Segalanya Tentang Makan..

Resepi Nasi Goreng Cili Padi, Lebih Sedap Dari Yang Biasa Dimakan Di Kedai. Padahal Simple Je!

0 5,835

Bila dah muak makan nasi berlauk setiap hari, sekali sekala jom masak nasi goreng pula terutama buat untuk makan malam. Kalau sebut je nasi goreng ni, mulalah teringat nasi goreng sedap-sedap yang selalu dihidangkan di kedai makan. Antara yang paling top sekali ialah nasi goreng cili padi.

Resepi nasi goreng cili padi ni sebenarnya ada banyak style orang masak. Nak kata ada resepi spesifik untuk nasi goreng ni sebenarnya tidak. Sebab lain orang, lain citarasanya. Resepi nasi goreng yang dikongsikan oleh Noratiqah Nordin ni antara yang paling menarik sekali untuk dicuba.

Menurut beliau ini ialah resepi ibunya. Selama ni dah masak pelbagai nasi goreng berlainan resepi, tapi resepi ibunyalah yang paling sedap dan terbaik sekali rasanya.

Antara sebab nasi gorengnya sedap ialah bahan istimewa yang wajib ada iaitu ikan bilis tebal, kiub ikan bilis dan juga ikan goreng jika perlu.

Memang ini bahan utama yang dimasukkan. Tak ada lagi dah bahan-bahan lain yang pelbagai. Bak kata orang rencah ikan bilis ni sebenarnya yang menaikkan lagi rasa masakan.

 

RESEPI NASI GORENG CILI PADI

Resepi nasi goreng ni sebenarnya paling simple sekali. Tak ada masukkan sayuran atau bahan-bahan lain lagi. Namun, kalau anda nak masukkan juga sayuran sebagai penambah rasa pun boleh juga. Ikut citarasa masing-masing.

Bahan-bahan yang diperlukan:
  • Nasi putih sepinggan penuh (sebaiknya nasi lebih pagi tadi)
  • Cili padi (ikut kepedasan yang anda suka)
  • Bawang merah 1 biji
  • Bawang putih 3 ulas
  • Belacan
  • ½ kiub ikan bilis
  • ¼ cawan ikan bilis tebal
  • Ikan goreng (jika ada)
  • Telur
  • Garam secukup rasa

Cara masak nasi goreng cili padi:

▶️ Kisarkan semua bahan-bahan tanpa air (kecuali ikan goreng dan kiub ikan bilis).

▶️ Kalau tak ada chopper, boleh tumbuk bahan-bahan ni.

▶️ Kisar atau tumbuk sehingga halus, tapi tak lumat.

▶️ Panaskan minyak dalam kuali.

▶️ Setelah minyak betul-betul panas, masukkan bahan kisar dan tumis sehingga garing.

▶️ Carikkan ikan goreng dan masukkan dalam kuali. Gaul sebati.

▶️ Masukkan kiub ikan bilis dan juga garam secukup rasa.

▶️ Kemudian pecahkan telur.

▶️ Gaulkan telur dan bahan-bahan lain sehingga masak sebati.

▶️ Dan akhir sekali masukkan nasi dan gaul sekata.

▶️ Boleh rasa. Yang mana kurang boleh tambahkan bahan perasanya.

▶️ Sedia untuk dihidangkan.

 

BACA JUGA: Resepi Nasi Goreng Sardin Sedap Dan Mudah. Letak Banyak Isi Sardin Lagi Padu!

 

Hidangkan dengan telur goreng dan juga ulaman seperti timun jika suka. Kalau kat kedai makan tu, ada juga yang hidangkan dengan sup kosong. Tapi kalau makan macam tu je pun sebenarnya dah cukup sedap.

Resepi ni rasanya lebih sedap sebab bahan-bahan tak dikisar hancur. Jadi, bila digaulkan dengan nasi, bahannya akan lebih berasa terutama cili padi yang memedaskan nasi goreng ni. Barulah betul-betul padu.

Lepas ni kalau teragak nasi goreng cili padi, boleh buat sendiri menggunakan resepi ni. Dan rasakan sendiri kelainan rasanya berbanding nasi goreng yang biasa dibeli. Selamat mencuba!

Leave A Reply

Your email address will not be published.