Nak buat donut ni orang kata jari jemari tu kena pandai menguli. Bahan pun perlu pastikan penggunaan dan sukatannya yang betul. Barulah cantik kejadian donut seperti yang diinginkan. Ada pelbagai resepi donut gebu gebas yang dah ramai orang kongsikan.
Kadang-kadang bila lihat, ada bermacam resepi dengan bahan dan cara kendalikan doh yang berbeza. Sebenarnya apa pun cara, yang penting kena tahu sukat bahan, pandai menguli doh supaya nanti naik kembang elok dan tak jadi keras donutnya.
Dalam banyak-banyak resepi, mesti anda tertarik dengan resepi yang dikongsikan oleh Cik Orkid ni. Donutnya cantik terbentuk dan elok kejadiannya. Donut yang gebu, garing di luar dan lembut di dalam. Sekali pandang dah jatuh hati. Terus terasa nak buat sendiri.
Resepi ni diinspirasikan oleh Che Nom sebab sangat mudah untuk membuatnya. Biasanya kalau buat donut ni perlu bersabar sikit sebab perlu menguli.
Kemudian perlukan masa lagi untuk rehatkan doh supaya doh naik kembang. Tapi tak kisah apa pun cara, janji dapat hasilkan donut yang sedap dan gebu.
RESEPI DONUT GEBU GEBAS DAN LEMBUT
Bila buat donut sendiri ni lagi untung. Sebab boleh buat pelbagai cara untuk toppingnya. Kebiasaannya kita salutkan dengan gula halus je kalau nak mudah.
Jika sekali sekala nak ubah selera, boleh juga salutkan dengan coklat dan taburan rice. Buat hidangan untuk anak-anak pasti mereka suka.
Bahan-bahan yang diperlukan:
- Kentang 1 biji (direbus dan dilenyek halus)
- Tepung gandum 2 cawan
- Gula 1 ½ sudu makan
- Garam ½ sudu kecil (jauhkan sikit dari yis)
- Yis kering 1 ½ sudu kecil
- Susu tepung 2 sudu besar
- Marjerin 1 ½ sudu makan
- Telur 1 biji (pecahkan dan gaul sebatikan sikit. Tak perlu sampai berbuih)
- Air 80 ml (guna air sejuk peti ais)
Cara buat donut gebu gebas:
▶️ Mula-mula sediakan bekas yang besar supaya mudah untuk menguli. Kemudian satukan kesemua bahan di atas.
▶️ Caranya boleh satukan bahan serbuk dulu dan gaulkannya. Lepas tu campurkan dengan bahan cecair secara perlahan-lahan.
▶️ Air sejuk tu boleh masukkan waktu akhir semasa nak bentukkan jadi doh.
▶️ Terus menguli sehingga jadi doh yang licin.
▶️ Kemudian tutup doh dengan kain atau penutup dan biarkan dalam 30 minit.
▶️ Selepas doh dah kembang, ambil sikit doh dan bulat-bulatkan sehingga doh habis.
▶️ Tunggu lagi beberapa minit untuk biarkan dia naik kembang lagi.
▶️ Kemudian lubangkan tengah-tengah doh gunakan jari.
▶️ Sambil tu, panaskan minyak dalam kuali. Dan masukkan donut.
▶️ Dengan api yang perlahan, goreng sehingga garing dan warna coklat keperangan.
▶️ Dah garing, boleh angkat dan toskan.
▶️ Salutkan dengan gula halus atau apa-apa topping yang anda gemari.
BACA JUGA: Cara Buat Donut Gebu Dan Lembut Sampai Ke Pagi. Rasa Extra Sedap Dan Wangi!
Bila dah siap je, terasa tak sabar nak makan. Tengok je pun dah boleh bayangkan gebu dan kelembutan teksturnya bila digigit. Donut ni kalau cantik kejadiannya, boleh buatkan kita makan tanpa muak.
Sekali kalau dah pandai buat dan menjadi, mesti lepas tu dah jadi kebiasaan. Tak perlu sukat bahan pun dah boleh agak-agak kuantitinya.
Lepas ni bolehlah selalu buat donut gebu gebas ni untuk hidangan keluarga pada waktu petang. Selamat mencuba!