Segalanya Tentang Makan..

Ayam Masak Cili Kering Style Cina Muslim. Goreng Ayam Crunchy Dulu, Baru Gaul Dengan Pes!

0 1,327

Dengar nama masakan ni pun dah terliur kan? Ayam masak cili kering yang sedap dan wangi beraroma. Ayam tu akan digoreng rangup salut tepung dahulu, baru kemudiannya digaulkan dengan pes. Memang padu dan terangkat rasa dia.

Masakan ni memang jarang kita buat sebab ini style cina muslim. Kalau makan di restorannya, memang juadah mereka berbeza dengan masakan melayu. Sekali sekala kalau nak kelainan, bolehlah cuba buat ayam masak cili kering ni.

Kena dengan citarasa tekak kita sebab terasa pedas, dan cukup dengan rasa masam, masin dan manisnya. Cuma style masakan ni tak berkuah. Penuh seladak yang pekat. Sebenarnya itu yang buatkan sedap dan baru berasa ayam crunchy tu.

Perkongsian resepi ni ialah dari Fatin Pauzi. Tak cukup sekuali ni kalau buat hidangan sekeluarga. Sebab sedap diratah dan dimakan dengan nasi.

Senang nak buat menu ni sebab bahannya tak banyak mana pun. Semuanya yang dah biasa kita pakai di dapur. Kalau hidangkan dengan nasi panas-panas cukup menyelerakan.

 

RESEPI AYAM MASAK CILI KERING STYLE CINA MUSLIM

Kalau kat kedai tu, biasanya ayam ni dimasak dengan saiz kecil-kecil. Mudah nak makan dan lebih sedap dibuat crunchy. Namun terpulanglah pada anda kalau nak potongnya besar-besar atau sederhana. Ikut citarasa.

Bahan-bahan yang diperlukan:
  • Bawang merah (ada yang dimayang dan ada dipotong besar – buat 2 versi)
  • Bawang putih (dimayang)
  • 1 biji lada besar (dimayang)
  • 3 biji cili padi (dimayang)
  • 10 tangkai cili kering (dipotong kecil-kecil)
  • Daun kari
  • Sos cili, sos tomato dan sos tiram
  • Pes asam jawa
  • Ayam
  • Tepung gandum
  • Telur

Cara buat ayam masak cili kering:

▶️ Mula-mula potong ayam kecil-kecil. Dan basuhkan dengan air garam.

▶️ Kemudian celup dengan telur dan salutkan dengan tepung.

▶️ Goreng dengan minyak panas sehingga masak dan garing keperangan.

▶️ Angkat dan toskan. Ketepikan.

▶️ Dalam minyak yang sedikit, tumiskan cili kering dan daun kari sampai garing.

▶️ Seterusnya masukkan bawang merah, bawang putih, cili padi dan lada besar yang dimayang. Gaul sebati.

▶️ Masukkan kesemua sos secukupnya. Kuantiti boleh agak-agak ikut banyak mana ayam anda.

Lepas tu masukkan sikit air biar nanti jadi pes yang sedikit pekat.

▶️ Masukkan pes asam jawa, gula dan garam secukup rasa. Gaul dan biarkan masak sebati.

▶️ Dan akhir sekali masukkan ayam yang telah digoreng tadi dan juga bawang merah yang dipotong besar. Gaul sekata.

▶️ Dah siap, boleh padamkan api dan sedia untuk dihidangkan.

 

BACA JUGA: Resepi Ayam Masak Merah Paling Simple Style Dulu-Dulu. Sambal Cantik Berkilat. Sedap Ya Amat.

 

Bayangkan ayam goreng tepung rangup dimakan dengan masakan yang sedap berperisa macam ni. Serius tak rugi cuba. Pasti kena dengan selera tekak anda.

Sesuai dijadikan makan tengah hari atau malam. Anak-anak dan suami mesti suka. Yang buatkan sedap tu ialah cili kering tu. Bila ditumis, ia akan berikan aroma yang wangi.

Tengok je pun dah membuka selera. Lepas ni bolehlah cuba ayam masak cili kering ni. Buat pedas-pedas, mesti lagi padu. Selamat mencuba.

Leave A Reply

Your email address will not be published.