Segalanya Tentang Makan..

Resepi Kuih Tiram Sedap Dan Mudah. Rahsia Kuih Tiram Yang Rangup Dan Tahan Lama!

0 8,525

Siapa kat sini suka makan kuih tiram? Kuih ni boleh dikatakan lagend juga. Nama lainnya ialah kuih lidah buaya. Turun temurun dari atuk nenek kita lagi. Kuih tiram ni antara yang digemari sebab ianya ala-ala kerepek yang rangup dan tebal berlapis. Manis bersalut gula pula.

Memang sedap untuk dinikmati. Boleh makan habis sebalang. Kuih ni selalunya dibuat masa hari raya, lagi-lagi masa di kampung. Nostalgia sangat kuih ni.

Kalau anda nak cuba buat, boleh ikut resepi kuih tiram sedap dan mudah yang dikongsikan oleh Anis Hanisha dalam Masap Apa Hari Ni (MAHN). Bahan nak buat kuih ni simple dan senang je. Modal sikit tapi boleh dapat kuih yang banyak.

Puas bila dapat makan beramai-ramai. Kalau buat kudapan kat rumah pun sesuai sangat. Jadikan snek ketika bersantai di rumah. Dalam resepi ni ada disediakan tips untuk dapatkan kuih tiram yang rangup dan tahan lama.

Bolehlah buat sekali banyak untuk disimpan dan makan pada waktu lain. Bila elok rangupnya, makan banyak sekali pun kita tak muak. Jom lihat cara membuatnya.

 

RESEPI KUIH TIRAM

Simple je bahan kuih ni. Bahan asanya tepung, minyak dan gula je. Tapi kena rajin sikit bab menguli, mencanai dan menggoreng.

Bahan-bahan yang diperlukan:
  • 1 kilo tepung gandum
  • 4 cawan air suam
  • Garam 1 sudu
  • ½ cawan minyak masak
  • 6 sudu tepung ubi (atau boleh juga kalau nak guna tepung gandum juga)
  • Gula aising (atau nak guna gula biasa pun boleh tapi perlu diblend) untuk taburkan atas kuih nanti

Cara buat kuih tiram:

▶️ Mula-mula masukkan tepung gandum dalam mangkuk, kemudian masukkan air sikit demi sikit.

▶️ Uli adunan tepung ni sampai tak melekat di tangan. Tapi uli sikit-sikit je. Adunan kena keras-keras sikit, jangan terlalu lembik sebab nanti susah nak terbentuk lapisan kuihnya.

▶️ Selepas uli, perapkan dalam 1 jam.

▶️ Lepas dah perap, bahagikan adunan pada 6 bahagian, dan bulatkan.

▶️ Kemudian canaikan sampai betul-betul nipis dalam bentuk memanjang. Bila nipis, nanti kuih lagi rangup.

▶️ Bancuhkan tepung ubi bersama minyak masak dan kacau sehingga sebati. Yang ini untuk dijadikan gam adunan tepung tadi.

▶️ Kemudian, ambil bancuhan tepung ubi tadi dan sapukan pada tepung kita canaikan tadi. Sapu rata di atas permukaannya.

▶️ Selepas sapu tu, gulungkan. Tapi gulungkan biasa je dan jangan tekan. Gulung dalam kelebaran seinci. Buat kesemuanya untuk keenam-enam adunan tadi.

▶️ Kemudian potong manja-manja je adunan digulung tadi. Jangan tekan kuat sangat sebab lapisan nanti tak menjadi. Potongkan dalam kelebaran seinci juga.

▶️ Lepas tu bolehlah digelek lebih kurang ukuran macam dalam gambar tu. Sedia untuk digoreng.

▶️ Panaskan minyak. Setelah dah betul-betul panas, masukkan kuih tiram ke dalamnya. Dan goreng sehingga warna keperangan dan kuih tu keras.

▶️ Semasa menggoreng tu, bila nampak kuih dah timbul, ketuk-ketuk manja je kuih tu supaya nanti jadi nampak berlapis-lapis.

▶️ Setelah dah keras dan warna keperangan, bolehlah angkat dan toskan.

▶️ Dah sejuk sikit, taburkan gula aising tadi. Dah siap.

▶️ Masukkan dalam bekas kedap udara.

 

BACA JUGA: Kuih Ropa Terengganu Inti Kari Ayam Kentang. Sedap Sangat Dengan Kulit Rangup Dan Isi Lembut.

 

Wahh, menggamit kenangan kat kampung betul bila tengok kuih ni. Sekarang ni, memang ada je ramai orang jual kuih tiram ni. Sebab sedap dan cara buatnya pun mudah.

Lagipun nak buatnya bermodal rendah, sangat jimat dan berbaloi. Rasa pun sedap. Pada anda yang dah lama cari resepi kuih tiram sedap dan mudah, ikutlah resepi ni. Jangan lupa mencubanya!

Leave A Reply

Your email address will not be published.