adunan tepung je. Kena pandai uli sampai jadi doh yang lembut dan sekata. Kalau anda pernah buat karipap, macam tu juga kalau nak buat kuih tiram ni.

Bahan-bahannya tak ada lah banyak mana. Ada 2 jenis tepung yang digunakan. Tebung ubi digunakan sebagai sapuan di bahagian dalam adunan tepung gandum. Jom lihat lebih mendalam lagi.

 

RESEPI KUIH TIRAM / LIDAH BUAYA

Sebelum masukkan marjerin ke dalam tepung gandum untuk diuli, pastikan marjerin dicairkan dan dipanaskan betul-betul. Lepas tu terus masukkan dalam tepung untuk dapatkan hasil kuih yang rangup nanti.

Bahan-bahan yang diperlukan:
  • 1 kilo tepung gandum
  • 2 cawan air
  • 1 biji telur
  • 3 sudu besar marjerin
  • 1 sudu kecik garam
  • 2 cawan tepung ubi
  • 1 cawan minyak (untuk campur tepung ubi)
  • 1 ½ cawan gula kisar untuk lumur dekat kuihnya nanti
Cara buat tepung bahagian dalam:

▶️ Masukkan tepung ubi dalam mangkuk.

▶️ Kemudian masukkan minyak ke dalamnya sikit demi sedikit sambil kacau.

▶️ Pekat dia agak-agak senang nak sapu pada doh nanti.

▶️ Jangan cair sangat sebab nanti serap minyak.

▶️ Ketepikan.

Cara buat doh:

▶️ Mula-mula panaskan marjerin sampai cair. Tips orang dulu-dulu kalau nak lagi gebu nanti, masukkan sekali minyak masak dan panaskan sekali. Masukkan 3 sudu pun dah okay.

▶️ Marjerin yang panas tu terus masukkan ke dalam tepung gandum dan kacau sebati.

▶️ Masukkan telur.

▶️ Dalam cawan lain bancuhkan air dengan garam.

▶️ Lepas tu masukkan air bancuhan garam ni sikit-sikit dalam adunan dan uli sampai jadi doh.

▶️ Kalau doh masih keras tambah air lagi sikit. Boleh agak-agak ya.

▶️ Selepas dah cantik je kejadian doh, ambil sikit dan canaikan macam buat karipap tu.

▶️ Kemudian sapukan tepung ubi tadi ke atasnya sampai rata.

▶️ Lepas tu gulung. Dan potongkan kecil-kecil.

▶️ Lenyekkan perlahan-lahan sampai jadi macam kat dalam dulang tu. Dah boleh digoreng.

▶️ Panaskan minyak dalam kuali, dan goreng sehingga rangup keperangan.

▶️ Lepas tu angkat dan toskan.

▶️ Biarkan kuih betul-betul sejuk dulu baru lumurkan dengan gula halus tadi.

 

BACA JUGA: Cara Buat Buah Rotan Atau Kuih Peluru Yang Kekal Rangup. Kuih Legend Dulu-Dulu!

 

▶️ Simpan dalam bekas bertutup.

▶️ Boleh dijamah!

Macam ni punya sedap kuih tradisional melayu yang kita selalu makan masa kecil-kecil dulu. Patutlah asal buka bekasnya laju je tinggal sikit.

Tak sedar makan dah sampai separuh balang. Kuih tiram ni sedap sebab terasa lemak gebu tepung dan juga manisnya tu.

Cuma nak buat kena perlukan kesabaran sikitlah. Tapi hasilnya berbaloi. Jangan lupa cuba resepi kuih tiram ni nanti. Selamat menguli!

Leave A Reply

Your email address will not be published.